Lebih 200 mayat ditemui di lokasi nahas pesawat Air India
NEW DELHI: Lebih 200 mayat sudah ditemui di lokasi nahas pesawat Air India yang terhempas ketika dalam penerbangan ke London, tengah hari tadi.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner itu membawa 169 warga India, Britain (53), Portugal (tujuh) dan seorang warga Kanada tatkala ia terhempas di kawasan perumahan berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad di negeri Gujarat.
Penerbangan AI171 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad menuju ke Lapangan Terbang Gatwick London pada jam 1.38 tengah hari waktu tempatan, menurut Air India.
Selain 230 penumpang, pesawat itu turut membawa 12 anak kapal.
Pesawat itu dilaporkan merempuh sebuah bangunan asrama doktor ketika terhempas.
Sekurang-kurang 204 mayat telah dijumpai di lokasi kejadian, lapor media tempatan memetik Ketua Polis Bandar Ahmedabad, GS Malik.
Seorang mangsa terselamat dikenali sebagai Vishwash Kumar Ramesh, 40, menceritakan detik cemas itu dari katil hospital.
"Tiga puluh saat selepas berlepas, saya dengar bunyi kuat dan pesawat terhempas.
"Apabila saya sedar, saya melihat mayat di sekeliling. Saya ketakutan. Saya bangun dan lari. Serpihan pesawat berada di mana-mana.
"Seseorang menarik saya, meletakkan saya dalam ambulans dan membawa saya ke hospital," katanya sebagaimana dilaporkan akhbar Hindustan Times.
Ketua Pegawai Eksekutif Air India, Campbell Wilson, dalam satu kenyataan melalui video pada sebelah petang tidak menyebut angka korban atau jumlah mangsa cedera.
Ramai pemimpin dunia dan pengeluar pesawat Boeing turut menyampaikan ucapan takziah atas tragedi itu.
Model 787-8 adalah antara pesawat badan lebar paling laris di dunia.
Pesawat terbabit nahas itu telah diserahkan kepada Air India pada Januari 2014, menurut laman sesawang penjejak penerbangan Flightradar24.
Kumpulan Tata, pemilik Air India, memaklumkan bahawa mereka akan menyalurkan pampasan sebanyak 10 juta rupee (AS$116,858) kepada keluarga setiap mangsa terkorban, selain menanggung sepenuhnya kos rawatan mereka yang cedera.
"Selain itu, kami juga akan memberi sokongan untuk membina semula asrama B J Medical," kata Pengerusinya, N Chandrasekaran.
Lapangan Terbang Ahmedabad yang sebelum ini menangguhkan semua operasi susulan insiden berkenaan, telah menyambung semula operasi penerbangan.
Menteri Penerbangan Awam India, Ram Mohan Naidu Kinjarapu, turut melawat lokasi nahas.
"Kami akan menjalankan siasatan yang adil dan menyeluruh. Kami akan menyiasat secara mendalam untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu," katanya kepada media.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan