Kredibiliti kerajaan Melaka dipersoal selepas ketua menteri raikan kemunculan keris 'milik Hang Tuah'
Sebuah pameran anjuran kerajaan Melaka untuk meraikan Hang Tuah telah membuka kembali perdebatan lama mengenai kewujudan ikon pahlawan Melayu itu, selepas kemunculan dua keris yang didakwa miliknya.
Bagaimanapun, pakar sejarah mempertikaikan kewujudan dua keris yang diserahkan kepada Ketua Menteri Ab Rauf Yusof baru-baru ini oleh seorang lelaki Indonesia yang mengaku waris Hang Tuah.
Ahmat Adam, yang mendalami kajian mengenai watak Hang Tuah, berkata sumber sejarah tidak pernah merakamkan mengenai senjata yang dikaitkan dengan mana-mana pahlawan silam Melayu.
Ahmat membidas dakwaan sekumpulan penyelidik yang terlibat dalam penganjuran sebuah pameran anjuran kerajaan Melaka pada bulan depan, di mana dua keris itu akan diperagakan, menyifatkan mereka "bukan sejarawan".
"Mereka penipu besar sejarah dan tak tahu kaedah menyelidiki dan menulis sejarah," katanya kepada MalaysiaNow.
Beliau mempersoalkan keperluan menghantar sekumpulan penyelidik ke Belanda di mana mereka mendakwa menemui naskhah tertua Hikayat Hang Tuah, karya yang selama ini menjadi sumber utama mengenai topik tersebut.
"Manuskrip sastera yang diheboh-hebohkan itu ada di perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tak perlu pergi ke Leiden, Belanda. Jangan membazirkan wang negara," kata Ahmat.
Pada 21 Mei, Rauf menerima dua keris daripada seorang individu yang mengaku waris ke-11 Hang Tuah, Tun Muhammad Amin Tun Ahmad dari Bintan, Indonesia.
Kedua-dua keris itu - dikenali sebagai Keris Sundang dan Keris Hukum - akan dipamerkan di Pameran Hang Tuah yang akan berlangsung selama sebulan pada Jun ini.
Ia susulan lawatan Rauf ke Belanda untuk melihat hasil penemuan sekumpulan penyelidik yang ditaja kerajaan Melaka untuk mengkaji dan membawa balik artifak berkaitan Hang Tuah.
Melaka, yang terkenal dalam sejarah sebagai sebuah pelabuhan pesat dan salah satu kesultanan Melayu terawal, pernah dijajah Portugis dan Belanda sebelum akhirnya jatuh ke tangan British.
Rauf berkata penyelidik dari Universiti Islam Melaka, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia telah mengkaji pelbagai sumber mengenai Hang Tuah, sebagai penyediaan untuk pameran tersebut.
Bagaimanapun Ahmat yang menerbitkan sekurang-kurangnya dua buku hasil kajiannya mengenai Hang Tuah, berkata nama "Hang Tuah" sendiri disalah baca, dan ungkapan sebenar adalah "Hang Tuha" atau "Hang Toh".
Menurut bukunya "Hikayat Hang Tuha", Hang Tuha merupakan gelaran dan bukan nama sebenar seorang laksamana, disebabkan pantang larang Melayu tidak membenarkan nama pembesar disebut kecuali nama gelarannya.
"Dalam ungkapan nama gelar Hang Tuha atau Hang Toh, ia adalah deskripsi bagi Laksamana Melaka yang namanya tidak diketahui," kata Ahmat, yang percaya watak Hang Tuah merupakan mitos semata-mata.
Bagi Ahmat, penulisan itu hanyalah sebuah novel dan bukan sumber sejarah, dan berkata sesiapa yang mendakwa ia sebagai sumber sejarah tidak membacanya secara tekun.
"Dalam novel itu nama raja Melaka ialah Sang Maniaka. Adiknya Sang Jaya Nantaka selepas merajuk dengan abangnya telah menjadi raja di Kalinga (India) dan mengambil nama Krishna Deva Raya di Vijayanagara. Inikah sumber sejarah yang sahih?"
Kredibiliti kerajaan Melaka
Mohd Khairil Hisham, kurator Galeri Diraja Tuanku Ja'afar di Negeri Sembilan, berkata kredibiliti kerajaan Melaka berisiko tercalar sekiranya dakwaan tersebut tidak dapat dibuktikan.
"Setakat ini saya tidak mendengar apa-apa komentar daripada pakar sejarah Indonesia. Memang saya mendengar dakwaan bahawa individu yang mengaku waris itu berbohong."
Khairil berharap kerajaan Melaka bersikap terbuka dan memberi respons terhadap dakwaan itu.
"Bukan hanya sekadar berdiam diri dan tidak menghiraukan rungutan dan pandangan masyarakat," katanya kepada MalaysiaNow.
Khairil berkata pasukan penyelidik harus membuktikan dakwaan lelaki Indonesia itu dan bersedia untuk dikritik jika gagal mengesahkannya.
"Keghairahan kerajaan Melaka boleh menyebabkan ada kemungkinan mana-mana pihak yang akan mengambil kesempatan," tambah Khairil yang pernah menghadiri sebuah seminar berkaitan pameran yang bakal diadakan.
Khairil menyifatkan seminar itu "satu pembaziran", dengan ketiadaan apa-apa maklumat baharu walaupun pasukan penyelidik dihantar ke Eropah.
"Hasil seminar ini menjadi kelam kabut apabila ketua menteri membuat dakwaan menemui Hikayat Hang Tuah tertua, bertarikh 1758 berada di Belanda."
Katanya, sebelum ini DBP telah pun menerbitkan transliterasi Hikayat Hang Tuah yang bertarikh 1758, hasil kerja Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh.
2 ulasan:
Hang Tuah ni org paling bangang di melaka .. sanggup tangkap awek sendiri ontok di entot oleh Sultan Melaka.
Macam rekod pecah la tuan tt..asyik mendabik dada..perangai nie kat gorilla aja...wtf..
Catat Ulasan