Indonesia tegas pertahan kedaulatan di Laut China Selatan
JAKARTA: Indonesia menegaskan akan mempertahankan kedaulatannya dalam isu Laut China Selatan, kata Kementerian Luar susulan sebuah kapal pengawal pantai China mengganggu tinjauan firma tenaga negara itu.
Minggu lalu, Indonesia berkata, mereka sudah mengusir kapal pengawal pantai China sebanyak tiga kali dalam tempoh beberapa hari setelah kehadiran kapal itu dikesan di perairan sekitar lebih 1,500 kilometer dari tanah besar China, yang mengganggu sebuah kapal syarikat Pertamina.
China sebelum ini mengakui kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan dan ia turut ditegaskan melalui armada kapal pengawal pantai, dengan beberapa daripadanya didakwa negara jiran bertindak agresif dan cuba mengganggu aktiviti tenaga dan perikanan.
"Mengenai Laut China Selatan, tiada perubahan daripada kerajaan Indonesia. Kami akan melakukan apa yang sewajarnya.
"Kami sedang mencari pengesahan dan bertukar maklumat. Kerja di lapangan membabitkan banyak pihak," kata jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Roy Soemirat pada sidang media.
Walaupun kapal pengawal pantai China sudah beberapa kali dilihat berada di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia, insiden terbaharu ini berlaku hanya beberapa hari selepas Prabowo Subianto memegang jawatan presiden.
Kementerian Luar China minggu lalu pula berkata, pengawal pantainya menjalankan laluan rutin 'di perairan di bawah bidang kuasa China' dan mereka bersedia bekerjasama dengan Indonesia untuk menangani insiden itu dengan baik.
China biasanya mendakwa kapal pengawal pantainya beroperasi secara sah dan profesional bagi mencegah pencerobohan di perairan yang dianggap sebagai miliknya.
Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague pada 2016 menyatakan tuntutan kedaulatan China itu tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa namun ia tidak diakui Beijing.
Walaupun Beijing sering berkonflik dengan Filipina di Laut China Selatan dan pernah bertelagah dengan Vietnam dan Malaysia, pertembungan dengan Indonesia pula jarang berlaku.
Pada 2021, kapal-kapal dari Indonesia dan China saling bertembung selama beberapa bulan berhampiran pelantar minyak bawah laut yang sedang menjalankan penilaian pengeluaran di Laut Natuna.
Ketika itu, China mendesak Indonesia supaya menghentikan penggerudian di kawasan yang dianggapnya sebagai wilayahnya. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan