Malaysia tidak bertindak terhadap pandangan peribadi orang asing - Mohamad
MEMBAKUT: Kerajaan tidak akan mengambil tindakan diplomatik terhadap mana-mana individu khususnya dari luar negara yang menyatakan pandangan peribadi di media sosial.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pandangan peribadi termasuk individu dari negara jiran yang tular baru-baru ini, tidak mewakili pendirian keseluruhan rakyat negara berkenaan
"Itu suara seorang individu yang partinya tidak menang satu kerusi pun dalam pilihan raya, jadi kita tidak perlu terkejut kerana kadang-kadang hubungan antara parti di sana yang tidak senang dengan kerajaan memang ada.
"Mereka gunakan keadaan ini untuk mengecam Perdana Menteri (Malaysia) kerana ramai yang tidak senang dengan negara kita.
"Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) kita memang dipuji ramai pemimpin dunia atas kejayaan mempengerusikan ASEAN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra dan Makan Tengah Hari bersama Penduduk PDM Brunei di Kampung Brunei di sini, semalami.
Hadir sama, Timbalan Menteri Luar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.
Baru-baru ini, bekas ketua Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand, Jeneral A Rangsi Kitiyansap, dilapor mendakwa Anwar sebagai pengkhianat dan pengintip Amerika Syarikat (AS) susulan peranan Perdana Menteri dalam rundingan damai antara Kemboja dan Thailand.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kejayaan Anwar sebagai fasilitator rundingan damai antara Kemboja dan Thailand membuktikan Malaysia menguruskan hal-ehwal ASEAN dengan baik.
"Kita menjadi fasilitator supaya Kemboja dan Thailand duduk semeja bagi menghentikan peperangan atau melakukan gencatan senjata.
"Dunia menjadi saksi kecemerlangan Malaysia mengurus ASEAN. Kita bukan sahaja dapat mendamaikan konflik Kemboja-Thailand tetapi juga menerima Timor Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan