Rabu, 20 Jun 2018

MERAKAM SEJARAH - BABAK DI BELAKANG TABIR


MERAKAM SEJARAH

BABAK 

DI BELAKANG TABIR 

Apa yang saya rakamkan disini adalah sebahagian dari babak-babak sejarah 9 Mei 2018. Babak-babak ini saya rakamkan kerana saya terlibat atau saya ketahui secara tuntas. Pasti ada babak-babak lain yang  diluar pengetahuan  saya. 

Maka terpulanglah kepada si Polan dan si Palin yang mengetahui babak-babak lain yang diluar pengetahuan saya  untuk merakamkan agar kita dapat melihat secara menyeluruh apa yang telah berlaku hingga membawa kita ke 10 Mei 2018.

Merakam sejarah ini amat-amat penting. Juga wajib untuk kita melihat dan memahami taktik dan stratiji yang membawa kemenangan.

Saya menolak konsep - sejarah ditulis oleh mereka yang menang. Untuk saya sejarah ditulis oleh mereka yang rajin menulis sejarah. Jika malas menulis  walau pun menang semuanya jadi hampeh.

Saya telah menulis tentang ‘ perjumpaan gelap’ di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya pada 25 Febuari. Saya berikan nama perjumpaan gelap atau mesyuarat gelap kerana ianya bukan dijalankan atas nama Pakatan Harapan atau atas nama mana-mana parti. 

Mereka yang datang pada petang itu  dipilih atas kapasti dan peranan yang mereka mainkan dalam parti. 

Pejumpaan di Grand Dorsett ini pada hemat saya amat-amat penting. Melihat  kembali babak sejarah ini saya berani merakamkan bahawa keputusan yang diambil dalam bilik hotel ini telah membuka jalan untuk Pakatan Harapan ke Putrajaya.

Keputusan yang diambil pada petang itu:

Pertama: Pakatan Harapan tidak akan menerima keputusan PRU14 kerana penipuan. Dalam bahasa Inggeris PH tidak akan ‘concede’. Pakatan tidak akan berganjak dari garis ini.

Kedua:  Jika mendapat 55% undi popular maka PH akan mengumumkan kemenangan. Ini lebih dari kejayaan  undi popular PRU13.

Ketiga: Jika mencapai 60% undi popular maka dengan segera Mahathir akan diumumkan sebagai Perdana Menteri.

Kempat : Tagline  untuk garis propaganda ialah - Pru14 Pakatan menang kecuali ditipu.

Tagline - kecuali ditipu - ini amat-amat penting kerana ianya menyediakan suasana untuk membawa rakyat ke jalan raya jika Najib masih berjaya menipu dalam pilihan raya.

Kecuali ditipu - adalah stratiji mengolah persetujuan untuk menghasut orang  ramai agar sedar bahawa SPR atas arahan  Najib telah menyusun penipuan.  Ertinya Najib hanya akan menang PRU14 dengan jalan  tipu.

Tagline ini amat amat penting dalam usaha  menghasut  rakyat. Penipuan SPR wajib ditanam ke dalam fikrah orang ramai sebelum apa-apa langkah diambil.

Pada 10 March 2018 - dalam program Jelajah di Bachok Kelantan  - kain rentang -  PRU14 Pakatan Menang  Kecuali  di Tipu - telah dilancar oleh Dr Wan Azizah dan Dr Mahathir. Maknanya - stratiji Hotel Dorsett telah secara resmi diterima pakai oleh pucuk pimpinan  Pakatan Harapan.

Dalam semua ceramah Jelajah Pakatan Harapan - saya hanya menjual tagline - Kecuali DiTipu. Dr Wan Azizh dan Dr Mahathir tidak dapat tidak telah  terkena tempias ceramah saya. Justeru mereka  juga telah turut sama  mengambil garis   - SPR menjalankan penipuan untuk memenangkan Najib.

Apabila Mahathir dan Wan Azizah berceramah tentang SPR menipu  maka kerja saya menghasut menjadi lebih licin. Amin.

Selain dari ahli United Malays National Organisation ada juga warga yang kurang yakin tentang  penipuan SPR. Sosok ini mahu bukti. Tidak cukup dengan persempadan semula. Tidak cukup dengn 900 kali nama Fatimah Ismail dalam senarai nama pengundi. Tunjukan bukti.

Tetiba yang gemok datang melayang. Yang kurus datang tergolek. Di hari penaman calon ada tiga kes penipuan berlaku. Pertama di Negeri Sembilan apabila calon PKR dihalang untuk mendaftar diri. Kedua kes Tian Chua di Batu. Dan ketiga kes calon PKR di Penaga. Kelmarin tidak muflis. Sesudah  penamaan calon diistihar muflis.

Tiga kes ini jelas kerja menipu SPR. Kes ini menjadikan kerja saya cukup senang untuk menghasut orang ramai agar yakin SPR telah menipu. Saya menghasut orang ramai untuk percaya bahawa Najib akan  menang PRU14 hanya dengan cara tipu. Amin.

Pada 28 April 2018 - dihari penamaan calon saekor  lagi kerbau gemok datang melayang. Ulam yang diidamkan petai yang sampai.

Tayar pesawat jet yang akan ditumpangi Mahathir telah pecah. Mahathir dalam perjalanan ke Langkawi telah menuduh ‘ada tangan ‘ yang mensabotaj pesawat ini dengan tujuan untuk mengagalkan Mahathir dari mendaftar sebagai calon.

Kes sabotaj pesawat jet ini menjadi gulai tambah dalam usaha saya menghasut orang ramai. Najib  bukan sahaja menipu malah sanggup melakukan kerja jahat untuk terus berkuasa.

Saya ucapkan jutaan terima kaseh - shukran jazilan -  kepada penasehat Najib yang merancang untuk mensabotaj tayar kapal terbang Mahathir. Ini kerja jahat yang membawa hasil amat baik.

Tiga hari sebelum penamaan calon pada Rabu 25 April satu babak penting berlaku. Jam 4.00 petang waktu bekerja  NGO Veteran telah mengadakan perhimpunan di Lumut. Perhimpunan ini  betul-betul diadakan di sebelah pintu masuk ke Pengkalan Tentera Laut Lumut. 

Awalnya Mat Sabu yang ada bersama merasa chuak  apakah ada para veteran dan pesara soldadu yang akan datang. Jam 5.30 Mahathir akan sampai. Mat Sabu gusar tempat ceramah akan kosong.

Tup Tup - lebih dari tiga ribu yang hadir. Kesemunaya bekas soldadu darat, laut dan keluarga mereka. Paling mengumbirakan ialah empat orang ‘gedebe’  yang telah pencen duduk sebaris dengan askar biasa. Salah saorang gedebe ini baru pencen sebulan yang lalu.

Pada 3 Mei  Panglima Tentera Laut menulis surat terbuka menyatakan bahawa tentera laut tidak menyebelahi sesiapa. Pasukan tentera laut boleh memilih sesiapa yang mereka sukai. Ini petanda yang amat baik. Amin.

Disebelah malam 25 April - ceramah disambung  dari Lumut ke  Seri Iskandar. Tetapi bukan hal ceramah Jelajah  yang mahu saya rungkai. Ada pekara yang lebih penting yang perlu saya bocorkan untuk dirakam sebagai bahan sejarah.

Pada malam itu untuk kali pertama Mat Sabu, Hshamuddin Rais dan Mahathir  Muhamad telah duduk sameja berbincang tentang stratiji PRU14.

‘ Tun kita jangan concede. Sebab Najib menipu. Bila undi popular sampai 55% kita declare menang. Bila cecah 60% kita declare Tun sebagai PM. Bila dapat undi 100 kerusi… Tun talipon kawan-kawan Tun…’ Saya menyampaikan apa yang telah dibincangkan di Hotel Dorsett.

‘ Kita buat macam Kenya… yang sedang terjadi sekarang… ada dua kerajaan…’ Saya menambah penerangan untuk memperkuat hujah.

Mahathir menyatakan kerisauan. Kemungkinan ada YB PH yang akan dibeli. Lalu saya terangkan duduk pekara. Malah  dalam hal ini Mahathir tidak ada pengalaman. Kerana selama ini Mahathir  duduk dalam kerajaan. Macai dan balachi Mahathir yang bertugas membeli. Kali ini semua terbalik.

‘Dalam PRU13 dulu …semua YB datang ke hotel One  World. Seketeriat PKR menempah 60 buah bilik…kita kurung YB disana..’
‘ Kita kumpul di Yayasan Perdana… bila dapat 112 … kita berarak malam itu ke Istana…’. Ini cadangan berarak ke Istana keluar dari mulut  Mahathir sendiri pada malam 25 April. Perbincangan enam mata ini  berlaku  dibilik Presiden Universiti Teknoloji Petronas  Seri Iskandar.

‘Tapi Tun… 112… kita sudah menang…’ Saya menjawab. 

Pada malam itu tidak ada apa-apa yang tuntas diputuskan. Tapi yang penting idea jangan concede telah saya jual dan tanamkan ke dalam kepala Mahathir.

Untuk saya - jangan concede - ini adalah taktik yang paling kompak dan paling solid. Garis politik ini  boleh ke arah ke mana sahaja  - ke jalan raya atau ke Istan Negara.

Kembali ke Kuala Lumpur saya telah dijemput oleh Dr Syed Husin untuk bersama ‘war room’ PKR. Ini kali kedua saya bersama dalam war room PKR. Kali pertama dahulu - dalam PRU13 - saya dijemput bersama oleh Rahim Ghaus. 

Kali ini war room PKR tidak rancak dan slick saperti PRU13. Pada anggapan saya ini kerana Anwar Ibrahim masih dalam penjara. Dalam PRU13 dahulu ramai ‘malaon’ dan ‘tukang bodek’ yang  tak henti-henti menunjukkan muka ke Ibu Pejabat PKR kerana mahu ‘parking’ dekat dekat dengan Dasai.

Saya yang berkesempatan bersama Jelajah Pakatan telah memberi  laporan kepada ‘war room’ PKR. Dari pemerhatian saya kempen Jelajah semakin membesar. Malah dari pemerhatian yang datang ke ceramah  Jelajah kali ini bukan Pak Lebai Ketayap Puteh tatapi  anak semua bangsa dan bangsa semua agama. 

Mahathir menjadi faktor penarik. Orang ramai ingin melihat dan mendengar kesah Najib seorang pencuri dari mulut bekas Perdana Menteri. Ini penting kerana inilah yang menjadi kunci yang membuka pintu kemenangan kepada Pakatan Harapan.

Satu lagi pekara yang amat jelas ialah TIDAk ada gangguan polis terhadap ceramah.

Saya masih ingat lagi ketika gerakan Reformasi mula mengampoh tahun 1998-99. Setiap kali ada ceramah - jalan  besar ke tapak ceramah pasti ada sekatan polis. Tujuan menakut-nakutkan orang yang datang. Menahan Mat Rempit. Semua ini dilakukan atas arahan untuk menggangu ceramah.

Kali ini dalam PRU14 tidak ada langsung gangguan pihak polis. Tidak ada sekatan jalan raya. Tidak kelihatan ‘ light force’. Tidak nampak muka hidung kereta merah FRU.

Hanya di Taiping ada ganguan.  Lori yng dijadikan pentas telah tidak dibenarkan dipasang. Ini atas arahan seorang pegawai polis Taiping. Pada malam itu ceramah Jelajah terpaksa dilakukan diatas pacuan empat tayar.

Kawan-kawan dalam war room PKR pada ketika ini masih belum ada keyakinan  penuh   bahawa kemenagan akan sampai.  Ini kerana mereka tidak bersama menjelajah ke pelusuk negara. Mereka hanya membaca labon media atau mendengar gosip politik atau membaca laporan kumpulan atau syarikat pemungut suara yang diupah khusus untuk memungut suara.

Syarikat pemungut  suara ini terbukti kantoi mantoi. Leceh meceh. Koyak rabak apabila ombak rakyat bangun untuk menghumbankan Najib dan Rosmah ke dalam tong sampah sejarah.  Syarikat atau kumpulan  pemungut suara ini juga hampir sama masuk ke dalama tong  sampah sejarah. Amin.

Apa lagi yang berlaku dalam war room? Banyak lagi. Sila tunggu minggu hadapan. Masih ada kesah dibelakang tabir. (TT)

NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45

-------------------------

3 ulasan:

Unknown berkata...

can't wait to read more! terima kasih rakam sejarah

Tanpa Nama berkata...

Mohon pencerahan tok tt.. masa Anwar masok dalam sg.buloh, hang hasut kami suruh keluarkan Anwar utk jadi piem..sekarang bila Anwar dah keluar, hang hasut kami seolah2 Anwar tak jadi piem pun takpa..aku betui2 cant fius ni, sekarang nak bagi jadi piem ke taknak?..bagitau sebenar2 garis politik yg lurus kali ni tok tt. Jangan bagitau aku yg hang dah terkesima dengan karisma Tun Madey..nampak sangat hang lalang. Lagi satu nak tanya, sejak Abg Mat jadi Menteri Pertahanan ni, dah berapa kali lepak di Old Town.. opps, di restoran hussein??..kah kah kah

Tanpa Nama berkata...

Tapi yg paling melekat dalam benak sanubari rata2 pengundi muda adalah KELUAR MENGUNDI, TANGKAP PENCURI! Golongan graduan muda byk yg menganggur atau mungkin gaji kecik dihimpit pula dgn GST dan harga petrol yg mahal bila ditanya, semuanya bersemangat nak tangkap pencuri. Tak tau la sapa yg mulakan tagline tu tapi mmg mudah faham dan berkesan.