Jumaat, 11 Oktober 2024

GAZA SETAHUN KEMUDIAN


GAZA SETAHUN

KEMUDIAN


Sesudah  subuh Sabtu 7 Oktober 2023 - setahun dulu - dunia kita berubah.  Satu tahun sesudah Hamas melancarkan Taufan Al-Aqsa geo politik dunia berubah.  Pandangan dunia anak-anak muda hampir di seluruh dunia berubah.  Naratif politik dunia telah diubah.

Israel tidak lagi dilihat sebagai Israel. Dulu dilihat kukuh gagah dan perkasa. Dulu di lihat sebagai negara demokratik berbanding dengan negara bebal seperti Saudi Arabia.  Kini Israel tidak lagi dilihat sebagai pancaran sinar demokrasi di Timur Tengah. 

Pemahaman tentang apa sebenarnya ideologi  Zionisme  semakin difahami ramai  dan merebak.   Dunia terpecah kepada dua. Satu penyokong Zionis Israel. Dan satu lagi menyokong perjuangan Palestin untuk menegak keadilan dan mendirikan negara sendiri. 

Bumi manusia di cabar oleh Taufan Al-Aqsa. Umat manusia berhadapan dengan persoalan kemanusiaan. Dimana kamu berdiri sebagai manusia. Bersama keadilan atau bersama kezaliman.

Umat manusia dipaksa dan di wajibkan  membuat keputusan. Tidak tahu, tidak ambil pot dan tidak peduli bukan jawapan. 

Pada subuh  7 Oktober 2023 Taufan Al-Aqsa membuka langsir perjuangan Palestin  untuk dunia melihat. Perjuangan adil Palestin kini menjadi agenda utama dunia. Hak keadilan Palestin tidak boleh di ketepikan. Tidak boleh diabaikan. Tidak boleh di injak-injak.

Ketika saya menulis ini telah genap satu tahun Palestin menjadi agenda perbualan dunia. Jalan raya di London, Paris, Sydney, Tehran, Washington, Karachi, Tokyo, Berlin , Melbourne  menjadi wadah politik. Di serata pelusuk dunia pertanyaan muncul : Apakah kamu  masih menyokong   Israel atau menyokong Palestin.  

Dalam masa yang sama sesudah 7 Oktober 2023  muncul  peluang besar untuk  membogelkan ajen-ajen dan penyokong senyap Zionis Israel.  Ajen dan penyokong Israel ini menyamar dan  bergerak secara senyap-senyap. Negara yang mengklim negara Islam tapi hakikatnya menyokong Zionis. Mereka  di telanjangi oleh Taufan Al-Aqsa

Pemimpin politik di negara Islam bersuara lantang  menyokong Palestin tapi dalam gelap menjalin hubungan intim dengan Zionis Israel.  Ada pemimpin negara Islam yang klim menyokong Palestin tetapi  dalam gelap berniaga dengan syarikat senjata Zionis Yahudi  seperti Blackrock. Sesudah subuh 7 Oktober 2024 mereka di telanjangi oleh fakta kebenaran.

Wayang dan teater  pemimpin Islam jenis ini  wajib terus  diumumkan kepada dunia dan kepada orang ramai. Inilah yang dibawa oleh Subuh Taufan Al-Aqsa  setahun dahulu.  

Hamas -  Pergerakan Penentangan Islam, di singkat  menjadi Hamas. Ini gerakan sebuah organisasi politik Islam Sunni berpaksikan nasionalisma Palestin. Hamas memiliki  sayap tentera yang dipanggil Briged Ezzedeen Al-Qassam. Hamas telah mentadbir Semenanjung Gaza yang diduduki Israel sejak 2007

Pergerakan Hamas diasaskan oleh sarjana Islam Palestin Ahmed Yassin pada tahun 1987, selepas tercetusnya Intifadah Pertama. Intifada ialah gerakan massa  menentang pendudukan Israel.  Hamas  muncul daripada badan amal Islam Mujama al-Islamiya 1973  yang bergabung dengan Ikhwan Muslimin.

Zionis Israel boleh membunuh ramai pemimpin gerakan pembebasan Palestin. Tetapi  fikrah untuk mendirikan negara Palestin ini tidak akan dapat di kalahkan dengan apa saja senjata. Bala tentera Zionis Israel dengan senjata  tercanggih dari kilang senjata  Blackrock  sekali pun tidak akan berjaya memadamkan api : Dari Sungai ke Segara Palestin  akan Merdeka – From the River  to the Sea Palestin will be Free.

Satu tahun selepas Gaza diserang  oleh bala tentera Zionis mari kita butirkan satu per satu perubahan yang telah berlaku. 

Pada Ahad 8 Oktober 2023 dunia di kejutkan dengan berita kibbutz  Israel di serang oleh Briged Al-Qassam. Kibbutz ini perkampungan baru seperti  perkampungan Felda.  Tanah Felda kita dibuka dari hutan dara. Manakala tanah kibbutz negara Yahudi ini  dirampas dari  tanah kampung Palestin.  

Media dunia melaporkan pengganas Hamas membunuh orang kampung. Pengganas Hamas menyerang konsert muzik yang sedang berjalan. Anak-anak kecil dibunuh dan di bakar. Perempuan mengandung di bunuh. Wanita  Israel di rogol. Rumah di bakar. Seramai 1200 warga Israel dibunuh dan 250 ditawan.

Heboh yang amat heboh. Ini berita sehari selepas 7 Oktober. Naratif ini di jaja dan dihebohkan oleh seluruh media dunia

Dari Rumah Putih  Presiden Biden sendiri mengakui dia telah melihat gambar kanak-kanak mati dibunuh dan di bakar. Amin

Dunia diperlihatkan gambar kereta-kereta terbakar. Rumah-rumah hangus. Tanda tembakan peluru di dinding rumah di sana sini. Ini kerja siapa ?

Tiga bulan kemudian naratif ini kantoi. Malah kajian dan siasatan dari wartawan Israel sendiri mendapati bahawa majoriti yang terbunuh pada subuh 7 Oktober itu telah  di bunuh oleh soldadu Israel sendiri.

Dunia kini diberitahu tentang wujudnya  apa yang di panggil Hannibal Protocol atau Arahan Hannibal.

Semua ini dibocorkan oleh  Yehuda Shaul  bekas soldadu Israel yang  berusia 41 tahun, Shaul ialah pengasas bersama NGO Israel Breaking the Silence. Badan Bukan Kerajaan ini adalah organisasi pertama veteran tentera Israel yang menyeru untuk menamatkan pendudukan Israel di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza.

Arahan  atau Prosedur Hannibal atau Protokol Hannibal, adalah dasar ketenteraan Israel yang menetapkan penggunaan kekerasan maksimum sekiranya seorang  warga atau soldadu diculik.

"Anda akan melepaskan tembakan tanpa kekangan, untuk mengelakkan penculikan," katanya, sambil menambah bahawa penggunaan kekerasan dilakukan walaupun berisiko membunuh seorang  tawanan.

Selain menembak ke arah penculik, askar boleh menembak di persimpangan, jalan raya, lebuh raya dan laluan lain yang mungkin ditembak oleh pihak lawan, kata  Shaul veteran soldadu  Israel ini.

Dunia kini faham majoriti warga Israel yang dibunuh di subuh  7 Oktober 2023  telah di bunuh oleh soldadu Israel sendiri. Ini dilakukan agar mereka tidak menjadi tawanan Hamas. Amin

Laporan seperti ini telah mengubah pandangan dunia terhadap Israel. Ini ditambah pula dengan perancangan rapi dasar kerajaan Netanyahu yang mahu memusnahkan dan membunuh semua warga Palestin.

Kalau dulu  berlaku genosid di Kamboja 1974-75. Berlaku genosid di Rwanda 1994. Dulu kita hanya membaca berita genosid.  Kini tahun 2024 dunia  dengan bantuan Internet dan media sosial sedang melihat genosid dijalankan oleh Israel di hadapan mata kita 24-7 secara terus menerus.

Apartmen  di ledak runtuh. Hospital dan masjid di bom. Sekolah dan Universiti di musnah. Mayat bergelimpangan disana sini. Tidak ada yang selamat di Gaza.

Hari ini kita diberitahu jumlah yang terkorban telah melintasi 50 ribu. Ini berasakan mayat-mayat yang ditemui. Masih banyak lagi mayat hilang reput dalam timbunan bangunan yang runtuh rantah. Majoriti yang gugur adalah wanita dan kanak-kanak.

Ada kumpulan pakar yang  menggunakan nisbah konservatif satu kematian akibat kecederaan traumatik kepada empat kematian tidak langsung. Justeru  menganggarkan lebih daripada 186,000 kematian (langsung dan tidak langsung) sudah dikaitkan dengan perang di Gaza pada 19 Jun 2024.

Berita dan imej dari media sosial yang dilihat kini mengubah pandangan dunia terutama anak-anak muda di Amerika dan di Eropah. Mereka keluar ke jalan raya. Kerajaan UK, kerajaan German, Perancis, kerajaan Australia – semua bersubahat membantu projek genosid Israel. Tetapi rakyat mereka tidak menyokong. Ribuan warga tua dan muda, jantan, perempuan dan sida turun berdemo.

Malah bangsa Yahudi sendiri di London dan di New York  telah sama bangun  ke jalan raya menentang apa yang dilakukan oleh Zionis Israel. Anak anak muda Yahudi tidak lagi bersedia menerima bulat-bulat propaganda Israel.

Holocaust selama ini telah di gunakan dengan bijak agar dunia memberi simpati kepada Israel. Satu ketika dulu di ceritakan bahawa  Yahudi menjadi mangsa Nazi Hitler.

Naratif  Holocaust dimana Nazi Hitler membunuh  beramai-ramai Yahudi  dalam Perang Dunia Ke Dua  kini pecah terbarai. Dunia kini – terutama selepas Taufan Al-Aqsa -  melihat  Zionis  telah mengambil alih peranan Nazi. Kini Hitler telah di ganti dengan Netanyahu.

Kaum Yahudi yang tertindas kini menjadi kaum Yahudi yang menindas. Amin.

Kerajaan  di Eropah juga sedang berhadapan dengan pemberontakan rakyat yang mahu hubungan dengan Zionis Israel di hentikan. Warga negara Eropah mahu genosid dihentikan. Pemberian dana, pemberian senjata dan sokong  politik terhadap Israel di tamatkan.

Sepanyol , Norway dan Ireland dari Eropah kini mengiktiraf negara Palestin. Ini satu kemajuan.

Dalam masa yang sama pemberontakan rakyat telah mula mempengaruhi kerajaan di UK di German dan di Perancis untuk mengubah haluan. Kerajaan UK dan Perancis kini mahu memberhentikan penghantaran senjata.  Negara ini membatalkan lesen jual beli senjata dengan Israel. German juga akan membuat perkara yang sama.

Kerajaan  kapir Eropah kini berubah. Maka kini yang tinggal hanyalah kerajaan yang klim sebagai negara Islam. Negara-negara Arab yang bersempadan dengan Palestin seperti Mesir, Saudi dan Jordan bukan saja tidak menyokong perjuangan Hamas dan Palestin malah negara-negara ini belot menyebelahi Israel. 

Ketika peluru berpandu Iran melintasi ruang udara Jordan  askar Jordan telah  menangkis peluru ini.  Di Saudi kita terbaca  berita bagaimana polis Saudi akan menangkap sesiapa saja yang berani memakai  kaffiyeh selendang hitam putih  simbol Palestin. 

Manakala Turki yang beretorik anti Israel masih membenarkan aliran minyak masuk dari Azerbaijan melalui Turki. Jika aliran minyak ini ditutup Israel akan padam.

Manakala kita di Malaysia juga sama melakukan pembelotan terhadap perjuangan Palestin. Kerajaan Madani hari ini yang beretorik menyokong Palestin telah menjualkan 39 lapangan terbang kita kepada syarikat Zionis Yahudi Blackrock. Syarikat ini adalah pembekal utama senjata kepada Israel.

Masyarakat  dunia juga melalui BDS – Boycott Divestment and Sanction -  telah meminta kerajaan Madani supaya tidak menjadi pembekal jentolak Caterpillar untuk rantau  Asia-Pasifik. Jentolak Caterpillar ini memainkan peranan penting membantu soldadu Israel memusnah rumah dan tempat kediaman  warga Gaza.

Satu tahun sesudah Taufan Al-Aqsa genosid masih berterusan. Perang kini merebak ke Lebanon  ke Syria, ke Yaman dan ke Iran. 

Walau apa pun garis politik dan pandangan dunia kita – kita   wajib  menghormati kejayaan Hamas  yang  kini dapat bertahan setahun menentang kekuatan bala tentera Zionis Israel.

Jangan kita lupakan Houthi  Yaman – negara miskin – tetapi gagah berani bangun melawan Zionis Israel

Akhirnya kita  juga bersama warga dunia wajib memberi tabik hormat  kepada Iran yang kini menjadi kemudi perlawanan menentang Israel. Amin . (TT)


TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/722236



 
.

 








.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kena bom dengan pager dan walkie talkie tak diriwayatkan ke? kalau israel sudah kalah kenapa lubnan dibantai setiap hari? masih khayal isam gam ke? Kah kah kah!