Isnin, 11 November 2024

TRUMP JADI PRESIDEN SEKALI LAGI


DONALD TRUMP

JADI PRESIDEN

SEKALI LAGI


Mengundi pemilihan Presiden Amerika berlaku pada Selasa 5 November 2024. Di Amerika hari Selasa - kita  di Malaysia dah masuk hari Rabu. Keputusan muktamad kita ketahui pada hari Khamis.

Bila saya menulis pada hari Khamis keputusan ialah Donald Trump dari Parti Republikan  mendapat 295 undi negeri dan 226 untuk  Kamala Harris dari Parti Demokrat. Ini keputusan 49 dari 51 negeri di Amerika. 

Kamala mendapat 67,919,116 undi popular atau 48%. Manakala Trump mendapat 72,615,305 atau 51%.

Keputusan ini memenangkan Donald Trump untuk jadi Presiden Amerika ke 47. Kamala Harris telah mengucap tahniah dan menerima kekalahan. Presiden Biden juga memberi ucapan yang sama.

Dalam pemilihan 2024 kali ini Parti Republikan juga menang di kedua-dua Dewan Kongres – Lower dan Upper House. 

Ini bermakna Parti Republikan tapau semua punca kuasa di Amerika. Ini bermakna Trump menjadi amat kukuh  sebagai Presiden kerana semua punca kuasa kini dimiliki oleh  Parti Republikan. Amin.

Seyogia diingatkan bahawa sosok yang bernama Donald Trump ini masih berhadapan dengan 4 pertuduhan jenayah dan 34 pertuduhan penipuan dalam hal perniagaan. Ketika menjadi Presiden kali pertama (2016-2020) -  Trump mahu di pecat sebanyak dua kali.

Jangan lupa fakta ini : sebelum menceburi politik Trump adalah ahli perniagaan. Dia pernah berhadapan dengan 4000 kes  dakwaan yang bersangkutan bil yang tidak dibayar, tipu jual beli dan tipu ijazah universiti.

Hebat sosok ini. Tetapi kenapa rakyat Amerika secara beramai-ramai mahu sosok ini menjadi Presiden sekali lagi. Malah ketika pemilihan tahun 2020 Trump enggan menerima kekalahan. Dia menuduh Biden dan Parti Demokrat telah menipu undi. Hebat sosok ini.

Pandangan politikus dunia terhadap Trump pada satu ketika dulu agak mencurigakan.

Justeru kita membaca tweet Perdana Menteri Keir Starmer dari UK : Apabila penunjuk perasaan pro-Trump menyerang bangunan Capitol  pada Januari 2021, Starmer menulis tweet: "Ini bukan 'penunjuk perasaan' - ini serangan langsung ke atas demokrasi dan penggubal undang-undang yang melaksanakan kehendak rakyat Amerika."

Yang berdemo adalah penyokong Trump. Mereka memecah masuk ke dalam Dewan  Capitol. Dewan ini sama seperti Dewan Parlimen kita.

Pada Selasa 5 November  Starmer mengalih kemudi dan terus mengucap tahniah kepada Trump dan berharap Amerika dan UK dan terus bekerja sama. Kah kah kah.

Ucapan tahniah juga sampai dari Macron di  Paris, dari Modi di New Delhi, dari  Olf Sholf di German.

Perdana Menteri Hungary Viktor Orbán menulis dalam media sosial “Selamat pagi, Hungary! Menuju kemenangan yang indah,”. 

Orbán sekutu garis kanan Trump yang lama di Eropah. Dia menganggap Trump ini mati hidup kembali. Pandangan Orban ini adalah pandangan semua pemimpin parti politik garis kanan di Eropah termasuk Meloni dari Itali.

Netanyahu yang sedang berperang di Gaza dan Lebanon  menganggap Trump sebagai "kemunculan semula terbesar dalam sejarah!". Netanyahu meramalkan "komitmen semula yang kuat" kepada pakatan Amerika -Israel.

Gendang perang juga telah di pukul oleh  Mark Rutte Setiausaha Agong NATO bekas Perdana Menteri Belanda. 

“ Saya mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas pemilihannya sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Saya berharap dapat bekerjasama dengannya sekali lagi untuk memajukan keamanan melalui kekuatan melalui NATO.

Saya melihat NATO menghadapi semakin banyak cabaran di peringkat global, daripada Rusia yang lebih agresif, kepada keganasan, kepada persaingan strategik dengan China, serta peningkatan penjajaran China, Rusia, Korea Utara dan Iran.”

Satu ketika dulu NATO bertelagah dengan Trump. Bertelagah kerana Trump mahu  31 anggota yang lain wajib bersama keluar duit  untuk membiayai bajet NATO.

Dalam semua ucapan ini ada satu sosok yang semakin terdesak. Sosok ini ialah Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky. Dia dilapur menalipon dan mengucap tahniah pada Trump.

 "Saya menghargai komitmen Presiden Trump terhadap pendekatan 'keamanan melalui kekuatan' dalam hal ehwal global," tulis presiden Ukraine ini dalam sosial media.

Sama seperti Netanyahu Presiden Zelensky juga bergantung nafas dengan Amerika. Tanpa bantuan dolar dan peluru dari Amerika  perang Ukraine dan perang Gaza ini telah lama tamat.

Hakikatnya pada  ketika ini dua sosok yang mewakili dua perang ini sedang berdebar-debar menunggu apa yang akan dilakukan oleh Presiden Amerika ke 47.

Saya sendiri penyokong tegar Trump. Saya  gembira apabila Trump menang. Saya penganut garis kiri akan dianggap pelik dan belot kerana menyokong Trump dari garis kanan. Apakah ini satu kontradiksi? Apakah ini satu kejulingan politik?

Tidak. Saya memiliki hujah untuk mempertahan garis politik yang saya pegang. Untuk saya sistem dua parti di Amerika ini sama seperti memilih Coca Cola atau Pepsi Cola.  Tidak ada beza. Kedua-dua kompeni  milik syarikat  kaum pemodal Zionis.

Arwah Presiden Cuba Castro (1926-2016) ditanya mengenai pilihan raya Amerika tahun 1960, calon mana yang lebih disukainya, Nixon atau Kennedy? 

Castro menjawab: "Ia seperti membandingkan dua kasut yang dipakai oleh orang yang sama. Amerika hanya ditadbir oleh satu parti, iaitu parti Zionis, dan ia mempunyai dua sayap: Sayap Republikan mewakili kuasa Zionis yang melampau, dan sayap Demokrat mewakili kuasa Zionis yang lebih lembut. Tidak ada perbezaan dalam matlamat dan strategi. Walau bagaimanapun, cara dan alat berbeza sedikit untuk memberikan setiap presiden rasa keunikan dan ruang untuk bergerak. “

Saya amat bersetuju dengan pandangan arwah Fidel Castro ini  tentang parti politik Amerika.  Satu pandangan yang tepat benar dan sahih.

Untuk saya apa yang menarik dan menonjol  dalam pemilihan tahun 2024 ini ialah peranan media. Hampir ke semua stesen TV dan media cetak arus perdana di Amerika dan di Eropah memperlekehkan Donald Trump.

Media liberal dari London , dari Paris atau dari Berlin semuanya menganggap Trump ini tidak layak menjadi Presiden Amerika. Donald ini membawa bahaya jika  menjadi  sosok paling kuat dalam dunia hari ini.

Trump dianggap rasis kerana Trump mahu semua pendatang haram di Amerika di hantar pulang. Trump dianggap sexist kerana banyak kes Trump mengomol, meraba kopek dan celah kangkang wanita yang cantik jelita.

Trump telah di saman oleh beberapa wanita termasuk oleh seorang bekas  pelakon filem porno.

Hanya satu  lapikkan dari semua laporan ini . Media-media ini hanya tidak menuduh  Donald Trump ini gila sasau dan  wajib dikurung.

Malah dua hari sebelum hari mengundi akhbar The Guardian telah memaparkan di muka hadapan gambar Trump bersama  dengan Jeffrey Epstein. 

Jeffrey Epstein (1953-2019) yang dilapur mati membunuh diri dalam penjara ialah seorang  jutawan ahli perniagaan, juga bapak ayam dan pengedar sex  bawah umur – pedofil.

Tujuan berita ini ialah untuk memburukan watak  Donald Trump yang berkawan baik dengan bapak ayam. Membayang-banyakan kemungkinan Trump juga peminat gadis  bawah umur.

Saya adalah pembeli pembaca  setia akhbar The Guardian ini semenjak saya bermukim di London.  Di Kuala Lumpur saya membaca melalui Internet. Saya anggap akhbar ini  liberal dan demokratik. Tetapi dalam hal Trump ini saya dapati The Guardian juga  hampir sama garis dengan akhbar lain.

Satelah Trump diumumkan menang - saya telah menerima surat dari akhbar ini : Congratulations on being one of our top readers globally – you've read 1310 articles in the last year.... Tahniah kerana menjadi salah seorang pembaca terbaik kami di seluruh dunia – anda telah membaca 1310 artikel pada tahun lepas.

Penjenayah yang disabitkan kesalahan Donald Trump akan berkhidmat untuk penggal kedua sebagai presiden Amerika Syarikat. Ini adalah satu lagi detik yang mengejutkan bagi Amerika dan seluruh dunia.

Seperti yang kita lakukan pada 2016, Guardian akan menyahut cabaran untuk mempertanggungjawabkan pentadbiran Trump kerana ia menyerang norma demokrasi dan mengancam kesihatan planet ini. 

Bolehkah anda membantu kami mencabar autoritarianisme, berdiri untuk akhbar bebas dan mendedahkan langkah-langkah yang akan membahayakan generasi akan datang? ( Ini isi surat yang saya terima).

Saya faham akan permintaan akhbar ini.  Tetapi The Guardian ini tidak memahami sikap saya sebagai seorang aktivis penganut fahaman kiri dari Dunia Ketiga. 

Saya bukan tidak memahami atau tidak  menyedari siapa Donald Trump. Sama seperti Fidel Castro saya juga menganggap Amerika adalah musuh rakyat sedunia. Donald Trump mewakili kepentingan kaum kapitalis dunia. Mempertahan dan mengembangkan industri senjata.  Mengancam alam sekitar dunia. Donald Trump bukan Lebai Sudin yang tinggal di belakang kampung saya.

Donald Trump ini orang jahat.

Kalau Trump orang jahat kenapa sokong dia?

Jawabnya mudah. Saya mahu Trump yang kasar lucah  dan rasis ini akan mengharukan dunia. Saya mahu melihat dalam masa empat tahun ini Trump dalam kegilaannya akan memporak perandakan sistem ekonomi kapitalis yang sedia wujud. Saya mahu Trump seorang bilionair akan mengganggu gugat sistem kewangan  di Wall Street. Saya mahu melihat Amerika bergaduh dengan China Merah.

Saya mahu melihat Trump membantu Zionis Israel menyerang Palestin.  Saya mahu melihat perang di Timur Tengah merebak ke Iran, Saudi, Jordan dan Mesir. Saya mahu Trump menaikkan kemarahan dunia Arab dan dunia Islam yang pada ketika ini berpura-pura menyokong Palestin.

Paling penting  saya mahu melihat warga Arab di Mesir , Jordan dan Saudi  turun ke jalan raya menjatuhkan rejim yang ada sekarang. 

Dengan  kasar Trump akan  menelanjangkan dasar imperialis Amerika ke mata dunia. Trump akan menunjukkan taring sistem ekonomi kapitalis. Tidak berlapik, tidak berselindung di bawah payung demokrasi, tidak  berkhutbah tentang hak asasi manusia. 

Empat tahun rejim Trump ini adalah rejim brutal dan ganas.  Kita lihat dan nanti pasti ada banyak rejim-rejim dari  Dunia Ketiga  yang ganas dan jahat akan menjabat tangan dengan Trump. 

Rejim dari negara Asean termasuk Malaysia akan ditelanjangkan sama oleh Donald Trump.  Trump tidak dulak dalik putar alam.  Trump tidak berselindung di belakang akhbar seperti The Guardian. 

Kontradiksi rakyat dunia dengan sistem kapitalis   global akan lebih tajam.

Apa yang wajib kita semua lakukan ketika menyambut Donald Trump ialah bersedia untuk menghumbankan rejim yang pura-pura demokratik walhal zalim dan ganas.

Pada 8 Disember 2023 agensi berita AP melaporkan yang Trump telah berkata jika  berkuasa sekali lagi dia akan menjadi difaktor  sehari pada hari pertama.

Warga dunia sedang menunggu kedatangan diktator ini. Saya juga mengalu-alukan Donald Trump dengan ucapan selamat menghuru harakan dunia. Amin (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA NOW . COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2024/11/11/mengalu-alukan-trump-untuk-menghuru-harakan-dunia






Tiada ulasan: