Restoran popular di Indonesia dedah guna minyak babi
SOLO: Sebuah restoran ayam goreng terkenal di Solo, Indonesia, Ayam Goreng Widuran, mencetuskan kontroversi selepas didapati menggunakan minyak babi bagi menggoreng ayamnya, selepas 50 tahun beroperasi.
Pendedahan itu mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan pelanggan beragama Islam, di negara paling ramai penduduk Islam itu.
Restoran yang beroperasi sejak 1973 itu terletak di Jalan Sutan Syahrir No. 71, Kelurahan Kepatihan Kulon, Kecamatan Jebres, dan cukup terkenal sebagai destinasi makanan ayam kampung goreng berperisa tradisional Jawa.
Salah seorang kakitangan restoran itu, Ranto, mengakui bahawa status 'tidak halal' pada menu mereka hanya diumumkan selepas aduan pelanggan tular di media sosial beberapa hari lalu.
"Memang ada makluman bahawa menu itu tidak halal, terutama pada bahagian 'kremes' (keripik ayam). Tapi sejak 'viral' baru-baru ini, barulah pihak restoran beri penjelasan secara terbuka," katanya.
Ranto turut memaklumkan bahawa kebanyakan pelanggan mereka sejak dulu lagi terdiri daripada golongan bukan Islam.
Susulan kritikan yang diterima, pihak pengurusan Ayam Goreng Widuran menambah label 'Tidak Halal' pada papan tanda restoran, laman Instagram rasmi serta aplikasi Google Maps bagi memaklumkan secara jelas kepada bakal pelanggan.
"Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. Kini semua saluran komunikasi kami sudah ditandakan sebagai 'Tidak Halal'. Kami harap diberi peluang untuk memperbaiki kesilapan ini," demikian kenyataan rasmi pihak pengurusan menerusi akaun Instagram @ayamgorengwiduransolo.
Ketua Kementerian Agama Kota Surakarta, Ahmad Ulin Nur Hafsun berkata setiap pengusaha makanan wajib menyatakan secara jelas sekiranya menu mereka tidak halal atau mengandungi bahan haram seperti babi.
"Maklumat ini perlu dimaklumkan secara terbuka kepada pengguna supaya tidak berlaku salah faham. Kita juga akan rujuk perkara ini kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Dinas Perdagangan Kota Solo, Agus Santoso memaklumkan bahawa siasatan terhadap restoran tersebut akan dilakukan pada 27 Mei.
"Kami sudah berbincang dengan beberapa jabatan. Pemeriksaan ini akan menumpukan kepada sumber bahan mentah kerana bahan masak siap sedia adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM)," katanya.
Ayam Goreng Widuran adalah antara jenama makanan tempatan paling lama bertahan di Solo.
Ia dikenali dengan ayam kampung goreng berempah, berdaging lembut serta kremes (lapisan serdak goreng yang ditabur di atas ayam goreng rangup) yang menjadi pelengkap menu.
Namun, pendedahan status tidak halal itu ternyata mencemarkan nama restoran lagenda itu, terutama dalam kalangan masyarakat Islam yang selama ini menjadi antara penyumbang utama pelanggan restoran berkenaan. - AGENSI


1 ulasan:
Kita semua tahu tahap wartawan negara ini kesemuanya lulusan universiti kangkung, bidang apa sekalipun mengikut kuota mengikut kaum mengikut identiti bangsa agama bukan kelayakan, kalau ikut kelayakan sudah lama negara jadi maju, semuanya demi mengekalkan tahap kronisme di tahap disiplin tertinggi kah kah kah sebab itu mamat tidak pandai berbahasa asing terus jadi diplomat kah kah kah mi rest mi case mi lord kah kah kah
Catat Ulasan