Kripto Accerx:
124 mangsa rugi
RM90.3 juta
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 124 laporan membabitkan kes penipuan pelaburan mata wang kripto yang dikenali sebagai ‘Accerx’ sejak November tahun lalu.
Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Deputi Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, ia melibatkan kerugian sebanyak RM90,364,463.08.
Siasatan polis setakat ini berjaya mengenal pasti sebanyak 73 syarikat perniagaan, 83 akaun bank milik syarikat/perniagaan dan satu akaun bank milik individu persendirian yang disyaki digunakan dalam kegiatan penipuan sindiket ini.
“Pada masa yang sama PDRM juga telah berjaya menyekat kesemua akaun bank yang telah dikenalpasti terlibat dengan sindiket itu.
“Seorang individu 24 tahun didapati berperanan sebagai pemilik akaun keldai telah dituduh di mahkamah bersabit satu kes di Keningau, Sabah pada 3 Januari lalu di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Sabah),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pada 30 Januari lalu satu laporan polis telah diterima di Sentul daripada seorang lelaki warga emas tempatan berusia 60 tahun, mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan wang kripto Accerx menyebabkan dia kerugian RM11,130,123.
Ia adalah angka kerugian tertinggi bagi satu kes.
Ujar Rohaimi, pengadu seorang pengarah syarikat mendakwa dia telah terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto yang diiklankan di Facebook pada September tahun lalu.
“PDRM ingin mengingatkan kepada mana-mana individu yang mungkin masih berurusan dengan skim pelaburan kripto Accerx ini agar menghentikan serta-merta dan segera membuat laporan polis di balai polis,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan