Rabu, 3 Februari 2021

OPERASI LALANG DARI LONDON




OPERASI LALANG

DARI LONDON

Operasi Lalang bermula pada 27 Oktober 1987. Ketika itu  aku duduk di No 44 Newmill House Devas Street London E3.  Flet aku hanya  tujuh minit dari  stesen kereta api bawah tanah Bromley-by-Bow.  

Kawan aku Yunus Ali telah ditangkap oleh polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Aku telah diberi tahu oleh  Jomo Sundaram tentang penangkapan Yunus.  Aku juga telah dibawa berjumpa Udo  warga German yang bertugas di ibu pejabat  Amnesty Internasional London.

Amnesty Internasional  dari apa yang aku faham sedang meneliti keadaan dan perkembangan untuk tindakan saterusnya.

Aku secara pribadi memerlukan berita selanjutnya.  Aku nak tahu apa yang telah terjadi sehingga  Yunus tertangkap. Aku wajib membuat panggilan talipon. 

 Siapa yang wajib aku panggil?

Telah lebih dari 10 tahun aku meninggalkan Malaysia.  Semenjak aku sampai ke London aku agak kurang malah jarang berhubung  dengan kawan-kawan di tanah air. Ketika aku di Karachi Pakistan aku amat rajin menulis surat kepada kawan-kawan di Australia dan Malaysia. Malah ketika aku di Wavre Belgium aku masih rajin menulis surat.

Surat dari kawan-kawan dari seluruh pelusuk menjadi oxygen untuk aku meneruskan perjalanan.

Sesampai ke London semua berubah. Aku dalam dunia baru yang rancak lagi menarik.  Kota London kota budaya – tepuk dada tanya dompet. 

Akhbar harian aku The Guardian yang boleh aku dapati di tepi stesen tube dalam perjalanan ke kuliah.   Saluran TV yang aku ikuti BBC atau Channel4.  Panggung wayang dan  panggung teater berselirat.   Untuk  belanja harian aku bekerja sebagai pelayan restoran. Jujur aku katakan - aku amat selesa.

Aku tidak lagi bersendirian dalam kesesakan orang ramai.  Aku tidak diganggu oleh bahasa untuk meluncur laju. Aku kini sebahagian dari sosok yang meramaikan kota London. 

Hari Khamis  setiap minggu  dua majalah – Time Out dan City Limit akan keluar di pasaran. Majalah  ini yang akan menjadi pemandu untuk warga kota London.  Semua cita rasa  manusia  dalam dunia ini akan ditemui dalam majalah ini. 

Dalam kota London kita akan bertemu dengan segala jenis  makanan dari  seluruh dunia, dengan semua jenis  musik  dan wayang dari seluruh dunia, dengan pelbagai genre   parti politik dari seluruh dunia, dengan semua jenis ceramah, forum dan perbincangan dari seluruh dunia, dengan semua jenis agama dari seluruh dunia,  dengan semua jenis  keberahian sexual dari seluruh dunia, dengan pelbagai bentuk aksi politik dari seluruh dunia  – semua boleh aku ditemui hanya dengan membaca Time Out atau City Limits.

Time Out dan City Limits ialah Al-Kitab yang menjadi pemandu cita rasa  warga London. Melalui majalah ini Londoner boleh tahu tempat, masa dan sistem pengangkutan paling hampir untuk memenuhi cita rasa.  

Kalau tak mahu membeli  majalah  - jangan risau  ada majalah percuma  What’s On – yang diedarkan di pintu masuk stesen  tube dalam pusat kota setiap hari Rabu.

London adalah kota tepuk dada tanya selera.  Aku tak perlu meninggalkan London pergi ke Lagos untuk menikamati  air nira Nigeria. Aku tak perlu ke Mexico untuk menikmati  taco.  Dengan gerak laku dan bijak mengayat   sebagai Londoner  aku tak perlu ke Tokyo atau Osaka untuk bermalam dengan Minah Jepun. Aku tak perlu ke Rom untuk mengayat agar dapat  menikmati  kucupan panas  lidah basah Minah Itali.

Ini kota London – tepuk dada buka zip.

Bayangkan – aku yang telah mula mengenap kini dalam perjalanan untuk menjadi Londoner. Aku telah merayau  dari Kuala Klawang  ke Kuala Lumpur  ke Melbourne , ke Tokyo, ke New Delhi , ke Beirut, ke Damas, ke Tehran , ke Kabul – kini  aku menjadi warga  kota London.

Ketika ini  kawan aku  Yunus Ali telah ditangkap  di bawah ISA di Kuala Lumpur.  Yunus ditangkap di bawah Operasi Lalang.

Aku pukul talipon untuk bercakap  dengan  Rohana Ariffin.  Aku telah lama kenal dengan Rohana. Ada kesah yang berjela-jela antara aku dan Rohana Rriffin.  Ketika aku tinggalkan Malaysia  Rohana sedang bertugas sebagai pegawai FELDA.  Pada tahun 1975 aku difahamkan Rohana menjadi pensyarah di Universiti Teknoloji  di kampus   Jalan Gurney.    Suami Rohana ialah Abu Yacob wakil Al-Fatah dan kemudian menjadi Duta Palestin pertama di  Malaysia.

Bila aku menalipon Rohana  dia berada di Warwick University – England Utara. Rohana telah datang pada bulan September 1987 dan mendaftar sebagai pelajar. Dia sedang membuat kajian untuk mempersiapkan ijazah Phd. 

‘  Bila Yunus kena tangkap ?’

‘ Jomo beri tahu aku  dua hari lalu... ‘  

Rohana juga mengenali rapat Yunus Ali. Malah pada tahun 1984 Rohana telah menyimpang dari Tripoli Libya untuk   datang bercuti ke London satelah selesai mengikuti persidangan Buku Hijau Muamaar Gadafi.  Aku juga datang menyusul dari Wavre Belgium. Kami  sesama menumpang di rumah Yunus  di Stratford E7. 

‘  Jumaat petang kami datang...’ Rohana berjanji akan turun ke London.

Berita tangkapan beramai-ramai Operasi Lalang mula heboh  ke seluruh dunia. Akhbar  The Guardian  kota London melaporkan. Akhbar lain aku tidak membaca.

Jumaat petang Rohana sampai dengan anaknya Taera.  Taera ini Minah Melayu campur Palestin . Taera  lahir Ogos  1974 ketika aku berada di Tokyo.  Mustahil aku lupa. Sesampai aku  dari Tokyo Abu Yacob terus meminta aku pergi ke Hospital di Medan Tengku.  Taera telah dilahirkan.

Ketika aku sampai ke hospital aku masih lagi dalam keadaan   'terbang’. Aku ‘terbang’ hasil dari champagne yang aku minum dalam kapal terbang MAS. Hendak dijadikan kesah – ketua Pramagura pesawat MAS  yang aku naiki  ialah Ahmad Fauzi  seorang  ‘old boy’. Maka  berteko-teko champagne  sampai ke meja aku.  

Petang itu ketika  Taera  sampai aku ternampak  dia memakai dua jam tangan  - di tangan kiri dan kanan. Jangan silap faham bukan Taera hendak mengikut  waktu  Kuala Lumpur  dan waktu London. Tidak. Bukan.

Ha. Ha. Ini feshen yang amat cool ketika itu.  Anak anak gadis  belasan tahun pada ketika ini semuanya  basah lembab terpengaruh dengan  Bros yang memakai dua jam tangan.  Bros ialah kumpulan penyanyi dua beradik kembar -  Matt Gross dan Luke Gross. Mereka ini kacak dan jambu.

Bulan Ogos 1987 lagu pertama Bros ‘ I Owe You Nothing’  telah melanggar London.  London hangat dan basah dengan Bros. Mustahil mata  akan terlepas  dari ternampak poster Bros, Kalender Bros,  Topi Bros, Baju T Bros dan seribu satu bahan jualan yang bersangkutan  dengan penyanyi kembar  dua beradik ini. 

Malah aku sendiri secara tak sengaja pernah ternampak Matt sedang meloncat-meloncat atas katil  ketika dia  mahu membeli tilam di kedai perabut di Tottenham  Court Road. 

Jangan silap faham aku tidak pernah meminati Bros. Aku kenal Bros kerana Taera pakai dua jam tangan. Taera pada ketika itu  hanya seorang dari berjuta anak gadis belasan tahun yang akan basah apabila melihat Bros bertandak dan menyanyi.

‘ Taera.... why  are you wearing two watches...’ Aku   cuba berlagak sebagai penjaga moral.

‘  I like it...’  Jawapan yang jujur. Aku tidak perlu mencari ayat atau  hadis untuk menentangnya jawapan Taera.

‘  Joe dan Irene juga akan datang esok? ...’

‘Sapa Joe ? Sapa Irene ?  ‘   Dua nama yang tak pernah muncul dalam perjalanan aku. 

‘ Joe...  dia buat MA di  Warwick... Irene isteri dia ...datang melawat...bulan lepas dari KL’.

‘ Aku ajak Jomo datang... ‘ Aku beri cadangan. Lalu aku  manalipon Jomo di Cambridge mengajak dia datang sama.

No 44 Newmill House –  flet dua bilik – di wilayah ‘working class’ . Untuk jantan solo saperti aku  flet ini cukup lumayan. Tapi jika ada dua atau lebih anak aku rasa flet ini sempit  tak sesuai. Flet ini  milik Majlis Bandaran  Tower Hamlet. Flet  khusus untuk warga kelas  buruh berpendapatan rendah. 

Tetangga aku No 43 ialah  Mister Ali berasal dari Bangladesh bersama isteri dan tiga anak.

Dari sejarah yang aku difahamkan  flet-flet ini didirikan sesudah perang dunia ke dua. Wilayah  tempat aku tinggal ini   tidak jauh  dari Dockland – pelabuhan besar Sungai Thames. 

Wilayah ini  antara yang paling teruk di bom oleh Luftwaffe -  kapal terbang pengebom German.  Awalnya  kawasan perumahan ini untuk menampung soldadu yang pulang dari perang.  Akhirnya menjadi wilayah  ‘ orang putih miskin’  dan  imigran baru  dari Bangladesh.

Esoknya petang Sabtu  – Joe dan Irene sampai.  Aku sebagai tuan rumah mempersilakan mereka masuk. Aku agak tergamam kerana  suami isteri ini  datang bersama Lucy dan Natasha. Ini anak  gadis Lucy   yang aku rasa lebih muda  dari Taera.

‘ My husband and my brother   detained...  Isham do you remember Irene....’ Lucy berkata sambil bersalaman.

Aku terperanjat. Suami Lucy ayah kepada Natsha – John  Sybil juga telah di tangkap di bawah ISA. Adik Lucy  bernama  Julian  juga ditahan.

‘Isham .. do you remember Irene Xavier ... She was arrested......’ Lucy mengulangi soalan yang tidak aku jawab.

Aduh!  Lucy  ini amat aku kenali.  Irene Xavier juga aku kenal baik. Kami masuk ke Universiti  Malaya pada tahun  dan fakulti yang sama. Kami juga tinggal di Kolej Kelima. Kami  bersama-sama di orientasi ketika masuk ke Kolej Ke Lima pada tahun 1971.  Mustahil aku akan melupakan Lucy dan Irene.

Aku tidak kenal suami Lucy  John Sibel. Aku tak kenal Julian adik Lucy.

Irene dan Lucy ini aktivis dari  SCM – Students Catholic Movement.  Kelab Sosialis Universiti Malaya selalu bekerja sama dengan SCM.  Garis pandangan dunia kami amat serasi. 

Garis pencerahan  yang dibawa oleh SCM agak selari dengan garis pandang dunia  Kelab Sosialis.  Mahasiswa, pelajar dan anak muda   dari SCM menganut fahaman Liberation Theology. Kami dari Kelab Sosialis  menganut faham kiri.

Garis iman  ‘ liberation theology ‘ ini dimulakan oleh Gustavo Gutierrez (1928)  seorang padri, ulama dan ahli  falsafah   mazhab Dominican dari Peru. Padri Gustavo ini juga adalah  bekas graduan dari University Catholic Lueven (UCL) Belgium.  

Para alim  ulama  Kristian  yang mengajukan  liberation theology  telah mengkahwinkan pemahaman teoloji  Kristian  dengan  analisa sosio ekonomi yang sedia wujud. Para alim ulama  ini juga menganjurkan  agar penganut Kristian membantu dan membebaskan umat manusia  dari penindasan dan kemiskinan.  

Garis  ajaran liberation theology ini mula berkembang di Amerika Latin pada tahun 60’an. Ianya bertujuan untuk mengembangkan keadilan dalam dunia. Amin 

Pada hemat aku teology ini juga sama saperti  teology Islam yang disebarkan  oleh Ali Shariatai  ( 1933-1977) dan Ayatollah Teleghani ( 1911-1979) di Iran. Pandangan dan pegangan  Shariati dan Ayatollah Teleghani inilah yang mengampoh  ketika warga Iran bangun melawan kezaliman Ahmad Reza Pahlavi.

Aku tidak sangka petang itu di 44 Newmill House  aku akan bertemu dengan Lucy. Dia sedang  belajar dalam bahagian undang-undang di  East London Polytechnic.  Kalau tidak kerana Operasi Lalang kami tak akan bersua.

Petang itu juga untuk  pertama kali  aku berjumpa dengan Irene Fernandez dan Joe suaminya. Nama Joe pernah aku dengar dari Rohana kerana dia membuat ijazah Master di universiti yang sama dengan Rohana. 

Irene Fenandez? Aku tak pernah kenal. Aku difahamkan Irene mengendalikan NGO di Malaysia. Di London aku hanya mengenali  Irene ini sebagai isteri kepada Joe. Dia datang ke  Warwick  kerana suaminya sedang   menyambung belajar disana. 

Petang Sabtu itu Jomo sampai agak lambat sadikit.  Ruang tamu aku yang kecil menjadi padat. Operasi Lalang mempertemukan warga Malaysia di 44 Newmill House. 

Jomo membawa berita  terkini. Nama-nama baru disebutkan. Semuanya aku tak tahu dan tidak kenal.  Nama saperti Dr. Nasir, Dr. Kua, Dr Chandra, Cecelia, Heng Leng dan KK Tan  – semua ini hanya bunyi untuk telinga aku. 

Hanya nama Dr Chandra yang aku ingat dan aku kenal. Kerana sebelum Operasi Lalang Chandra pernah datang ke  London dalam satu program.

‘ The biggest arrest by Mahathir...’ Lucy berkata.

Aku tidak tahu pun siapa  sebenarnya Mahathir  Muhamad ini.   Aku sedar ketika Operasi Lalang Mahathir  adalah  penerbit utama kerana dia Perdana Menteri.

Pada tahun 1970 aku ada membeli buku ‘haram’ The Malay Dilemma tulisan Mahathir.  Ketika itu apa sahaja yang dilarang  baca aku akan baca. Apa sahaja yang dilarang minum aku akan minum. Apa sahaja yang dilarang hisap aku akan hisap.  Aku sedang memupuk pencerahan muda aku.  Makin dilarang makin menjadi.

Aku masih ingat lagi pada tahun 1969  beberapa bulan selepas Mei 13 - ketika aku belajar  di Kuala Kangsar  -  aku ada membaca surat Mahathir – saikostail -  kepada Tunku Abdul Rahman.  Isinya tentang  Tunku suka main kuda dan minum whiski. Ada kawan-kawan satu dormitri yang ulang sebar. Aku tak ambil pot. 

Dalam tahun 1969  itu juga aku terbaca konsep ‘ Malay Ultra’. Entah apa maknanya aku pun tidak faham sangat. Yang aku faham Melayu nak bunuh China – bergaduh di Kuala Lumpur.  Darurat di umum.  Parlimen digantung.  Amin.

Ketika aku meninggalkan Malaysia Tun Razak Perdana Menteri,  Mahathir berjawatan  Menteri  Pelajaran. Ghazali Shafie Menteri Dalam Negeri (1922-2010).  Dari apa yang aku diberi tahu Mahathirlah yang meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974. 

Aku tidak faham apa latar belakang hingga berlakunya tangkapan beramai-ramai ini. Bukan aku bebal politik. Tetapi untuk memahami penangkapan beramai-ramai seperti Operasi Lalang pasti ada latar belakangnya.

Tahun 1974 ada Operasi Mayang. Aku  tahu latar belakangnya. Operasi Mayang  bertujuan untuk menangkap kami para pelajar, mahasiswa yang turun berdemo dan bersetia kawan dengan kaum tani miskin dari Baling Kedah.  Ketika itu aku adalah  Setiausaha Agong Majlis ke 16 Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). Aku juga Presiden PMUM ke 17 yang baru dilantik.

Petang itu di 44 Newmill House  kami bertemu dan kami  berbincang.  Apa yang wajib kami lakukan.  Suami Lucy dan adiknya ditahan.  Jomo – kaum kerabat  dari majalah  Nadi Insan saperti Heng Leng, Cecelia dan Dr Nasir ditangkap.  Aku – kerana Yunus ditangkap.

Lalu kami bersetuju untuk membuat satu program untuk memberi pencerahan kepada pelajar Malaysia yang bersepah-sepah dalam kota London.

Aktivis pelajar Malaysia yang dulunya berkampung di 34 Birnam Road semua sudah pulang ke Malaysia. Maria Chin sudah pulang.  Sivarasa dari Oxford  telah  selamat  dipanggil ke Bar di Lincoln Inn untuk menjadi peguam. Kini Siva juga telah pulang. 

Akhirnya aku menjadi  pewaris  tradisi 34 Birnam Road. Dan aku wajib meneruskan  apa yang telah dilakukan oleh aktivis yang terdahulu dari aku.

Sebelum aku sampai ke London telah wujud  SIMBA – Singapore And Malaysia British Assiciation.  Juga   wujud FEUMSSO – (Federation of Eire United Kingdom Malaysian and Singaporean Students Organisation ). Persatuan pelajar yang asalnya mengendalikan tiket penerbangan akhirnya menjadi persatuan pelajar  progresif di Konferensi Dublin pada 23 March 1968.

Aku yang tak pulang-pulang  ke Malaysia  kini mengambil alih dan menyambung tanggung jawab  untuk  membawa pencerahan  tentang apa yang berlaku di Malaysia bukan sahaja kepada pelajar Malaysia di London tapi juga kepada warga United Kingdom dan Eropah.

Aku pelajar  tahun satu di Polytechnic of Central London kini  kembali menjadi aktivis pelajar. (TT)

TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM

https://www.malaysianow.com/wacana/2021/02/03/melawan-operasi-lalang-dari-london/

 

1 ulasan:

hamim berkata...

Isyam, kalau ikut apa yang Isyam tulis, kat mana mana Isyam pergi senang dapat tidur dengan minah, cuba jawab dengan jujur, jika setiap saorang minah yang Isyam tiduri Isyam pancut dan jadi anak, berapa ramai anak Isyam kat luar negara? Jawab dengan jujur......kah kah kah kah kah....ada berani ka....