Ahad, 28 Januari 2024

KEPUTUSAN MAHKAMAH DUNIA AKUI GENOSID


KEPUTUSAN ICJ 

TIDAK ATASI 

PERANG GAZA -  HANYA AKUI GENOSID




Keputusan Mahkamah Dunia ICJ tidak nampak kearah menghentikan  perang Gaza tetapi hanya mengakui Israel cenderung melakukan genosid bila ia mengeluarkan arahan Israel perlu mengambil langkah berkesan mengelak genosid . 

Kami berpendirian apa yang jelas ialah keputusan ini tidak menyebut sepatahpun mengenai gencatan senjata. Padahal  terbukti keganasan Israel jelas bersalah atas jenayah genosid yang mengorbankan ribuan rakyat awam di Gaza.  ICJ telah mendengar bukti Afrika Selatan yang tidak dapat disangkal oleh Israel. Apa yang dihujahkan oleh Israel hanya mencabar jurisdiksi ICJ dan mengulangi hak mempertahankan diri.    

ICJ telah mengarahkan Israel tidak menghilangkan bukti-bukti genosid di Gaza. Ini bermakna ICJ menerima fakta ada perlanggaran Konvensyen Genosid.

Malah ICJ telah mengarahkan Israel menghukum mereka yang mengistiharkan niat genosid yang dikeluarkan oleh pimpinan tertinggi Israel. Apakah ini akan dipatuhi oleh Israel ? 

Sebab itu reaksi kecewa dari penduduk Gaza malah Tebing Barat telah disuarakan terhadap keputusan ICJ . Apa yang mereka mahukan adalah gencatan senjata diarahkan untuk keganasan Israel dihentikan sertamerta.

Kami berpendirian sementara ICJ telah membuat keputusan yang dianggap menyebelahi tuntutan Afrika Selatan , namun ICJ tidak menangani isu pokok , bahawa serangan Israel yang terus berlaku tidak dihalang dan Israel tidak dipertanggungjawabkan terhadap jenayah perang dan jenayah genosid yang jelas dilakukan terang-terangan.

ICJ telah mengarah Israel melapor kembali dalam tempuh satu bulan  kepada ICJ mengenai langkah Israel . Padahal serangan terus dilancarkan sudah lebih dari 100 hari tanpa henti dan membunuh hampir 150 - 200 warga Gaza sehari. Sementara itu ada yang mati kerana tidak menerima rawatan , kebuluran dan kerana penyakit yang mulai merebak. Soalnya kenapa harus tunggu sebulan lagi ?

Kami mengusulkan kerajaan Malaysia melakukan pencelahan dalam pembicaraan kes tuntutan Afrika Selatan itu agar keputusan yang lebih adil dan mengukuhkan hujah gencatan senjata perlu dilakukan segera.

Reaksi PM Israel Natanyahu terhadap keputusan ICJ jelas menunjuk sikapnya bahawa dia tidak akan peduli dengan arahan ICJ. Dia telah mengistiharkan akan meneruskan malah meningkatkan operasi militari di Gaza. Oleh itu apa jaminan warga Gaza akan selamat walaupun keputusan ICJ mengarahkan langkah mengelak genosid.

Yang jelas ialah Israel telah melakukan perlanggaran Konvensyen Genocide dan jenayah perang dengan sokongan penuh serta bantuan tanpa had Amerika Syarikat . Persekongkolan Amerika sangat jelas. Keputusan ICJ sewajarnya mempersoalkan status Amerika membantu Israel dengan senjata tercanggih untuk membunuh seramai mungkin warga Gaza.

Amerika mesti turut dipertanggungjawabkan terhadap serangan Israel di Gaza. Keupayaan Israel melancar serangan berskala besar adalah akibat Amerika merestui dan menaja sepenuhnya operasi Israel. Malah semua calon Presiden Amerika untuk pilihanraya 2024 nanti menyatakan sikap bahawa operasi militari Israel di Gaza perlu diteruskan. Ada yang menyatakan bukan Israel bergantung kepada Amerika , akan tetapi hakikatnya Amerika yang memerlukan Israel.

Isunya sekarang ialah sementara keputusan ICJ itu adalah mengikat namun ia tidak dapat dikuatkuasakan. Apakah jaminan Israel akan menghentikan serangan dan membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar melalui pintu Rafah. Laporan pelarian Gaza malah ditembak ketika cuba mendapat bantuan kemanusiaan di Khan Yanis sudah cukup membuktikan Israel tidak peduli kepada arahan ICJ.
  
Kami berpendirian masyarakat dunia tidak terlalu mengharapkan pembelaan ICJ . Bantahan perlu diteruskan dan tekanan kepada Israel hendaklah dipertingkatkan.

Mohd Azmi Abdul Hamid 
Presiden MAPIM

Tiada ulasan: