Ketua Risikan Tentera Israel letak jawatan kerana serangan 7 Oktober Hamas
BAITULMAQDIS: Tentera Israel mendakwa Ketua Pengarah Perisikannya telah meletak jawatan selepas bertanggungjawab atas kegagalan yang membawa kepada serangan di Palestin pada 7 Oktober tahun lalu.
Mejar Jeneral Aharon Haliva adalah pegawai tinggi pertama tentera Israel yang berundur dengan meletakkan jawatan kerana gagal menghalang serangan yang mengejutkan Israel dan masyarakat antarabangsa.
"Mejar Jeneral Aharon Haliva, dengan penyelarasan dengan Ketua Kakitangan Am telah meminta untuk menamatkan jawatannya, susulan tanggungjawab kepimpinannya sebagai Ketua Direktorat Perisikan bagi perang yang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.
"Diputuskan bahawa Mejar Jeneral Aharon Haliva akan menamatkan jawatannya dan bersara daripada IDF (tentera Israel) sebaik penggantinya dilantik dalam proses yang teratur dan profesional," kata tentera Israel dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam surat peletakan jawatan berkenaan, Haliva mengaku bertanggungjawab kerana gagal menghalang serangan itu.
"Pada hari Sabtu, 7 Oktober 2023, Pejuang Hamas melakukan serangan mengejut terhadap negara Israel.
"Bahagian perisikan di bawah pimpinan saya tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan.
"Saya membawa hari hitam itu bersama saya sejak itu. Hari demi hari, malam demi malam. Saya akan selama-lamanya membawa bersama saya kesakitan perang yang dahsyat," tulisnya dalam surat berkenaan sebelum salinan surat terbabit diberikan kepada wartawan oleh tentera Israel.
Berdasarkan pemerhatian AFP mengikut angka rasmi Israel, perang yang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu itu telah mengorbankan seramai 1,170 orang, kebanyakannya orang awam.
Sejak itu, Israel telah berikrar untuk menghapuskan Pejuang Hamas dan terbabit dalam serangan hebat terhadap kumpulan berkenaan yang memerintah Semenanjung Gaza.
Kementerian kesihatan wilayah Palestin berkata 34,097 orang telah terbunuh dalam perang berkenaan di Gaza, kebanyakan yang terbunuh adalah golongan wanita dan kanak-kanak. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan