Polis siasat dakwaan ketua balai kasari orang awam
POLIS akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang ketua polis balai melakukan kekerasan terhadap orang awam, seperti video yang tular menerusi media sosial hari ini.
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya mengesan video berdurasi 37 saat itu menerusi laman X pada 3.11 petang tadi, yang turut memetik nama pegawai polis berkenaan berserta jawatannya.
“Pihak polis akan menyiasat perkara ini dengan terperinci dan menggesa orang awam atau saksi tampil membuat laporan jika mempunyai sebarang maklumat bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.
Terdahulu, video berkenaan memaparkan seorang lelaki yang didakwa merupakan ketua polis balai, menengking dan menampar berulang kali serta menarik rambut seorang lelaki di tempat awam yang tidak dinyatakan. – Bernama, 12 Januari, 2024.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan