Rabu, 9 Jun 2021

PADA SATU MASA - CERITA DARI SINI

 



PADA SATU MASA

Pada satu masa yang lama dulu  aku sedang  mendewasa    di Kampung Batu Serambai Ulu Klawang. Pada masa itu aku tidak sedar bahawa aku  sebenarnya   betul-betul  budak kampung. Kampung Batu Serambai ini mendidik aku membesar untuk membina wujudiah  aku yang tegar hingga ke  hari ini. 

Kampung Batu Serambai aku takrifkan sebagai wilayah permulaan aku   membesar  dan mendewasa.  Di kampung ini  aku  mula merakam perjalanan hidup dalam alam persekolahan.

Sekolah untuk aku amat menarik.  Aku amat suka bersekolah. Sekolah adalah tempat aku berjumpa ramai kawan-kawan. Berkumpul dan berkawan-kawan  untuk aku memang seronok.

Mengikut peraturan sekolah pada pagi Ahad bila loceng berbunyi jam 7.30  maka kami akan berkumpul  di padang sekolah . Cikgu Mat Zain guru besar  atau guru yang  lain memberi sedikit ucapan.

 Lagu  Berkatlah Negeri  Sembilan dan lagu Sekolah Kita akan dinyanyikan. Ketika lagu Berkatlah Negeri Sembilan  dinyanyikan seorang murid darjah enam akan menurunkan bendera Negeri Sembilan yang terikat tinggi dibatang kayu.  Selesai menyanyi bendera berkibar. 

Aku tak faham makna ritual ini.  Menurut Abang  aku di  negara Jepun bila ritual menyanyi ini berjalan mata kita pun tak boleh berkelip. Pernah sekali  aku mencuba. Tapi gagal. Mata aku terbuka luas  merayau-rayau ke tiang bendera  dan  akhirnya  masuk habuk. Hari itu mata aku jadi gatal.

Aku  dalam darjah tiga.  Tempat duduk  murid tidak beralih-alih. Meja panjang  dan kerusi panjang untuk empat murid. Murid perempuan duduk di hadapan.

 Aku duduk di meja paling belakang. Aku berkongsi dengan Isa anak Lebai Juri – Tuan Lebai kampung  kami dan Zainuddin anak Aziz pembantu Tok Penghulu.  Si Isa ini  kami  panggil  Ah Chau  – mungkin kerana dia pandai melawak cakap pelat China.

Sebelum loceng berbunyi kami murid-murid ada tugas masing-masing. Kami akan  menyapu bahagian luar dan dalam sekolah.  Menyiram bunga  dan memotong rumput.   Sampah di kumpul dan dibuang untuk dibakar di belakang sekolah. Sekolah kami nampak kemas dan indah  dan kami merasa bangga dengan usaha tenaga kami sendiri.

Jumaat Sabtu  hari sekolah cuti.  Ketika sekolah cuti aku merasa bosan kerana tak ada kawan-kawan. Hanya di sebelah petang kawan-kawan mula berkumpul di padang  bola.

Aku masih ingat lagi zaman main bola dipandang sekolah.  Padang bola sekolah kami ini tidak besar.  Tiang gol  pun tidak ada. Sebagai ganti kami letakkan selipar , sabut kelapa   atau buah kelapa sebagai penanda ganti tiang gol.

Kami akan bagi-bagi diri kami. Biasanya kami tak sampai 8 orang tapi wajib ada dua pasukan. Secara tersendiri Ayin anak Raja Husin   yang lebih tua  dari yang lain akan membuat keputusan untuk mendirikan pasukan. 

Pada masa itu tidak ada sesiapa pun yang gila  nak jadi kapten tim bola atau gila  nak jadi ketua.  Yang kami pentingkan pada masa itu hanyalah  bermain seseronok yang mungkin.

Aku teringat pada satu petang bila kami nak  buat pasukan tertiba  Suman Dusa anak Mak Cik Jarah pemilik kedai runcit kampung Batu Serambai  bersuara.

‘ Buek satu dari Burma .. satu dari  Israel...’ Suman memberi cadangan. Ini cadangan baru. Menggunakan  nama negara untuk pasukan bola seperti ini  belum pernah berlaku.

Semua akur.

Pada petang itu tim  Israel  bertarung dengan  pasukan  bola Burma. Nama  Israel dan Burma ini diambil oleh Suman kerana dia membaca akhbar. Aku masuk tim Burma.

Pada masa  kami bermain bola di padang Sekolah Umum Batu Serambai pasukan Israel dan Burma sedang bertarung di Stadium Merdeka Kuala Lumpur untuk merebut Piala Merdeka tahun 1959. 

Aku yang telah mula pandai membaca akhbar Utusan Melayu Jawi telah terbaca nama pasukan bola dari  Indonesia, Siam dan Filipina yang  juga ada  sama merebut Piala Merdeka. 

Budak-budak kampung bermain bermusim-musim.  Ada sahaja idea untuk bermain.  Budak kampung amat kreatif. Aku ingat lagi pada satu ketika kami bermain gasing.  

Kami bermain Gasing Kampung. Ada sahaja abang-abang yang pandai membuat gasing kampung. Gasing kampung ini dari biasanya dari  batang nangka  yang mudah dibentuk atau  yang lebih keras dari batang jambu biawas. Tali gasing kami buat dari kulit  batang terap.

Gasing Kampung berbeza dari Gasing China yang dijual 5 atau 10 sen sebiji di pekan Kuala Klawang. Gasing China di buat dengan mesin dan dicantikkan dengan cat warna coklat. Gasing Kampung buatan tangan dengan warna asli kayu.

Pakar gasing Kampung Batu Serambai ialah Pak Chu Solat. Sosok ini amat spesial – dia memilik sepucuk senapang patah. Pak Chu Solat adalah pemburu yang arif. Justeru dia berani tinggal bersendirian dihujung kampung. 

Kami – tiga atau empat orang budak-budak akan bertandang   ke rumah Pak Chu Solat. Kami merayu  dan meminta jika dia ada gasing untuk ‘ di sedekah’.  Biasanya  Pak Chu Solat akan  berjanji membuat  gasing untuk kami.

Pada masa itu kami sebagai budak kampung amat pandai   mereka-reka permainan. Apa sahaja yang ada di sekeliling  akan kami jadikan  bahan permainan.   Pada satu musim  satelah letih main gasing kami beralih untuk main kotak rokok.    

Awas! Kotak rokok yang telah dibuang untuk kami pada masa itu amat bernilai. Kotak rokok jadi pertaruhan.  Rokok Rough Rider atau  orang kampung panggil Rokok Tembak nilainya agak rendah berbanding dengan rokok Gold Leaf atau Craven A. 

Paling mahal ialah kota rokok 555. Kotak rokok warna kuning ini amat-amat susah untuk ditemui kerana  orang kampung tidak sanggup membelinya. Hanya Orang Berduit – cik gu ,  pegawai kerajaan dan orang berniaga sahaja yang mampu  menghisap rokok 555.

Cara bermain amat senang : kotak rokok  sama nilai  akan susun. Dari  garisan yang telah sama dipersetujui  kami akan pangkah kotak rokok ini dengan kotak rokok yang lain. Mana-mana  kotak yang terkena pangkah akan dimenangi oleh si pemangkah.

Bila bosan bermain  kotak rokok maka kami akan  beralih untuk main penutup botol minuman ringan. Ketika itu syarikat minuman air  ‘ lemenet’  di Negeri Sembilan ialah Wee Siang Brothers. 

Cara bermain penutup botol  ini sama seperti main kotak.  Hasilnya - selepas poket seluar  membonjol dengan kotak rokok  - kini memboyot dengan penutup botol.

Bila bosan dengan yang ini  kami  beralih ke permainan baru.

Aku masih  ingat lagi Majid Ali  telah membawa permainan baru ke Kampung Batu Serambai.   Si Majid  empat tahun lebih tua dari aku. Majid  belajar  di  Goverment English School  Kuala Klawang.  

Majid   bernasib baik kerana pernah  sampai ke Kuala Lumpur untuk menziarah saudaranya di kem Askar Melayu Sungai Besi. Di Sungai Besi Majid ternampak budak-budak China bermain  ‘ susun  tin’ kosong.  

Bila pulang ke kampung Majid telah memperkenalkan permainankah ‘  susun tin’ ini.

‘ Dua tim... lapan biji tin susu  kosong... tin  besar   di bawah .. kecik di atas.. baling  tin dengan bola...’ Majid  memberi penerangan. Malah Majid telah bersedia dengan sebiji bola tenis.

Permainan amat popular. Lapan hingga sepulih biji tin susu kosong diatur bertingkat. Perlu dua pasukan. Satu pasukan menjadi penjaga. Satu pasukan menjadi  pembaling. Jika tin ini jatuh  maka tim penjaga wajib mendirikan kembali tin yang terbarai. 

Ketika tim penjaga hendak mendirikan kembali  tin ini tim pembaling akan mengganggu dengan ‘membantai ‘ dengan bola tenis sesiapa saja yang cuba menyusun tin ini.

Seronok memang seronok permainan ini.

Hari berjalan. Masa bergerak.  Sekolah tutup sekolah dibuka. Musim berganti.

Satu musim  tak tahu siapa yang memulakan satu permainan baru – berlaga ayam.  Keluarga aku memang ada memelihara ayam. Malah semua orang kampung ada ayam dan itik.  Bukan untuk dijual tapi untuk makan sendiri.  

Ayam,  itik , lembu dan kambing milik orang kampung   boleh dibaca sebagai dana dalam bank.  Bila putus duit boleh jual  binatang ternakan.

Di tepi padang sekolah ada tanah berpasir yang digunakan untuk  sepak takraw. Kawasan ini kami jadikan gelanggang laga ayam. Setiap petang terutama hari tidak  bersekolah ada sahaja budak yang akan membawa ayam untuk berlaga.

Budak-budak dari kampung luar juga akan datang membawa ayam untuk dilagakan.  Ayam yang dilagakan ini ada yang bertaji dan ada yang baru nak tumbuh  taji.  

Jaguh kampung Batu Serambai  dimilik oleh ayam   Atot anak Lebai Juri. Si Atot ini  abang kepada Achau kawan sedarjah dengan aku.

Ayam jantan Atot ini memang hebat. Ayam milik budak Kampung Kemin dikalahkan.  Ayam milik budak Kampung Jambatan Serong dikalahkan.

Pada satu petang  tiga orang budak  dari  Kampong Renal  telah datang. Kampung Renal hampir dua batu jauh dari kampung kami.  Budak Kampung Renal ini telah mendengar tentang gelanggang kami. Maka mereka datang dengan tiga ekor ayam jantan. 

Nasib mereka kurang baik.  Dua ayam merek kalah. Seekor menang. Tapi mereka tak dapat mengalahkan jaguh Kampung Batu Serambai. 

Petang Sabtu itu  gelanggang takraw  menjadi  rioh dengan  sorak sorai melihat ayam berlaga.

Seronok memang seronok.  Sebelum masuk gelanggang ayam  ini akan disapu muka dengan arang dengan harapan akan menjadi  lebih garang. Ada juga petua untuk memberi ayam ini makan lada padi  untuk menambah gagah berani. Ayam untuk jadi jaguh  wajib diberi makan nasi  panas. Ini ilmu yang diturun temurunkah  entah dari mana gurunya. Tidaklah aku tahu.

Aku pun sama mencari ayam jantan yang muda dan gagah dengan niat untuk masuk gelanggang.  Ayam aku tidak masuk rangking. Belum memiliki taji. Tiga kali masuk gelanggang. Semua kalah. Lalu  memotong ekornya dengan harapan   ekor baru akan tumbuh lebih rimbun dan dia menjadi gagah berani.

Pada satu petang  aku sedang memeluk ayam sabung dalam perjalanan  ke  Kampung Jambatan Serong untuk mencari lawan.  Di tangga rumah - Abah aku ternampak ada ayam di dada aku.

‘ Nak ke mana... jangan laga-laga ayam tak baik.. ‘ Itu saja kata dari mulut Abah aku. Pendek dan tegas.

Semenjak petang itu aku tidak lagi main melaga ayam.  Kami juga mula reda dari berhimpun di gelanggang. Akhirnya main ayam laga ayam  berhenti dengan sendiri.


Tertiba berita tersebar Raja Husin ayah kepada Ayin dapat hadiah dari Yang Di Pertuan Besar. 

‘Hadiah apa Yen... ‘ Aku bertanya.

‘ Adalaaa... nanti kau tengok...’ Ayen masih  menyimpan rahsia.

Satu petang teksi dari Serembah berhenti  di hadapan rumah Raja Husin.  Raja Husin membawa pulang membawa  keluar satu kotak besar.

‘ Yam Tuan bagi....anak anjing ....macam anjing polis Amerika...nama dia Jackie ... jantan ada telo.... ‘ Ayen dengan bangga menerangkan kepada  kami budak-budak kampung.

Jackie menjadi tarikan. Aku dan budak kampung yang lain akan datang ke rumah Raja Husin untuk melihat  Jackie. Anak anjing berwaran kuning ini manja dan menarik.

Bermain dengan Jackie cukup seronok. Jackie membesar bersama kami budak kampung.  Selang beberapa  bulan Jackie telah kelihatan lebih besar dari anjing kampung.

Aku ingat lagi  lepas musim menuai sawah akan menjadi padang yang amat luas. Di Kampung Batu Serambai padi ditanam sekali dalam satu tahun.  Ertinya hampir enam bulan lopak-lopak sawah menjadi padang.

Ketika padi telah  selamat dibawa pulang Ayen telah membawa Jackie turun ke sawah yang telah hampir kering.  Yang tinggal dalam sawah hanyalah longgokkan timbunan  batang padi dan jerami yang telah dibanting. 

Di bawah batang padi dan jerami ini  tikus membuat sarang.  

Kami  akan naik dan menghenjut  timbunan jerami dan batang padi ini.  Ketika ini tikus akan bertempiaran lari keluar untuk menyelamatkan diri. Ketika ini  juga Jackie akan mengejar tikus-tikus ini. Kami juga akan mengejar sama.

Aduh ! Seronok betul  bermain dengan  anjing  sambil menangkap tikus.

Tertiba  satu cadangan muncul. 

‘ Kita tangkap tikus ini ... suruh   dia berlumba....’ Satu lagi permainan  lahir.

Aku   dan yang lain mula  menangkap tikus yang belum digigit oleh Jackie. Kami masukkan ke dalam  tin kosong. Kemudian kami bawa tikus-tikus ini ke  padang sekolah.

 Di atas padang kami  buat satu garisan di mana tikus tikus ini akan serentak di lepaskan untuk berlumba. Bayangkan seronoknya  bermain pada petang itu. Satu permainan baru. Jackie juga turut sama mengejar tikus yang berlari di padang bola. .

Suara gegak gempita yang amat sangat ini telah menarik perhatian Abah aku  di rumah.  Abah aku muncul. Dia terperanjat melihat permainan kami pada petang itu.

‘ Jangan .... jangan bawa tikus ke rumah.. bahaya.. tikus bawa penyakit...’  Ayah aku memberi arahan. Petang itu Abah aku betul-betul potong stim. Perlumbaan tikus dibatalkan. 

 Semenjak petang kami tiak lagi ke sawah dengan Jackie atau pergi mencari tikus.

Satelah beberapa hari  tanpa bermain kami merasa bosan. Lalu kami hidupkan kembali permainan Perang Jepun.  Main Perang Jepun ini  sentiasa ada bersama kami budak-budak Kampung Batu Serambai.

Di tepi sekolah ada kawasan hutan belukar seluar tiga  padang bola. Wilayah ini menjadi tempat budak kampung main Perang Jepun. Ini mainan teater tembak menembak.

 Kami ada kayu yang kami gunakan  sebagai senapang atau pistol. Kami tidak memakai apa apa peluru. Suara kami menjadi  tembakan pistol dan senapang.

‘ Beng.. kau mati !’ 

Mainan teater  Perang Jepun ini amat menarik.  Seperti kami telah berjanji bersetia sesama sendiri. Seperti kami ikat janji sesama sendiri. Sebenarnya  teater Perang Jepun ini kami ada peraturan dan perjanjian yang tidak bertulis – siapa kena tembak  dulu dia wajib  mati. Untuk permainan ini berjalan lancar maka perjanjian  yang tidak bertulis ini  wajib dipatuhi.

Kadang kala aku menjadi Jepun. Kadang kala aku menjadi Askar Melayu. Ada kala menang ada kala kalah Bukan kalah atau menang  yang penting. Untuk kami ialah kegembiraan bermain dan berkawan-kawan menjadi tujuan utama.

Tapi  dalam suasana gembira bermain teater ini ada juga watak bebal lagi degil. Aku telah perhatikan watak ini. Nama dia Ahmad – satu tahun di bawah umur aku. 

Aku ternampak Ahmad sedang merangkak  dalam belukar.  Dia tidak nampak aku yang menyorok di belakang rimbunan  pokok senduduk. Aku mengintai kemudian  aku menembak.

‘ Beng .. beng ...’ Dua tembakan dari aku.

‘ Beng beng ...’ Ahmad  menambak balik.

‘ Aku tembak dulu... kau dah mati  laaa.... ‘ Aku menjelaskan.

‘ Mana ada ... aku tembak kau dulu..’ Ahmad berdegil tak mahu mati.

Ini bukan kali pertama berlaku.  Sebelum petang  ini ada sekali  aku menembak Ahmad dahulu tetapi dia enggan mati. Dia  terus bertelagah  mengatakan  bahawa dia yang menembak dulu. 


Bila ini belaku maka  teater  Perang Jepun kami akan terencat  - berhenti.  Dengan sendirinya suasana ini menjemput kami untuk berhenti bermain. 

Kami memandang sesama sendiri. Kemudian membuangkan pistol dan senapang kami.  Ahmad ini adalah watak potong stim.

Dalam bermain Perang Jepun ini aku  mula sedar watak  si Ahmad ini telah  gagal  memahami tolak ansur dalam permainan.

Kami juga budak-budak telah pandai mengumpul pengalaman. Jika pada petang itu  Ahmad ada  bersama maka kami tidak akan  mengajak dia bermain   Perang Jepun.  Pengalaman mengajar kami budak-budak  untuk  mula mengenal perangai dan watak kawan-kawan.  

EPILOK
Bermain  - berkawan-kawan  untuk aku amat penting. Di kampung Batu Serambai dunia aku amat luas. Sawah, padang, sungai bukit, belukar,  hutan – semua menjadi latar untuk aku bermain

 Sebenarnya  bermain di zaman kanak-kanak ini adalah zaman  aku mendidik diri aku untuk menyesuaikan diri hidup dalam kumpulan. Jika dari kecil  aku  bebal dan degil maka bila mendewasa pasti  aku  tidak memiliki sifat berunding dan bertolak ansur.

Perjalanan hidup ini adalah perundingan antara aku dengan diri aku. Antara aku dengan kawan-kawan yang lain. Perjalanan hidup aku ketika membesar  mendidik aku untuk menjiwai watak yang memiliki  sikap bertolak ansur. Amin. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/06/09/pada-suatu-masa/



Tiada ulasan: