Isnin, 13 Mei 2024

MADANI DAN ANTI ISRAEL ?


MADANI DAN

 ANTI ISREAL?


Dari apa yang kita baca Kerajaan  Titah yang klim sebagai Kerajaan Perpaduan ini dilaporkan menyokong  perjuangan adil rakyat Palestin. Malah  hari ini kenyataan  sokongan dari Perdana Menteri  Anwar Ibrahim semakin lantang.  Kita baca dan kita dengar.


Kita terbaca kenyataan berdegar-degar tentang jumlah dana lumayan yang di wakafkan kepada Palestin. Kenyataan lantang lagi hebat ini kita dengar terutama semenjak Briged Al-Qassam menyerang Israel pada subuh Sabtu  7 Oktober 2023 yang lalu.

Mari kita melihat sejarah. Palestin tanah jajahan Inggeris kemudian di berikan kepada Zionis Yahudi pada tahun 1948.  Pada tahun 1946 Tanah Melayu masih  di bawah penjajahan Inggeris. 

Pada 6 Oktober 1951 Sir Henry Gurney wakil Baginda Raja England telah di bunuh oleh gerila Pembebasan Rakyat Malaya di Bukit Frazer.  Sebelum bertugas  membelasah rakyat di Tanah Melayu  Henry Gurney ini telah bertugas  membelasah rakyat Palestin.

Justeru kita dan Palestin berkongsi pengalaman dan sejarah.

Generasi muda wajib di beri tahu bahawa satu ketika dulu pasukan bola Israel pernah datang  main bola untuk merebut Piala Merdeka. Ini di zaman Tunku Abdul Rahman.

Malah pada 21 Mac 1997 Perdana Menteri  Mahathir Muhamad sendiri pernah membenarkan  pasukan kriket Israel masuk ke Kuala Lumpur untuk menyertai Pertandingan Trofi Kriket Antarabangsa.

Demo berlaku di pintu masuk Universiti Malaya. Penunjuk perasaan di ganasi dan tangkapan dijalankan. 

Empat di dakwa – Mahfuz Omar, arwah Salahuddin Ayub, Minghat Mahmud dan Pak Cik Amjal . Mereka di penjara satu bulan. 

Saya sendiri masih ingat ketika di Kolej  Melayu tahun 1969  limau Jaffa  dari Israel masih lagi dalam menu kami. Malah isu limau Jaffa ini dalam menu kami menjadi perdebatan dalam akhbar Keris Kangsar – akhbar  dalaman MCKK.

Hakikatnya : Israel ini  telah  lama menjadi  duri dalam daging Bani Melayu.  

Saya yakin ketika itu malah hingga ke hari ini  dua kaum pendatang ke Tanah Melayu - Bani China dan Bani India hairan dan pelik akan sikap Bani Melayu terhadap  Israel.

Malah hingga ke hari ini dua kelompok pendatang ini masih kurang faham kenapa Bani Melayu akan- amat benci kepada Israel. Untuk Bani Melayu Israel ini disamakan   seperti babi.

Dalam kehairanan ini Bani Melayu telah gagal menerangkan dan memberi pencerahan tentang Israel kepada masyarakat China dan India. Garis agama yang diguna pakai untuk mempropagandakan Palestin telah dipandang serong oleh Bani China dan India. 

Justeru – hasilnya  kebelakangan ini – ketika dunia heboh dengan Gaza dan Palestin - tidak ramai China dan India turun bersama dalam aksi  jalan raya tanda  bersetia kawan dengan Palestin.

Kenapa ini berlaku ?

Jangan salahkan Bani China dan Bani India. Salahkan gaya dan isi pencerahan yang di propagandakan oleh Bani Melayu.

Palestin gagal untuk  menarik perhatian China dan India untuk bersama dalam barisan bersatu menentang Israel dan Zionis. Walhal di luar negara di Amerika dan Eropah anak muda bukan Islam malah Bani Yahudi sendiri turun berdemo menyatakan sokongan terhadap Palestin.

Di Malaysia semuanya terbalik.

Malah apa yang berlaku akhir-akhir ini tidak meyakinkan Bani  China dan India   tentang sokongan Melayu - umat majoriti  - terhadap Palestin. 

Sikap  kepartian yang tebal memperlihatkan bagaimana  Parti Islam PAS dan Parti United Malays National Organisation tidak dalam satu barisan bersatu untuk menyokong Palestin.

Parti Islam  dari perbuatan dan kenyataan mereka hanya menyokong  umat Islam yang ditindas sahaja. Penindasan yang berlaku terhadap yang bukan Islam parti ini tidak ambil pot. 

Justeru dari fakta sejarah Parti PAS tidak heboh berkempen menyokong perjuangan  Timur Timor  yang dijajah oleh Indonesia. Atau berkempen menentang aparteid di  Afrika  Selatan yang di tindas kerana kulit mereka. 

Dalam masa yang sama  Parti United Malays National Organisation tidak pula menunjukan kesejagatan mereka yang merangkum anak semua bangsa – bangsa semua agama.

Palestin menjadi pilihan dua parti politik ini hanya kerana Bani Melayu beragama Islam. Justeru Palestin untuk  Bani Melayu  adalah agenda Islam.  Sokong Palestin untuk dapat undi Melayu. 

Menganggap Palestin ini agenda Islam adalah  pandangan juling. Garis ini tidak membantu memperluaskan perjuangan adil rakyat Palestin

Wal hal  warga dunia,  anak muda semua bangsa  , warga penganut semua agama dan yang tidak beragama turun sama  berdemo di pelbagai  negara. Mereka mentakrif   Palestin  sebagai  isu penjajahan. Palestin dijajah oleh Israel dengan berpandukan ajaran  Zionis.

Ketika dunia  sedang heboh dengan Gaza, Rafah dan gencatan senjata kerajaan Madani di Malaysia melakukan beberapa babak pelik lagi di luar tabii.

Berita meledak apabila seorang Profesor dari Princeton Universiti  Amerika menyelar dan mempertikaikan garis  dan langkah pro Palestin yang diambil oleh Malaysia.

Ini satu penghinaan terhadap sikap rakyat dan kerajaan Madani.

Apa yang pelik tetapi benar  Profesor Bruce Gilley ini telah menyampaikan pandangan lucah lagi songsang ini di Universiti Malaya. Dia dikatakan telah di jemput  untuk mengambil bahagian dalam seminar politik antarabangsa. Universiti Malaya menjadi tuan rumah.

Pelik tetapi benar bagaimana sosok Zionis  pro Israel ini di jemput hadir. 

Bukan susah - tanya sahaja Lebai Google siapa Si Bruce ini. Dengan jelas lagi terperinci kita akan di beritahu sikap pro Israel dan pro penjajahan si Zionis ini.

Mustahil penganjur seminar tidak mengenal siapa Lebai Google. Atau ada agenda tersorok. Jeng jeng jeng,

Isu Profesor Bruce belum reda tertiba timbul satu lagi isu Zionis dan Israel di Universiti Malaya. Kali ini Universiti Malaya  menganugerahkan ijazah ke hormat kepada Muhamad Abdulkarim  Al-Issa seorang ulama dari Saudi Arabia.

Siapa si Abdulkarim ini ?

Sekali lagi Univeristi Malaya gagal bertanya kepada Lebai Google.

Bila kita tanya Lebai Google akan muncul nama dan biodata Tok Arab ini. Abdulkarim adalah  sosok yang pro Israel.  Ulama ini amat-amat disukai dan diminati oleh Israel. 

Ulama ini di rayakan oleh media Israel dan media pro Israel. Ini kerana Tok Arab ini selalu berkempen untuk mengadakan normalisasi antara Saudi dengan  Israel.

Kenapa ulama  genre ini di beri ijazah kehormat oleh Universiti Malaya memang pelik dan di luar tabii.

Apakah Universiti Malaya sudah dipenuhi oleh  kangkung sehingga mata para guru dan pensyarah tertutup dari  melihat  dan bertanya dengan Lebai Google.

Tidak cukup dengan kerenah Universiti Malaya – kita di kejutkan dengan berita pameran senjata anjuran Kementerian Pertahanan Malaysia.

Pusat Pameran Dagangan Antarabangsa (MITEC) menjadi tuan rumah. Dalam pameran ini syarikat senjata akan mempromosi senjata mereka untuk di pesan dan di beli.

Ini perniagaan bunuh orang. Satu perniagaan yang paling lumayan. Industri senjata a.k.a industri bunuh orang akan membuka gerai dan mempamerkan  senjata tercanggih untuk membunuh.

Apa yang pelik dan di luar tabii ialah Tuan Rumah telah menjemput syarikat seperti  Lockheed Martin dan MBDA (BAE Systems) selain daripada Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI dan Leonardo.

Semua syarikat ini ada hubungan dengan industri senjata Zionis Israel.  Syarikat-syarikat ini membekalkan senjata kepada Israel untuk membunuh lebih 40 ribu warga Arab Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Beberapa kumpulan NGO  termasuk Parti Bersatu bersuara dan membantah pameran ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersilat lidah. Dia dilihat berdulak dalik.  Dalam ceramah dengan lantang menyokong Palestin. Dalam tindak tanduk menyokong Israel. 

Malah untuk PMX selagi syarikat ini tidak didaftar di Israel maka ianya kosher lagi halal untuk berniaga dengan Malaysia. Amin.

Kenyataan Perdana Menteri Kerajaan Madani yang pro Palestin ini membuka banyak mata. Anwar berdulak dalik  untuk menyelamatkan diri ini menjadi bahan lawak. 

Malah belum sempat  ketawa mendengar lawak Anwar satu lagi berita meledak. Kali ini kapal Israel berlabuh di Pelabuhan Klang.

Sebuah kapal kargo milik syarikat Israel dikesan berlepas dari Malaysia pada 29 April 2024. Kah kah kah.

Lima bulan dulu  Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan semua kapal milik negara Zionis itu dilarang menggunakan pelabuhan di negara ini sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Warga Net dengan menggunakan Marine Traffic, aplikasi yang mengesan pergerakan perkapalan antarabangsa, mendapati kapal kargo ZIM Rotterdam yang dimiliki syarikat Israel Zim Integrated Shipping Services. Kapal Zionis ini telah  berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April lalu, sebelum berlepas sehari kemudian menuju ke Pelabuhan Shantou, China. Amin.

Bila Anwar di tanya oleh wartawan tentang kapal Israel ini Anwar telah menjawab : ‘ ...... Mahathir yang membenarkan  kapal ini masuk....’ Kah kah kah.

Bijak. Satu jawapan yang amat bijak. Anwar Ibrahim lupa ketika tim kriket Israel masuk  Anwar sendiri menjawat Timbalan Perdana Menteri – pembantu dan pembodek Mahathir.

Jika kurang yakin apa yang saya tulis ini sila tanya Lebai Google.

Justeru apa yang saya tulis ini memperlihatkan betapa carca merba dan bercelaru dasar kerajaan Mahadanon opps... kerajaan Madani.

Bani China dan Bani India yang suam-suam melihat Palestin kita terus sejuk. Malah Bani Melayu sendiri tertanya-tanya – kenapa Anwar dulak dalik.

Babak-babak yang  ditulis ini  memperlihatkan cara Anwar Ibrahim menjalankan kerja.

Cara kerja dan perangai Anwar Ibrahim ini jelas. Pada Ezam dia berkata ini. Kepada Azmin dia berkata itu. Kepada Saifuddin Anwar cakap PKR sokong. Kepada Rafizi Anwar cakap PKR bantah . Kepada Syed Husin Anwar kata boleh. Kepada Syed Sahir Anwar kata tak boleh. Kepada Mat Sabu Anwar kata jangan lulus. Kepada Tony Loke Anwar kata luluskan. Kepada Erdorgan Anwar kata sokong. Kepada Mohamad Bin Salman Anwar kata tak sokong. 

Ini klasik cara Anwar Ibrahim berputar dan berputar.

Awas ! Kita tidak tahu apa kata-kata dan janji Anwar Ibrahim kepada sosok yang bernama Paul Wolfowitz tentang Israel. 

Paul Wolfowitz ini kenalan baik Anwar. Beri peluang Anwar bekerja di Universiti  Georgetown Amerika dan  di Bank Dunia.

Maka kaum kerabat  Paul Wolfowitz minggu ini telah menghantar dua pegawai Jabatan Perbendaharaan Amerika untuk bertanya apa sebenarnya dasar Madani  terhadap Israel. Jeng jeng jeng. 

Jangan lupa  Paul Wolfowitz ini seorang Zionis  penasihat George W. Bush dan  arkitek Perang Iraq.Amin. (TT )

TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2024/05/13/anti-israel-dan-babak-luar-tabii-kerajaan-madani-di-malaysia


Tiada ulasan: