PRK Kemaman: UMNO masih gagal kembalikan kepercayaan majoriti rakyat
KUALA LUMPUR – Kekalahan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman mencerminkan terdapat beberapa perkara yang membuatkan parti itu ditolak orang Melayu.
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, kekalahan BN yang diwakili calon orang Melayu UMNO masih gagal untuk mengembalikan kepercayaan kaum majoriti negara ini.
“UMNO menonjolkan seorang pahlawan bangsa, dengan rekod perkhidmatan yang sangat cemerlang. Namun tewas juga.
“Jelas, tugas mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan UMNO adalah tugas sukar tetapi bukan mustahil.
“Tetapi buat masa ini, UMNO mesti menerima realiti bahawa orang Melayu masih jauh dari mempercayainya sebagai wakil politik mereka yang berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau mengulas kekalahan BN pada PRK Parlimen Kemaman dengan majoriti lebih 37,220 undi.
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengatasi majoriti penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti 27,179 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang memperoleh 27,778 undi.
Tambah Mohamad, dengan keputusan itu, UMNO perlu sedar bahawa parti itu mesti mempunyai ketahanan untuk terus berjuang dalam arena politik yang semakin dinamik.
Jelasnya, Kemaman adalah indikasi jelas bahawa mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan UMNO adalah perjalanan jauh, tidak linear dan memakan masa panjang.
“Justeru, semangat, cara kerja, strategi dan kepimpinan, semuanya perlu sentuhan dan kecekalan baru serta kesabaran, jika UMNO ingin bersaing untuk menjuarai semula pengaruh dan kepercayaan bangsa Melayu dalam politik.
“Ujian sebenar dalam semua ini ialah ujian ketahanan. UMNO tidak akan mudah menyerah apa lagi berfikir, bahawa jalan keluar bagi meraih sokongan Melayu telah tertutup rapi,” katanya.
Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, UMNO dilihat semakin dijauhi oleh golongan muda Melayu.
Katanya, parti itu masih belum berjaya menarik hati generasi muda bangsa sehingga penolakan golongan tersebut terhadapnya berterusan.
“Sesuatu harus dilakukan dengan segera. Generasi muda berpotensi untuk dimenangi dan di raih sokongan mereka. Hanya kaedahnya mesti sesuai citra, aspirasi dan keperluan kehidupan mereka.
Tambah beliau, Kemaman memberi pedoman bahawa mengimbangi politik perkauman dan agama adalah sukar dan kompleks.
“Bukan mudah untuk menghadirkan pilihan jalan politik sederhana. Ideologi pelampau kanan, retorik perkauman dan agama, semuanya sangat mudah untuk dimanfaatkan bagi meraih populariti.
“UMNO tidak boleh tergelincir dari landasan kesedarhanaannya. Ia adalah benteng penting untuk Malaysia yang berbilang bangsa dan agama,” katanya. –
1 ulasan:
Sokongan akan berubah ubah. Pelek apa. Tahun 60an 70an 80an letak calon lembu pun BN menang. Sekarang giliran pas letak lembu pun menang di kelantan terengganu kedah kah kah kah. Otak melayu luar biasa hahaha.
Catat Ulasan