Rabu, 12 Jun 2024

PERANG DUNIA KE 3 SEDANG DIRANCANG


PERANG DUNIA KE 3 SEDANG

 DI RANCANG


Saya baru saja membaca berita yang menggerunkan. Tajuk Berita Harian 6 Jun 2024 : Jangan andaikan Russia tidak akan guna senjata nuklear – Putin. Ini berita amat menakutkan.

Sebulan kebelakangan ini saya meneliti rapi berita dari Ukraine dan Rusia. Saya juga meneliti berita tentang Perang Ukraine dari media Amerika. Berita-berita yang saya baca semuanya menakutkan.

 Dari apa yang saya baca saya yakin Perang Dunia Ke3 sedang di rancang. Apa yang lebih menakutkan ialah bom nuklear adalah sebahagian dari perancangan.

Malah anggapan saya  tentang Perang Dunia Ke3 sedang dirancang mungkin dianggap naif. Ini kerana telah ada pemerhati militer dan pakar geo politik  seperti Scott Ritter yang menganggap perang dunia telah bermula di Ukraine dan Gaza.

Saya masih menyimpan harapan ledakan bom nuklear ini tidak akan terjadi. Ini harapan. Dalam realiti geo politik dan perang ledakan ini boleh berlaku bila-bila masa saja. Harapan tinggal harapan

Malah lebih memeranjatkan ada laporan berita dari Barat  yang memberi tarikh  18 Julai  2024  hari Perang  Dunia Ke3 akan pecah. 

Tukang tilik  bernama  Kushai Kumar, klim dirinya  sebagai 'Nostradamus baharu', mendakwa beliau mempunyai sejarah meramal konflik dengan betul .  Sebelum ini Kumar  membayangkan ketegangan antara Israel dan Hamas, Korea Utara dan Selatan, China dan Taiwan, serta Rusia dan Ukraine .

Ini ramalan tukang tilik yang boleh kita abaikan tapi cuba perhatikan tajuk-tajuk berita dari akhbar arus perdana yang tersebar baru-baru ini.

Akhbar The Telegraph London pada 23 Mei 2024 :  This may be the last election before the next world war – PRU akhir untuk UK sebelum perang dunia.

Sky News pada 16 April 2024 : Are we heading for world war three? Apakah kita menuju ke perang dunia ketiga?

Amat jelas disini ada persekongkolan yang intim antara media dan industri perang. Media arus  perdana  bukan cuba menghalang perang. Tidak. Mereka sedang mengolah persetujuan agar kita semua bersedia menerima perang. 

Media arus perdana di Barat kini menjadi tokan perang.

Media arus perdana di Barat sedang  menyediakan saikoloji kita semua untuk menerima perang sebagai satu yang normal – satu kebiasaan.

Dari pungutan  suara terbaru  di dapati 61% warga Amerika percaya perang dunia akan sampai.

Ketika tulisan ini dilakar  kempen PRU sedang berjalan di United Kingdom. Kempen Parti Konservatif  telah melaungkan  : Parti Konservatif lebih bersedia dari Parti Buruh untuk menghadapi perang. 

Untuk bukti - kerajaan Sunak telah  memulakan kembali dasar Khidmat Negara. Dasar ini memastikan jantan  betina yang berumur 18 tahun ke atas akan diwajibkan menjadi askar.

German, Denmark  dan Sweden juga telah memulakan  dasar Khidmat Negara. Dasar rakyat dipaksa jadi soldadu ini telah di mansuh satelah tamat Perang Dunia Kedua. 

Tahun 2024 negara-negara ini telah kembali memaksa rakyat untuk menjadi soldadu.  Jelas dasar baru ini adalah  persediaan menghadapi perang dunia.

Malah di German sendiri seperti di Jepun satelah tamat Perang Dunia Kedua dua negara pencetus perang ini telah dilarang mendirikan  bala tentera. Jepun dan German hanya ada  pasukan  keselamatan seperti RELA.

Kini semuanya berubah. Jepun dan German kembali membina bala tentera.

Di UK agenda perang dunia ini dilihat amat serius. Dalam portal resmi kerajaan telah ada saranan agar warga menyimpan lilin dan bahan makanan dalam tin.

Untuk mengafdalkan saranan ini  Timbalan Perdana Menteri UK  Oliver Dowden telah membuat kenyataan yang seirama.

Seorang YB dari Parti Buruh  Andrew Bridgen telah berkata ‘.... perang dunia dah bermula... hanya tidak diumumkan...’ 

Di Amerika   naratif perang dunia akan meletus juga sedang  tersebar meluas.

Ketika ini kempen ke Rumah Putih sedang berjalan. Isu perang menjadi agenda kempen. Pendatang haram yang menceroboh masuk ke Amerika seramai lebih dari dua ribu sehari dibaca sebagai soldadu luar yang akan menyerang Amerika dari dalam. Ini tema kempen Parti Republikan.

Tidak cukup dengan ini pada 9 Mei 2024 media melaporkan Trump telah menuduh Biden membawa dunia ke kancah perang. 

Mengikut Trump dalam masa 5 bulan lagi  perang dunia akan meledak. Menurut Trump perang dunia berlaku kerana Biden lembik dan tidak tahu mengurus kuasa dunia yang dimiliki oleh Amerika.

Ini isi dan nada kempen Trump untuk sekali lagi dipilih  sebagai Presiden Amerika.

Trump dengan bangga klim jika dia masih Presiden Perang Ukraine dan Perang Gaza tiak akan berlaku.

Ketika tulisan ini digarap dua perang – Ukraine dan Gaza sedang berjalan.  Saya memberi penekanan kepada Perang Ukraine. Telah 10 tahun jika dikira perang bermula dari 27 Februari 2014. Operasi Spesial Putin sudah masuk tahun ketiga.

Perang masih  berjalan. Rusia menang dan Ukraine kalah. Hakikat ini amat payah hendak diterima oleh NATO dan sekutunya.

Saya tidak perlu jadi pakar perang dan geo politik untuk memahami hakikat Ukraine telah kalah.  Lebih 600 ribu soldadu Ukraine telah gugur. Hampir 1 juta cedera. Berjuta warga Ukraine  melarikan diri -pelarian perang.

Hari ini wanita hamil pun ditangkap di pasar raya untuk dipaksa menjadi soldadu.  Anak-anak muda malah lelaki pencen pun semua dipaksa menjadi soldadu.

Mereka yang dicekup oleh Polis Militer beri latihan  dua minggu dan terus di hantar ke medan tempur. Fakta ini saya pungut berasaskan klip Tik Tok seorang anak muda yang minta maaf kepada bondanya kerana mungkin mereka tidak akan bertemu lagi. Sedih.

Macron Presiden Peranchis kini dilihat sebagai kepala perang dari NATO. Macron bersedia menghantar  soldadu untuk memberi sokongan teknikal kepada tentera Ukraine.

Bila berita ini tersebar Rusia memberi jawapan bahawa soldadu Rusia berhak menembak mati  soldadu Peranchis walau pun sebagai penasihat.

Dalam suasana tegang ini Putin memberi arahan kepada pasukan  senjata nuklear Rusia untuk memulakan latihan persediaan.

Pada 5 Mac 2024 The Guardian London melaporkan satu kontinjen soldadu dari UK sedang membantu soldadu Ukraine menggunakan misile jarak jauh  Strom Shadow senjata yang diberi oleh UK. 

Maklumat ini terbocor dari panggilan sulit   tentera German. Semua ini menegangkan  lagi keadaan. 

Apa yang lebih memarakkan  keadaan ialah perubahan dasar Amerika dan NATO. Kini Ukraine  telah di beri  peluru dan senjata jarak jauh.  Awal perang  senjata NATO hanya senjata jarak dekat untuk di gunakan dalam wilayah Ukraine. Kini senjata jarak juah berupaya  menembak ke dalam wilayah  Rusia.

Setiausaha NATO Jens Stoltenberg  mengalu-alukan dasar baru Presiden Biden ini.  Melonggarkan dasar penggunaan senjata ini di tafsir kan memenangkan Ukraine.

Jawapan Putin kepada Biden cukup jelas. Rusia boleh juga menyerang mana-mana negara NATO yang tafsir menjadi musuh kepada Rusia.

Putin memberi ingatan – lebih tepat lagi amaran bahawa Rusia jika wujudiah Rusia terancam Rusia akan menggunakan apa saja senjata untuk bertahan diri.

Amaran Putin ini dibuktikan dengan laporan ABC News pada 6 Jun 2024 : Kapal perang laut dan pesawat udara Rusia yang dijangka tiba di Caribbean untuk latihan ketenteraan  dalam beberapa minggu akan datang.

Kapal-kapal perang itu juga dijangka akan membuat panggilan pelabuhan di Venezuela dan Cuba.

Langkah dari Putin ini jelas. Jika Amerika dan NATO boleh hantar bala tentera ke sempadan Rusia  maka Rusia juga boleh menghantar bala tentera ke sempadan Amerika.

Saya tidak menyangkal atau memperlekeh jawapan Putin ini. Ini jawapan tepat. Tetapi untuk umat manusia keadaan ini amat-amat mencemaskan. 

Kapal perang Rusia itu mungkin ada membawa senjata nuklear. Jika Presiden Biden di tekan apa pula jawapan Amerika.

Bulan November ini akan ada pemilihan Presiden Amerika. Biden tidak mahu dilihat lembik oleh  para pengundi. Jika Trump terus memperlekeh Biden sebagai ‘lembik ‘ maka Biden akan bertindak.

Apa tidakkan Biden bila kapal perang Rusia ini sampai ke Cuba dan mengadakan latihan perang.

Seyogia diberi ingatan – Cuban Missiles Crisis – dari 16 ke 28 Oktober 1962.  Selama dua minggu dunia  paling hampir akan meledak dengan senjata nuklear.

Ini berlaku bilamana Rusia di bawah pimpinan Nikita Khrushchev (1894-1971)  memasang senjata nuklear di Cuba yang jauhnya  hanya 90 kilometer dari Amerika. . Presiden John F. Kennedy (1917-1963)  wajib bertindak tegas. Akibatnya  dua minggu warga dunia dalam ketakutan.

Hari ini dari pandangan pesimis  saya Perang Dunia Ketiga pasti akan sampai. Suasana geo politik dan keadaan ekonomi hari ini menunjukkan kepada saya para peniaga senjata di Amerika  sedang merancang perang melalui politikus yang mereka taja.

Kemelut zaman ekonomi meleset tahun 1930’an di selamatkan dengan Perang Dunia Kedua. Apakah krisis ekonomi sekarang  akan diselamatkan dengan Perang Dunia Ketiga?

Perang dulu dan perang sekarang jauh bezanya. Dulu hanya Amerika ada bom Atom. Monopoli itu telah tamat.

Lalu persoalan timbul apakah kita umat manusia dapat menghalang ledakan bom nuklear ini ? Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DI PORTAL MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/708475








Tiada ulasan: