Isnin, 19 April 2021

AL-FATIHAH

 



AL-FATIHAH 

ANAK MUDA

GUGUR KETIKA

 MENJALANKAN 

TUGAS


Polis klasifikasikan kes bunuh berhubung kematian Konstabel Muhammad Iqbal

GEORGE TOWN – Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong menegaskan kematian Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 22, ketika bertugas diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Mengulas mengenai kejadian, itu Soffian berkata, mangsa bersama dua anggota dari Balai Polis Dato Keramat terserempak dengan seorang lelaki ketika melakukan rondaan cegah jenayah pada jam 1.15 pagi Sabtu di Jalan Scotland, di sini.

Katanya, tiga anggota tersebut meminta suspek berusia 35 tahun itu untuk memberhentikan motosikalnya namun dia memecut laju hingga ke Jalan Utama.

“Berlaku aksi kejar mengejar hingga ke Jalan Utama. Dalam kejadian itu suspek juga dilaporkan menunggang secara berbahaya iaitu zig-zag bagi mengelakkan dirinya diberkas.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di Jalan Utama itu suspek dikatakan menghimpit motosikal ditunggangi Muhammad Iqbal hingga dia terbabas sebelum jatuh dan terhantuk pada pembahagi jalan.


Pihak forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian Muhammad Iqbal maut.

“Mangsa dilaporkan meninggal dunai di lokasi kejadian manakala suspek mengalami kecederaan ringan susulan turut terjatuh dari motosikalnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang hari ini.

Tambah Soffian, suspek berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dadah jenis syabu.

Jelas beliau, semakan rekod lampau juga mendapati suspek memiliki 11 rekod membabitkan lima jenayah dan enam dadah.

“Suspek yang positif dadah itu akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Siasatan juga akan dibuat mengikut Seskyen 186 Kanun Keseksaan serta Akta Dadah 1952 atas kesalahan memiliki dan positif dadah” ujar Soffian.

Dalam perkembangan sama, Soffian memberitahu, Muhammad Iqbal merupakan anggota berdedikasi dalam menjalankan tugas dan sudah berkhidmat dalam pasukan itu hampir dua tahun.

“Jenazah anggota itu akan diiringi Polis Pulau Pinang hingga ke kampung halamannya di Besut, Terengganu untuk dikebumikan .

“Saya ingin ingatkan orang awam agar bekerjasama dengan pihak polis sekiranya diminta untuk melakukan pemeriksaan, ini sekali gus dapat mengelakkan kejadian tidak diingini sebegini berulang,” kata Soffian. – MalaysiaGazette




Tiada ulasan: