Selasa, 9 Julai 2024

MOGOK LAPAR DEMI PALESTIN



KENYATAAN MEDIA



BERSOLIDARITI BERSAMA AKTIVIS
 YANG AKAN MOGOK LAPAR DEMI PALESTIN

Hari ini adalah yang ke-275 sejak Israel melancarkan serangan dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Tidak ada apa-apa tanda bahawa rejim Zionis berhasrat menghentikan genosida terhadap rakyat Palestin. Semua rayuan antarabangsa dan usaha diplomatik langsung tidak dipeduli oleh Tel Aviv. Kini jumlah kematian semakin meningkat, rakyat Malaysia harus terus mempergiatkan solidariti kita dengan Palestin.

Selain menyuarakan pengutukan keras dan bantuan kemanusiaan, kerajaan Malaysia sehingga hari ini belum mengamalkan strategi Boikot, Lups dan Sekat (BDS) yang diangkat oleh masyarakat antarabangsa. Lebih mengecewakan lagi ialah kerajaan tidak bersedia untuk melarang pelaburan berkaitan Zionis secara serius. BlackRock dan anak syarikatnya, Global Infrastructure Partners (GIP) adalah pembekal senjata kepada genosida yang sedang berlaku. Walaupun menerima bantahan awam yang kuat, kerajaan Malaysia bertegas untuk meneruskan rancangan penswastaan MAHB dengan membenarkan BlackRock-GIP mengendalikan lapangan terbang Malaysia.

Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) telah dimaklumkan bahawa seorang aktivis dari Tanjung Malim, Mythreyar Mutturamalinggam telah memutuskan untuk melancarkan mogok lapar bagi membantah dasar kerajaan yang membenarkan pelaburan Zionis mengambil alih infrastruktur strategik negara.

Saudara Mythreyar akan memulakan mogok lapar pagi esok pada 10 Julai 2024. Objektifnya adalah untuk menyeru kerajaan menghentikan perjanjian BlackRock-MAHB. Sidang media akan diadakan pada jam 9:30 pagi di hadapan Bangunan Parlimen. Semua pengamal media dijemput hadir. 

SSP menghormati dan menyanjung tinggi keberanian Saudara Mythreyar atas komitmen beliau terhadap perjuangan perpaduan untuk Palestin. Kami menggalakkan semua penyokong perjuangan pembebasan Palestin untuk datang bersama memberi sokongan kepada usaha Saudara Mythreyar.

BEBAS PALESTIN!

Tian Chua,
Jurucakap
Sekretariat Solidariti Palestin
9 JULAI 2024



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mari menyanyi. Ahai ahai ketawalah lagi. Ahai ahai ketawalah lagi. Hahaha.

Tanpa Nama berkata...

Raja formula & phd gagal d peti UNDI kahkahkah teruskan lwn lmogok kahkahkah