PASCA KOBID
PERANG KELAS KITA
Bila saya menggunakan perkataan kita disini maknanya kita anak semua bangsa. Kita dari bangsa semua agama. Kita bermakna kita warga Tanah Melayu. Kita warga Sabah dan Sarawak. Kita yang dilahir dan dibesarkan di Malaysia.
Tapi awas bukan semua orang dihadapan kita itu termasuk dalam istilah kita - kita. Mereka bukan orang kita. Bukan orang kita ini ialah pendatang. Siapa dia pendatang?
Pendatang ialah orang asing, pekerja asing, buruh asing yang ada permit, buruh haram tak ada permit kerja. Yang menyamar atau menipu kad pengenalan termasuk expat yang halal dan haram. Semua mereka ini adalah pendatang. Mereka ini bukan orang kita. Mereka ini orang lain. Dalam bahasa politik pasca moden mereka ini di takrif sebagai – the other.
Kita wajib jelas dalam hal siapa pendatang dan siapa warga negara. Jangan sesekali merasa chuak atau sangsi dan takut untuk mengeluarkan perkataan pendatang dan kita. Jangan risau atau takut dilontar bom nuclear bernama RASIS.
Kita wajib berani berhadapan dengan ajenda pendatang ini. Jangan ulangi sejarah tahun 1969. Sesudah Mei13 kita selalu terbaca induk berita : masalah kaum disimpan bawah tikar. Masalah perkauman tidak dibincang. Masalah agihan ekonomi tidak ditimbulkan. Melayu marah pada China dan dan dan.
Sudah terantuk baru nak tengadah.
Saya selalu menulis dan mangajukan agar kita semua memiliki sikap seorang matador yang sedang berhadapan dengan lembu jantan yang bernama xenophobia. Sebagai matador yang cekap ketika berhadapan dengan lembu ini kita wajib pegang tanduknya dan dipatahkan lehernya. Amin.
Justeru jangan salah faham. Kita bukan mengembangkan fahaman kanan atau pandangan dunia kanan yang benci kepada orang lain. Tulisan ini bukan menganjurkan fahama xenophobia. Tidak. Tulisan in bertujuan cuba menganalisa dan merungkai ajenda : pendatang asing. Cuba memahami sebab musabab kenapa kita benci kepada pendatang asing. Juga kenapa ajenda pendatang asing ini tenggelam atau apakah ianya sengaja ditengelamkan.
Ditenggelamkan – disimpan bawah tikar sehingga berjaya diselongkar oleh serangan karona. Virus Karona telah membuka mata kita semua untuk berhadapan dengan ajenda pendatang asing.
Untuk memahami pandemic serangan Covid-19 ini kita juga wajib melihat sejarah. Jika kita tidak melihat , merujuk dan memahami sejarah maka babak sejarah itu akan berulang.
Saya mengarap tulisan ini pada pagi Selasa 16 Jun 2020. Pada saat ini seramai 8,112,613 warga dunia telah dihinggapi oleh virus Karona. Seramai 439,501 warga dunia telah mati akibat Covid-19.
Sayugia diberi tahu. Hubaya hubaya. Ini bukan kali pertama dunia menghadapi pandemic saperti yang kita hadapi hari ini. Pada tahun 1918 Spanish Flu telah menyerang Eropah dan merebak ke seluruh dunia. Penduduk dunia ketika itu baru mencecah 500 juta orang. Seramai 50 juta telah mati akibat Spanish Flu.
Sebelum Spanish Flu menyerang wujud wabak tikus - Bubonic Plaque – telah menyerang Eropah. Wabak yang dipopularkan sebagai Black Death – Mati Hitam. Wabak tikus ini sampai ke Eropah disekitar tahun 1347. Dari kajian sejarah kini telah dibuktikan bahawa wabak tikus ini bermula dari Asia – dari Mongolia. Wabak ini secara senyap senyap menular ke India , ke TimurTengah dan akhirnya sampai ke Eropah.
Apa hubung kait Spanish Flu dan Bubonic Plaque dengan apa yang sedang dirasakan di Selayang, di Selangor Mansion, Pudu atau Chow Kit. Apa sangkut pautnya dengan pendatang. Sabar. Semuanya ada pertalian. Babak babak sejarah ini adalah guru yang akan memberi pengajaran kepada kita.
Hakikatnya ada ciri dan pola yang wajib kita ketahui tentang watak penularan wabak yang terdahulu dan wabak Covid-19 terkini.
Wabak tikus bermula di era Pax- Mongolia. Kuasa dunia yang terbesar pada ketiak itu ialah kerajaan Mongol yang menakloki hampir satengah bumi manusia. Kuasa Mongol dari Asia ini telah membuat jaringan apa yang kenali sebagai Jalan Sutera – Silk Road.
China, India , Timur Tengah menjadi rapat melalui Jalan Sutera. Jalan baru ini membuka ruang niaga ke Eropah pada ketika itu. Ini adalah bentuk globalissi di era Pax Mongolia.
Di era Pax Mongolia ini pekan dan bandar baru bertumbuh cambah. Peniagaan semakin racak. Contohnya sebuah kota bernama Kafa di Crimea menjadi pusat peniagaan yang rancak. Perlabuhan kota ini menjadi talian penting perniagaan dari Asia ke Istanbul kemudian ke Venice , Florence dan Genoa di Itali dan Eropah.
Disurahkan dari pelabuhan Kafa 12 kapal telah berlayar ke Messina di Sicily. Dikatakan anak kapal telah dihinggapi oleh wabak tikus yang datang dari Asia. Sesampai ke pelabuhan ini didapati ramai kelasi telah mati. Yang sakit tapi masih hidup membawa jangkitan ke pelabuhan Marseilles. Dari sini ke Lyon di utara Peranchis , ke Bordeoux, akhirnya sampai ke Paris. Dari Marseilles juga wabak ini dibawa oleh pelaut ke Tunis di Afrika Utara.
Pelabuhan menjadi pusat perniagaan. Bila perniagaan makin rancak penduduk makin ramai. Kampong menjadi pekan. Pekan menjadi kota. Pelabuhan menjadi kota kosmopolitan.
Warga kota mula hidup berasak asak. Rumah dan bilik-bilik sempit disewakan untuk pedagang yang lalu lintas dari Jalan Sutera ke pelabuhan. Pekan dan kota yang membesar tanpa perancangan.Entah dimana wajib ada longkang, tandas,, tempat sampah dan kumbahan. Akhirnya kota menjadi kotor. Maka dsinilah tikus membiak.
Ciri dan pola wabak tikus tidak jauh bezanya dari apa yang sedang kita hadapi. Pax Mongolia kini beralih kepada Pax Anglo-Amerikana . Kafa ialah Wuhan kota dagang yang membesar tatapi kotor. Kuala Lumpur juga adalah Kafa. Lalu lintas Jalan Sutera kini menjadi lintas Air Asia .
Dasar berdagang yang terbuka menjemput pendatang asing. Tahun tahun 1300 di Kafa, di Istanbul, di Baghdad, di Kabul , Rome, Venice, Genoa, pelbagai bangsa datang berdagang. Ini tidak jauh bezanya dari Kuala Lumpur. Tiga dekad kebelakangan Kuala Lumpur menjadi pusat perniagaan yang rancak. Lalu Lalang laut , udara dan darat rancak. Berjuta pendatang asing keluar masuk. Ini berlaku bukan hanya kepada Kuala Lumpur. Singapura, Hong Kong, Manila, Jakarta – semua memiliki pengalaman yang sama.
Di India dan di China ada juga pendatang yang meramaikan kota. Mereka ini imgran dari luar kota. Dari kampong dan desa masuk ke kota mencari pekerjaan. Mereka menjadi pendatang haram di kota Wuhan, Beijing , Shanghai, Mumbai atau di New Delhi.
Apa yang jelas ialah ekonomi kapitalisma. Dari era mercantile capitalism – ke era Pax Mongolia hingga ke era kapitalis global ialah akidah mengumpul keuntungan maksima. Kota menjadi pusat perniagaan dan peluang pekerjaan.
Untuk laba cepat warga kota tinggal dalam kawasan sempit berasak-asak. Tuan punya rumah, tuan punya bilik memberi pendatang duduk dalam bilik sewa yang sempit. Disetiap kota ada wilayah miskin. Lagi miskin lagi hampeh tempat tinggal. Lagi hampeh tempat tinggal lagi ramai tikus berkampong. Lagi senang merebak wabak tikus.
Wilayah wilayah miskin saperti Selayang, Pudu, Selangor Mansion, Chow Kit ini hanya wilayah ulang tayang. Wilayah sademikian bukan hanya wujud di Kuala Lumpur. Wilayah miskin ini menjadi tempat berkampong pendatang yang halal dan yang haram. Dari luar negara dan dari dalam negara.
Kota London ada Whitechapel , ada Brixton. Kota Paris ada Pigalle, di Brusells ada Midi, ada Molenbeek , di Karachi ada Korangi, di Berlin ada Kreuzberg dimana imigran Turki tinggal. Di New York ada Harlem. Di Hong Kong ada Sham Shui Po. Di New Delhi ada Balaswa.
Ertinya watak wilayah miskin ini bukan hanya wujud di Kuala Lumpur. Para pelancung terdengar saja nama nama nama wilayah ini akan merasa gerun. Justeru wilayah ini diminati oleh Cik Minah Tikus. Hari ini tahun 2020 wilayah miskin saperti ini menjadi sarang karona membiak.
Wajib juga diberitahu disini bahawa di United Kingdom, di Amerika, di German dan di Brazil – statistik menunjukkan ramai warga menjadi mangsa Karona datang dari wilayah miskin. Di UK dan di Amerika data dan statistic telah menunjukkan jumlah angka kematian lebih tinggi dikalangan mereka yang bukan berkulit puteh.
Ini bukan bermakna virus Karona memilih yang gelap dan hitam sebagai mangsa. Justeru apa makna semua ini. Dari fakta-fakta ini apa rumusan yang boleh dijadikan pelajaran.
Rumusan yang paling jelas pada ketika ini ialah kita sedang berhadapan dengan perang kelas. Perang kelas bermakna kaum buruh dan kaum tani bersatu memerangi kaum feudal dan kaum kapitalis. Kelas feudal dan kelas kapitalis ialah kelas penindas. Mereka menjadi kaya raya dan hidup senang lenang kerana memeras tenaga kaum buruh dan kaum tani. Ini perang kelas dalam takrifan Marxis klasik.
Perang kelas 2020 agak berbeda. Yang sedang melancar perang kelas terhadap kaum miskin, kaum imigran dan pendatang ialah virus Karona. Manakala kaum pemodal, kaum kapitalis dan kaum feudal telah menyelamatkan diri.
Akhbar Guardian London pada 11 March telah melaporkan bagaimana para billionaire dan jutawan telah terbang ke pulau pulau yang selamat. Atau masuk ke gua-gua – bunker - yang dibuat khas kalis senjata nuclear. Dalam gua-gua ini mereka yang kaya hidup selamat dari serangan Karona. Mereka juga telah menghantar jet pribadi untuk menjemput para bomoh tabib dan doctor dari klinik swasta Harley Street London. Kesehatan mereka dijaga rapi.
Jika pun mereka dihinggapi Karona saperti Boris Johnson Perdana Menteri Britain - mereka akan mendpat rawatan terbaik. Ini bebeza dari laporan akhbar Independent London pada 27 March lalu. Akhbar ini melaporan bagaimana anak muda berumur 17 tahun di New York telah sampai ke hospital tetapi telah dinafikan khidmat perubatan kerana tidak memiliki insuran kesehatan. Anak muda ini menjadi statistik menambah angka kematian mangsa Karona.
Pesakit dinafikan khidmat doctor bukan hanya berlaku di Amerika. Kita terbaca berita yang sama berlaku di India, di Indonesia, di China Merah atau di Manila. Yang miskin terlantar mati.
Terima kaseh kerana Covid-19 yang pada hemat saya sedang menimbulkan kesedaran kelas. Apa dia kesedaran kelas. Apa hubungan kita dengan kelas dengan imigran, dengan pendatang, buruh dan warga miskin. Tunggu minggu hadapan. (TT)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan