Pimpinan tewas pada pemilihan peringkat Cabang perlu terima secara terbuka – Fahmi
KUALA LUMPUR – Pimpinan kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tewas pada pemilihan peringkat Cabang perlu menerima secara terbuka.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah memutuskan ahli parti perlu bergerak ke hadapan dengan resolusi yang telah disokong sebulat suara.
“Hasil audit dalaman dan juga luaran menunjukkan bahawa sistem ‘blockchain yang digunakan tidak menyaksikan sebarang bukti pencerobohan, manipulasi data, ataupun sebarang defect kepada sistem.
“Integriti sistem adalah utuh, tidak ada apa-apa bukti gangguan daripada pihak luar atau ketiga. Apa yang input itulah yang output. Jadi ini yang disampaikan semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan siaran baharu TV5 Free-to-Air Digital Movie Channel di platform MYTV, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kehadiran Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pada mesyuarat MPP semalam, Fahmi berkata, pemimpin itu hadir bagi mendapatkan maklum balas mengenai hasil kajian audit pencalonan pemilihan PKR 2025 yang telah dilaksana oleh auditor luar terhadap sistem pencalonan.
“Seperti Setiausaha Agung PKR (Fuziah Salleh) nyatakan, tidak ada apa-apa masalah dengan sistem dan selepas habis mesyuarat itu beliau (Rafizi) beredar dari tempat mesyuarat yang diadakan,” jelasnya.
Semalam, media melaporkan MPP PKR membuat keputusan untuk menerima keputusan pemilihan cabang yang dipertikaikan
Menurut sumber, dalam mesyuarat selama satu jam itu, juruaudit antarabangsa yang dilantik untuk menyemak keputusan pemilihan telah memberi taklimat kepada jawatankuasa kepimpinan menerusi sidang video.
Sumber itu mendakwa tiada sebarang bantahan dikemukakan terhadap keputusan untuk menerima keputusan pemilihan Cabang dan bergerak ke depan.
Sebelum ini, terdapat desas desus menyatakan bahawa keputusan pemilihan Cabang PKR mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kem Rafizi.
Walaupun Rafizi menang jawatan ketua Cabang Pandan, beberapa pemimpin kanan PKR lain tewas, termasuk Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd Halim, serta ahli jawatankuasa pusat, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Fahmi Zainol, Lee Chean Chung dan Rodziah Ismail. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan:
Catat Ulasan