Rabu, 19 November 2025

TAIWAN MERDEKA !!!



Taiwan tahan warganegara China disyaki terbabit aktiviti pengintipan


TAIPEI: Taiwan hari ini memaklumkan penahanan seorang warganegara China atas dakwaan terbabit kegiatan pengintipan selepas menggagalkan satu komplot untuk memujuk anggota tentera yang masih berkhidmat serta pesara bagi mengumpul maklumat sulit.

Taiwan yang diperintah secara demokratik — namun dianggap Beijing sebagai sebahagian wilayahnya — sebelum ini menuduh China meningkatkan aktiviti risikan di pulau berkenaan, termasuk menyasarkan Pejabat Presiden, serta mengambil tindakan tegas bagi membanteras usaha itu.

Biro Siasatan Kementerian Kehakiman berkata, seorang warganegara China yang memiliki taraf pemastautin Hong Kong, dikenali hanya dengan nama keluarga Ding, bertindak atas arahan tentera China untuk mendapatkan maklumat sulit.

Menurut biro itu, Ding yang memasuki Taiwan atas alasan urusan perniagaan atau pelancongan, merekrut dua bekas pegawai tentera sebagai anggota teras kumpulan pengintipan sebelum mereka cuba menarik penyertaan anggota tentera yang masih berkhidmat.

"Ding bersama enam individu lain kini ditahan," katanya.

Tiada butiran lanjut diberikan, termasuk tarikh sebenar penahanan atau jantina Ding.

Setakat ini, tidak dapat dikenal pasti wakil peguam atau keluarga untuk mengulas mengenai penahanan itu.

Pejabat Hal Ehwal Taiwan di China juga belum memberikan sebarang maklum balas.

Biro itu turut menyatakan kes ini luar biasa kerana Ding sendiri datang ke Taiwan, sedangkan sebelum ini China lazimnya menggunakan 'kolaborator tempatan' untuk menjalankan aktiviti pengintipan.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Pertahanan Taiwan memaklumkan dua pegawai yang masih berkhidmat didakwa sebagai sebahagian siasatan sama.

"Memandangkan situasi keselamatan semasa, komunis China tidak pernah menghentikan usaha untuk menyusup dan melemahkan Taiwan serta giat membangunkan rangkaian di pulau ini," kata kementerian berkenaan.

"Kementerian mengecam keras tindakan khianat segelintir pegawai dan anggota tentera yang mengingkari sumpah taat setia mereka.

China meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Taiwan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk menganjurkan latihan perang.

Beijing juga tidak pernah menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk meletakkan Taiwan di bawah kawalannya.

Kerajaan di Taipei pula menegaskan mereka menolak tuntutan kedaulatan China dan berikrar mempertahankan demokrasi serta kebebasan pulau itu.

TAIWAN MERDEKA

JALAN TERBAIK

TANPA PERANG 

KHALAS

Tiada ulasan: