Rabu, 23 Disember 2020

SAWAH DAN KAHWIN

 


SAWAH DAN KAHWIN

Aku tak berapa ingat bila masanya aku  mula kenal perkataan cinta. Atau aku memahami apa makna cinta. Tapi dalam hal kahwin berkahwin aku amat cerah.     Sebelum aku ke sekolah lagi aku dah tahu apa itu kahwin.

Kahwin untuk aku ialah pesta paling menarik di kampung.  Selain  dari Hari Raya kenduri kahwin adalah hari yang amat menggembirakan. Gembira kerana aku berpeluang memakai pakaian cantik. Gembira kerana ada makanan istimewa.   Gembira kerana ramai rakan sebaya berkumpul dan bermain.

Kalau kenduri kahwin dalam kampung sendiri atau  yang kahwin sepupu atau saudara lagi seronok. Pestanya tiga empat hari. Di Negeri Sembilan kenduri kahwin panggil berolek. Dua tiga hari sebelum berolek    dipanggil rolek rondam. Ini  ialah hari-hari membuat persediaan -  masa memasak,  menggulai  dan potong memotong. Ketika inilah juga Abang dan Pak Cik   memasang tungku dapur,  mendirikan khemah,  Kakak dan Mak  Cik membina pelamin atau membuat bunga telor. 

Satu kampung akan heboh. Semua kerja di buat bergotong  royong. Saudara mara  jiran tetangga datang menolong.

Berolek godang – kenduri besar -  kenduri kahwin  selalunya lepas musim menuai. Padi baru sudah naik ke kepok. Beras baru sudah ditumbuk. Kalau belum cukup  perlu dijemur  untuk  ditumbuk lagi.  Kambing, lembu , ayam dan itik sudah terikat dalam kandang.

Memang zaman ini amat-amat menarik untuk aku. Jujur  aku katakan pada ketika itu aku tak faham pun kenapa  perlu kahwin. Kenapa  bersanding.  Apa makna kahwin pun aku tak faham.

Yang aku tahu pesta-pestaan. Yang aku faham kawan-kawan ramai.  Makan sedap. Paling menarik ketika berkenduri kami kanak-kanak bebas di luar jagaan emak bapak. Aduh!  Gembira lagi menggembirakan. Amin.

Ketika itu aku pun tidak tahu bagaimana Uda berjumpa Dara. Aku juga tidak tahu kenapa Uda nak  kahwin dengan Dara. Apa guna kahwin pun aku tak tahu.  

Hari ini  aku mengingat ingatkan kembali – masa yang telah berlalu.  Aku ini  mencari zaman yang hilang. Mengali-gali ingatan.  Membersihkan sawang dalam kepala untuk tersenyum sambil mengingati kahwin dan orang kenduri  kahwin.

Hari kenduri  kahwin sedang membuka kembali ingatan aku.  Awalnya kabur.  Ketika aku terus menulis ingatan aku  menjadi terang.  Semuanya terbuka kembali.   Aku ternampak di mana aku berdiri. Baju apa yang aku pakai.  Gulai apa ada dalam pinggan.  Aku nampak pengantin bersanding.

Maka dari sini  aku mahu  bermula dari mula.   Agar surah aku ini terus jadi ingatan untuk cucu cicit.  Aku  merayau rayau  mencari zaman yang hilang. Menanamkan  kesah baru untuk sesama jadi ingat ingatan.

Sebagai budak kampung aku membesar dalam sawah padi. Sawah adalah  sebahagian dari kehidupan aku.  Di Kampung Tengah Tengkek – sebahagian dari tanah pusaka keluarga kami ialah tanah sawah.  Tanah kami tidak ada batu penanda. Yang jelas sempadan  tanah kami hanya pada   janji mulut antara kami dengan kami. 

‘  Sawah kao  lopeh anak sungai tu... lopeh  jambatan.. sawah den ke hilir sikit sampai ke  topi porigi... Limo dopo lopeh anak sungai tu... sawah Ludin...’ Ini cara kami mengingati sempadan tanah kami.

Konsep  pemilikan individu ini amat longgar. Sikap kejiranan  amat kukuh. Budaya gotong royong mengikat warga kampung.  Berjiran sama seperti bersaudara.

Mengikut  surah arwah  emak aku   - tanah  Kampong Tengah yang dibuka oleh Tok Sidek hanya ada geran apabila Tuan  Orang Puteh dari Kuala Pilah beri arahan.

Sawahlah yang bertanggung jawab melahirkan budaya. Budaya  Melayu  yang aku anuti adalah budaya  sawah padi.   Pada hemat aku tanpa sawah  padi  Melayu jenis aku ini tidak akan wujud. Aku Melayu kampung dari sawah. Meninggalkan sawah bermakna meninggalkan asal usul. 

Bulat air kerana pembetong

Bulat manusia kerana muafakat

Ke  darat sama di daki

Ke lurah  sama dituruni

Hati gajah sama dilapah

Hati kuman sama di cecah


Ikutlah resmi padi

Makin berisi makin tunduk

Aku masih ingat lagi  kepada Mak Mok -  emak saudara aku – kakak kepada arwah emak aku. Satu pagi dia  memasak nasi pulut. Kemudian nasi pulut ini akan dibalut tiga segi dalam daun palas.   Ini persediaan untuk upacara menyemai benih padi.

Tanah tempat menyemai  benih padi telah disediakan. Tepi sungai tak jauh dari sawah. Sebatang pokok yang memilik banyak cabang dan ranting telah disediakan.  Daun pokok ini telah dibuangkan. Pulut palas akan diikat pada ranting pokok ini sebagai ganti daun. Pokok ini ditanamkan ditengah batas semaian padi.

Benih padi akan ditabur.  Tiga  batas padi – batas  padi biasa, batas  padi pulut putih dan pulut hitam.  Sudah selesai menabur  Mak Mok akan mengambil  pulut palas  yang bergantungan. Kami akan makan  dengan gulai ayam. Beberapa  butir pulut palas akan  ditinggal tergantung atas pokok.

Ketika itu aku tidak faham makna dan tanda upacara ini.  Yang aku tahu makan pulut dengan gulai ayam. Sekarang baru  aku faham.  Upacara ini memiliki  bahasa dan  nahunya. Ini adalah pengucapan Mak Mok aku sekeluarga meminta dari Yang Mah Esa agar benih-benih padi ini akan melahirkan  padi yang lumayan. Selumayan pulut palas yang bergantungan.  Yang kami tinggalkan tergantung itu ada pemberian Mak Mok  aku kepada alam – kepada semut, unggas dan ulat. Amin.

Mengubah padi dari tapak semaikan  ke sawah juga dilakukan dengan penuh tertib. Penuh hormat pada  alam. Sawah telah dibajak, lumpur dan  jerami telah  lumat menjadi baja, parit dan anak air telah dibersihkan. Bila hujan turun padi semaian pun dialih. 

Aku pernah terlihat di tengah lopak sawah  ada tercacak parang patah , sabit, rembeh atau  cangkul lama atau besi buruk. Bila aku tanya kenapa ini dilakukan.

‘  Ini nak mintak semangat padi ... tak runtuh dipukul dek angin... tak tumbang dibalun hujan...koreh macam semangat bosi....’

Baru aku sedar padi pun ada semangatnya. 

Ketika padi  sedang membesar haruan dan puyu juga sama membesar. Inilah ketikanya  aku datang mengotek haruan dengan anak katak  sebagai umpan.  Sesekali aku  juga memasang tajur dalam  lubuk tepi sawah.  

Aku teringat lagi malam mengemping. Malam indah di mana padi muda yang telah dituai akan  digoreng dan ditumbuk untuk dijadikan emping.  Malam mengemping ini kadang kala diikuti pula dengan malam mencari belalang. Orang kampung aku makan belalang padi.  Cara memakan  amat senang - digoreng atau disalai . Belalang yang  disalai boleh digulai  masak lemak santan lada api. 

Tok Lebai atau Pak Aji belum heboh menjual tiket ke syurga lagi. Kami  Melayu  asli bukan Arab makan belalang tak ada larangan..

Sesekali baru aku sedar bahawa ketika malam mengemping dan malam mencari   belalang ini adalah malam-malam indah di mana  anak dara akan berperanan. Dara-daralah  yang akan menggoreng dan   mengemping padi. Kami budak-budak membuat sibuk menghalau kelkatu yang hinggap di pelita.

Anak-anak  dara -  dalam ketawa dan gelak menghilai  - mereka  berpindah dari satu lopak ke satu lopak   menangkap belalang. Ketika inilah Uda  dan  kawan-kawan   dari kampung Hulu datang bertandang  bertanya khabar . Ceritanya -  Uda ternampak cahaya pelita ditengah sawah. Disangka ada kemalangan.

 Uda   siap siaga sedia  datang membantu. Lalu Uda menumbuk lesong. Atau membawa  pelita  mencari belalang.

Bila aku masuk ke sekolah  baru aku sedar  bahawa malam mengemping dan malam mencari belalang adalah malam-malam indah di mana  Uda dapat peluang bertemu Dara. Amin

Ketika emak aku menjadi guru di Batu Serambai  Ulu Klawang keluarga kami ada dua jenjang sawah. Ini bukan tanah sawah kami. Kami pendatang dari luar. Kami hanya mengerjakan sawah ini. Sebahagian dari hasil padi akan kami berikan kepada tuan tanah. Agihan lepas menuai bergantung pada berapa gantang kami dapat tahun itu. 

Aku tidak akan melupakan Mak Long Biah dan Pak Long Aroff.   Setiap tahun lepas musim menuai Mak Long Biah tidak akan lupa membuat sambutan. Menyambut kesampaian beras  baru masuk ke  rumah.  Lalu diadakan kenduri, bukan untuk sekampung hanya  saudara   terdekat dan jiran terdekat dijemput.  Kenduri beras baru ini adalah  tanda kami orang kampung  mengucapkan terima kasih kepada Yang Maha Esa kerana  beras telah sampai ke rumah.

Nasi beras baru – aku masih teringat betapa wanginya  nasi dari beras baru.  Nampaknya terbukti pulut palas  persembahan Mak Mok aku telah berjaya membawa  beras baru. 

Salepas musim menuai kampung aku akan sibuk dengan kenduri. Ada sahaja rumah yang buat kenduri. Kalau tidak kenduri kahwin  pastilah kenduri bertunang.  Kenduri bertunang ini dipanggil kenduri tukar cincin.

Uda dan Dara yang telah berjumpa pada malam mengemping kini mahu bertukar cincin mengikat janji untuk menjadi suami isteri sehidup semati.

Awas –  sebelum bertukar cincin secara senyap-senyap wakil Uda telah datang merisik ke rumah Dara. Semuanya telah diatur dengan tertib.  Di sinilah adat dan tradisi memainkan peranan. 

Kuat adat tak gaduhkan hukum

Kuat hukum tak gaduhkan adat

Ikut hukum muafakat

Ikut adat muafakat


Kelebihan umat dengan muafakat

Bulat air kerana pembetong

Bulat manusia kerana muafakat

Benar melutut dengan muafakatnya


Raja menobat di dalam alam

Penghulu menobat di dalam luak

Lembaga menobat di dalam lingkungannya

Orang banyak menobat di dalam teratak

Kenduri bertukar cincin ini  bukan  berolek godang. Hanya saudara mara  yang rapat dijemput. Abang , Pak Ngah, Kak Long dan Tok Cik  nak tahu Uda  ini bertunang dengan Dara anak siapa dan cucu siapa.  Keluarga Dara juga nak tahu si Uda ini cucu siapa -  perut dan suku yang mana. 


Lalu janji di buat:

Kedatangan saya ini

Pergi kerana disuruh

Berhenti kerana ditengah

Dari tempat semenda membawa sembah

Bagi membawa cincin  sebentuk


Janji pun di ikat:


Kok aso sekato

Kata dibalikan

Kok tak aso sekata

Cincin dikembalikan.


Lembu dipegang pada talinya

Manusia dipegang pada cakapnya

Satelah bertukar pepatah dan petitih. Satelah tepak sirih bertukar tuan maka sampai kepada detik yang mendebarkan. Menetapkan tarikh  berolek godang. Aku ingat  lagi hampir setiap  kenduri bertunang yang aku hadir  tarikhnya  hampir sama : Lopeh menuai taun dopan. Amin.

Inilah yang aku katakan bahawa kami ini lahir dari budaya sawah padi. Sawah padi menjadi rujukan dan kalender kami.  Tidak pernah aku dengar  ijab kabul  menggunakan nama hari bulan Orang Putih. 

Semua  masuk akal. Lepas menuai  orang  kampung ada  masa lapang. Tidak turun ke sawah. Ketika ini juga kepok penuh dengan padi. Kalau hendak  berkenduri yang diperlukan hanya tenaga gotong royong. Ayam itik atau kambing  ada di kandang. Sawah oh sawah. – tanpa kamu kami orang Melayu hilang tanda masa dan jadual hidup.

Aku masih ingat  lagi kali akhir sebelum aku menghilangkan diri  aku ada merayakan  kenduri kahwin sepupu aku  - Long Cik - yang hampir sebaya dengan aku.  Ini anak bapa saudara aku – Pak Itam Hashim. Adik kepada arwah Abah aku.  Pak Itam hanya ada seorang anak perempuan  Long Chik – seorang misi atau nama modennya jururawat.

Ini kahwin Melayu. Penuh dengan adat istiadat mendapat menantu.  

Tunggu minggu depan aku cerita lagi hal kahwin.  (TT)


TULISAN INI JUGA 
DISIARKAN DI PORTAL 
MALAYSIANOW.COM

https://www.malaysianow.com/wacana/2020/12/23/sawah-dan-perkahwinan/



3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jika ada kesempatan dan ingatan menjenguk datang, tolong luangkan masa untuk ceritakan apa yang mengetuk pintu hati untuk pulang ke tanahair selepas 20tahun merantau.
adakah sebab terkenangkan cinta yang tidak berbalas? atau rindu pada pohon bambu di tepi sungai golok? atau apa?

capt salai berkata...

Acaro mengendap pengantin pecah daro takdo ke incik tt

panglimo potaseh berkata...

Kg Geylang tompek lahir den ..ujong nam pulohan awal 7Oan ..mcm syurgo ..sawah uwan den bagai supormakit, somuo ado ..bogheh ..mcm2 ikan ado, puyu, somilang, ruan, tilan, bolot sumo dapek dari sawah ..sayo paku, pucok ubi, tangkieh, umbot ..ayam2, wak2, landak, kanchey ..sotaun boghapo kali jo poey pasa ..beautiful.