Jumaat, 16 Ogos 2024

RUNDINGAN GENCATAN SENJATA




Hari kedua rundingan gencatan senjata Gaza, kematian melebihi 40,000

DOHA: Perunding perjanjian gencatan senjata di Gaza hari ini mengadakan pertemuan kedua di ibu negara Qatar, Doha, ketika angka kematian penduduk Palestin melebihi 40,000 mangsa.

Malah, ketika pertemuan itu diadakan, tentera Israel terus menyerang sasaran di wilayah Palestin terutama premis di mana orang awam berlindung, yang didakwa Israel sebagai markas pejuang Hamas.

Semalam, Pegawai Kesihatan Gaza melaporkan, jumlah kematian melebihi 40,000 orang selepas lebih 10 bulan pertempuran.

Menurut pegawai Qatar dan Amerika Syarikat (AS), rundingan gencatan senjata yang dibuka semula semalam dan disambung hari ini.

Jurucakap Jabatan Keselamatan Negara AS, John Kirby berkata, rundingan itu adalah penting bagi menamatkan perang yang sudah lama berlarutan.

"Halangan yang selebihnya boleh diatasi, dan kita mesti menutup proses ini dengan memuktamadkan perjanjian gencatan senjata," katanya.

Dalam pada itu, tindakan Israel meneruskan serangannya ke atas Gaza dikecam pelbagai pihak yang turut mempertikaikan keikhlasan regim Zionis menghormati rundingan itu.

Pegawai Kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin terbunuh semalam dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di Jabalia, utara Semenanjung Gaza.

Tentera Israel sebelum ini menyerang sasaran awam di bandar selatan Rafah dan Khan Younis.

Ahli biro politik Hamas, Hossam Badran berkata, operasi berterusan Israel adalah penghalang untuk meneruskan gencatan senjata.

Beliau berkata rundingan itu mesti bergerak ke arah pelaksanaan perjanjian rangka kerja yang diterima sebelum ini bagi mencapai gencatan senjata sepenuhnya.

Antara syarat asas bagi gencatan senjata peringkat pertama selama enam minggu ialah pengunduran tentera Israel, pemulangan tahanan Palestin dan perjanjian pertukaran tebusan Israel yang diculik Hamas.

Pegawai Hamas tidak menyertai rundingan itu semalam, sekali gus menimbulkan pertikaiakn mengenai keberkesanan usaha negara pengantara, AS Qatar dan Mesir itu.

Bagaimanapun, pengantara merancang untuk berunding dengan pasukan perunding Hamas yang berpangkalan di Doha selepas mesyuarat berkenaan.

Menurut pegawai pertahanan, delegasi Israel termasuk ketua perisik, David Barnea, ketua perkhidmatan keselamatan domestik, Ronen Bar dan ketua tebusan tentera, Nitzan Alon.

Rumah Putih menghantar Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA), Bill Burns dan utusan Asia Barat AS, Brett McGurk.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan ketua perisikan Mesir, Abbas Kamel, turut mengambil bahagian.

Rundingan itu adalah satu usaha untuk menamatkan pertumpahan darah di Gaza dan membawa pulang 115 tebusan Israel dan warga asing.

Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk berkata angka kematian Gaza yang kini melebihi 40,000 mangsa adalah detik suram bagi dunia.

"Keadaan yang tidak dapat dibayangkan ini adalah disebabkan kegagalan berulang Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk mematuhi peraturan perang," katanya dalam satu kenyataan dari Geneva, semalam.

Secara berasingan, tentera Israel berkata ia 'menghapuskan' lebih daripada 17,000 pejuang Palestin dalam kempen di Gaza. - REUTER

NAK BERUNDING

DENGAN HAMAS

AMIN

TAPI WAKIL HAMAS

TIDAK HADIR

KAH KAH KAH

INI PROJEK

 AMERIKA

NAK GAGALKAN

IRAN SERANG

ISRAEL

KHALAS

Tiada ulasan: