Rabu, 4 Ogos 2021

SELAMAT PULANG

 


SELAMAT PULANG


Keluarga  Cik Gu  Zaleha dan Rais Manaf  selamat sampai kembali ke  Kuala Klawang setelah  bertandang  menghantar jemaah  haji di Singapura.  Kota Singapura dan cerita kapal haji tinggal dalam ingatan. 

Bila Ahad sampai dan sekolah dibuka aku berpulang  dapat bercerita tentang  Jambatan  Merdeka dan singa batu di tepi jalan yang aku nampak di Singapura.  Aku juga nak jual cerita tentang Geylang kampung Melayu  tempat aku menginap di Singapura. 

Sayangnya tak ada siapa yang berminat. Lalu tidak aku umumkan bagaimana aku mengutip dan mengumpul getah gelang dikaki lima di Singapura. Bila tak ada peminat maka aku merasakan  kejayaan aku  mati ditengah jalan.

Satelah pulang dari Singapura  hidup kami seperti  biasa. Jelebu masih lagi kawasan hitam.  Pekan Kuala Klawang masih lagi di pagar kawat berduri.  Semenjak aku berpindah dari  Sekolah Tapak lagi aku mendengar  gerila komunis  anti penjajah Inggeris masih lagi aktif di kawasan Jelebu.

Titi empat batu dari  Kuala Klawang ialah  sebuah   kampung baru China. Titi di kawal rapi oleh Ghurkha -  soldadu upahan Inggeris. Disebelah Titi ialah Seperi – ini kampung baru Melayu yang juga di pagar kawat berduri  dan dikawal rapi oleh  soldadu upahan Inggeris.

Setia kawan  dan kejiranan  Melayu-China  ada  tersemai  dan terjalin sebelum ini di kampung-kampung dan daerah. Bila  perang anti  penjajah Inggeris sampai  semangat ini   di renggangkan  secara terancang oleh kuasa kolonial.

Masyarakat China di satu tempat di asing dan dijauhkan dari kampung Melayu.  Contoh terbaik di kampung Chenor – kampung kelahiran Abah aku. Di tepi sungai di belakang rumah Tok Manaf ada keluarga China berkebun.

Apabila  Jepun kalah kuasa kolonial Inggeris datang kembali. Arahan dikeluarkan  keluarga China dikeluarkan dari kampung Melayu.  

Kampung berkurung, berpagar kawat berduri ini adalah  projek  Inggeris  untuk mengalahkan pengaruh PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) dan PKM (Parti Komunis Malaya). PKMM dan PKM  dua gerakan nasionalis ini sedang bekerjasama bermandi darah  menentang kuasa kolonial  Inggeris.

Simpang  Pertang  yang tidak jauh dari sempadan Pahang –  Karak dan Temerloh – adalah  wilayah dan lubuk   aktiviti pejuang nasionalis menentang Inggeris cukup  kuat.

Inilah latar politik dan budaya ketika aku membesar.

‘ Mak agak Wan Timah kau dah sampai Colombo ni... ‘ Mak aku memberi maklumat satu minggu sekembali dari Singapura.

‘ Kolombo tu di mana Mak ...’ Aku bertanya.

‘  Dalam negeri Ceylon  dekat India..’ Mak aku menerangkan.

Aku tidak tahu di mana duduknya dua nama ini.

‘ Silon ni  macam teh Silon kita tu ke....sama bunyinya ..’ Aku  bertanya lagi.

‘ Lepas tu kapal singgah di Karachi... mungkin ambil penumpang.. ambil air...ambil minyak.. masa inilah boleh pos kan surat.. tapi Wan Timah kau tak tahu menulis...’  Emak aku menambah maklumat  tanpa memberi penjelasan tentang  teh Silon yang aku tanya.

Dalam kepala aku  hanya dapat membayangkan  kapal Anshun  dengan kepulan asapnya  melintas Telok Kemang di Port Dickson.. Inilah sahaja pantai laut yang pernah aku kenali dan aku pernah menjejakkan kaki.

‘  Lepas Karachi... masuk Laut Merah... berhenti di Eden.. ini kira dah masuk negeri Arab...’ Cik Gu Zaleha memberi  kuliah ilmu alam.

Colombo, Karachi, Eden  adalah nama-nama yang pertama kali aku dengar dalam hidup aku.  Aku tidak tahu di ceruk mana letak nama-nama ini.

Dua tempat aku tahu.  Mekah dan Madinah yang menjadi  tempat buat haji. Ini  pun aku tidak tahu di mana letaknya. Aku hanya dengar nama. Arab untuk aku ialah padang pasir dan unta. 

‘ Ari tu nasib baik kau tak ilang... ‘ Emak aku mengingat kan  tentang babak aku tersesat dalam kapal Anshun.

‘ Adik... tak kan ilang... adik ada surat  Pak Ngah...’ Aku mempertahankan diri.

‘ Kalau kau ilang dalam kapal kau akan jadi  Haji 65 Sen...’  Emak aku bercakap  sambil ketawa. Kakak  dan Abang  aku yang mendengar perbualan kami ketawa sama. Aku tidak tahu apa yang lawak.

‘ Haji 65 Sen ini haji apa.... ‘ Seperti biasa aku nak tahu.

‘ Naik kapal haji ke Mekah dengan belanja 65 sen...’  Emak aku ketawa lagi.

‘ Mak kata Wan Timah belanja  lebih 700 ratus... Sapa naik haji bayar 65 sen ....’ Aku menyoal.

‘ Ada....’ 

‘Ada sapa...’ Belum sempat Emak aku bercerita aku telah memintas dengan tidak sabar

‘ Sabar dulu.. bila bertanya tunggu jawapan.. bila mendengar pasang telinga...’ Cik Gu Zaleha memberi peringatan pada muridnya.

Kali ini aku senyap tidak menjawab. Aku berharap Emak aku akan membuka kesah siapa pergi naik haji dengan duit 65 sen.

‘  Dulu... ada budak macam kau..  dia hantar orang naik haji... di Singapura juga...entah macam mana dia sesat dalam kapal... entah dia tertidur ke... dia tak turun turun.. macam kita naik dulu...tapi kita turun.. bila kapal berlayar dia kena angkut sama...’  Emak aku bercerita.

‘ Budak dari  mana Mak..’ Aku  kembali bertanya.

‘ Tak tahu orang mana..  ada Mak nampak dia di stesen bas Seremban...’

‘ Orang kampung kita ke...’  Aku mahu pengesahan.

‘ Orang panggil dia Haji 65 Sen... dia ini  lurus bendul sikit... agaknya masa dalam kapal dia ikut saja apa orang kata...’ Mak aku memberikan fakta.

‘ Sampai dia ke Mekah...’

‘ Sampailah  dia ke Mekah... nak turunkan dia di mana... ikut orang sama naik haji.. bila orang kapal periksa dia .. raba poket dia  ada duit   65 sen....lalu lekat nama Haji 65 Sen...’
 
‘ Nasib adik sempat turun...kalau tak adik naik haji pulak ...  teman  Wan Timah....’ Aku melawak gembira.

Keluarga  kami tak ada mendapat apa berita tentang Wan Timah. Begitu juga  Pak Cik Barau dan isteri. Hanya desas desus yang kami dengar.   

Jemaah haji sudah sampai ke  tempat itu dan sampai ke tempat ini. Ini hanya soh seh soh seh dari  cerita atas cerita.   Dari mulut ke atas mulut.  Dari Si Anu yang mendengar dari Si Anu yang mendengar dari Si Anu. Si Anu mana yang pernah naik ke Mekah tidak pula diketahui.

Hari Raya Haji sampai. Abang aku pulang bercuti.  Aku juga tidak sedar bahawa Hari raya Haji ini adalah   hari merayakan amalan haji.

‘ Lepas raya ini Wan Tiah kau akan pulang dari Mekah...’ Abah aku mengumumkan. Tetapi tak  ada siapa tahu bila tarikhnya. Ini sama seperti masa hendak berangkat dulu. Tak tahu bila kapal akan sampai.  Wajib ulang tengok di rumah Tok Sheikh.

Lebih kurang satu bulan lepas raya haji berita tersebar jemaah haji dah sampai di Singapura. Wan Timah aku di sambut dan diambil oleh Pak Ngah Aminuddin  untuk  dibawa pulang ke Kampung Chenor.

Dihujung minggu Emak membawa kami adik beradik melawat .   Abah aku tak ikut sama. Dia tidak ada cuti.

‘  Bukan lagi Wan Timah  atau Wan Chenor ... Wan dah jadi Wan Aji...’  Emak aku memberi ingatan. .

Bila kami sampai aku nampak ada   saudara mara  yang juga datang melawat dan menyambut Wan Aji. Rumah Wan Aji macam  ada kenduri kecil.

Aku hanya memasang  telinga nak mendengar kesah pelayaran kapal haji ke Mekah.

‘ Kito masaklaaa atas kapal.... pakai dapo semawar... tompek sompet.. pandai pandailah... kongsi kongsi...makanlah apa yang ada...’ Wan Aji menerangkan apa berlaku dalam kapal haji.

‘ Air dari mana?...’  Pertanyaan sampai.

‘ Dari paip... dalam kapa ni  ada pair air... tangki bosa.. ‘ Wan Aji bercerita.

‘ Kalau demam macam mana?  Lagi soalan.

‘ Dalam kapa ada doktor...   dukun pun ado... entah orang  mana dukun tu... dio samo  nak pergi Mokah.... pakai mana yang boleh...’ Wan Aji  menerangkan hal kesihatan –  ada perubatan moden ada tradisional.

‘ Ada sorang domam ... bolum  sempek sampai Mokah  dio  sakit kemudian mati...’ 

‘ Tanam di mana..’ Aku mencelah cepat. Perkara macam ini aku nak tahu sangat.

‘ Mandikan, kapankan, sembahyangkan ... tanam mayat   dalam laut...’  Penerangan yang mengejutkan aku.

‘ Yang mati di Mokah masuk kubo bosa ...  ada kubo bosa  tanam ramai-ramai...’ Lagi penjelasan  tentang kematian  dari Wan Aji.

Bila aku mendengar surah ini aku merasa gerun. Macam mana agaknya  ditanam beramai-ramai. Aku tak pernah melihat kubur besar ini digali  di kampung aku.

Aku paling ingin tahu cara Arab hidup di Meklah.  Tentang unta dan padang pasir. Tapi  aku  tak berani bertanya. Kalau Emak bercerita aku akan kerap bertanya.  Apabila   Wan Aji bercerita aku hanya memasang telinga.

‘ Paneh ... memang panas... payung pun paneh... nak unta.. barang-barang semua naik unta... kito ada berjalan... tak terdayo.. kita naik unta..’

‘ Wan dah naik unta ..’ Mata aku terbuka  bertanya bila mendengar hal unta.

‘ Udah... Mak Aji Barau pun naik... orang betino unta lain..jantan unta lain...unta tu tido kek khemah kito...’ Wan aku menerangkan budaya Arab.

‘ Bilik mandi kocik jo.. air ado orang Arab bawak masuk.. jamban topi rumah ... ada luang dalam pasir... berak laa disitu... lopeh tu  berak tu ilang...’ Wan Aji menerangkan tandas Arab.


Kesah tandas Arab ini melekat dalam kepala aku bertahun-tahun. Bila Wan Aji kata ‘ berak tu ilang ‘  aku rasa kota Mekah ini ajaib. Berak boleh hilang begitu saja.   Bab ini meyakinkan aku  tentang  kesucian kota Mekah.

Sepupu aku  Lokman dan Nazri duduk di sebelah aku. Kami ralit mendengar cerita Mekah.

‘ Di Mekah  duduk di mana...’ Emak aku bertanya.

‘ Rumah Tok Sheikh  yang sama.... Aji Barau dan isteri pun di rumah sama... bukan rumah bosa.... tak jauh... kami jalan ke Kaabah...’ 

‘ Wan nengok Kaabah...’ Soalan cepu emas dari aku.

‘ Nampak... dokek ... Aji Barau bawak seluar dan baju arwah anaknya – dio bawak maso ngelilingi Kaabah... Wan kato... tinggalkan sodokahkan pada orang sano ... tapi dio tak nak... dia angkut balik bawak pulang  ke rumah..’  

Kesah  Haji Barau dan isterinya ini amat menyedihkan. Keluarga kami tahu kesah di belakang seluar ini.  Anak sulung Haji Barau seorang soldadu Inggeris . Dia mati  dalam satu pertempuran dengan gerila anti penjajah. 

Mengikut surah Wan Aji Haji Barau telah membawa  beberapa helai  seluar dan  baju arwah anaknya. Dia membawa seluar dan  baju ini mengelilingi Kaabah.  

Mengikut Wan Aji walau pun Si Anak tak sempat ke Kaabah,  Si Ayah  sanggup membawa pakaian anak untuk mengelilingi Kaabah. Inilah bukti cita kasih Ayah dan Ibu terhadap anaknya yang telah pergi lebih awal.

Aku sebenarnya belum puas hati terutama tentang berak boleh hilang begitu saja dalam jamban Arab.  Tapi ketika itu aku hanya merakamkan dengan ingatan tentang betapa sucinya kota Mekah ini.

‘ Nah .. raso ni... minum sikit.. ada dua botol lagi...’  Mak Long aku memberikan kami minum.

‘ Ni air Zam Zam dari Mokah... Icham minum.. torang ati bilo  belajar...’ Mak Long aku menghulurkan kepada aku air Zam Zam dalam gelas  kecil. 

Aku berterima kasih. Ini kali pertama aku merasa air Zam Zam. Rasanya  payau dan masin sedikit. Aku amat gembira kerana air  Zam Zam dari Mekah mengikut kata Mak Long aku  boleh menerangkan hati untuk belajar.

‘ Nah rasa kurma ni...’ Mak Long aku memberikan  kami budak-budak seulas  seorang buah kurma.  Aku ,  abang aku dan tiga orang  sepupu menghulur tangan menerima buah kurma.

Untuk aku buah kurma ini bukan satu yang baru seperti air Zam Zam. Setiap tahun pada bulan puasa keluarga aku ada membeli buah kurma untuk santapan berbuka puasa.

Lewat petang keluarga aku  mengundur  diri dari rumah Wan Aji.

Sampai di rumah aku terus bertanya.  ‘ Lepas gi Mekah ni... ada pegi lagi ke...’ Aku bertanya.

‘ Sekali pun cukup... kalau ada rezeki... bukan murah... macam pergi Seremban..’ Emak aku menutup kesah Wan Aji Timah pergi Mekah.

EPILOK
Aminuddin Manaf – abang kepada   Rais Manaf  telah menunjukkan  berjaya  memimpin keluarga  ketika menguruskan Tok Wan aku pergi ke Mekah.

Malah  Pak Ngah Aminuddin  memeranjatkan dan menggembirakan semua keluarga apabila kesah kejayaan Pak Ngah  berucap dalam kapal  Anshun.

Pak Ngah dikenali sebagai Bung Amin oleh kawan-kawan pelajar nasionalis seangkatan  dari  SITC ( Sultan Idris Training College ) – termasuk budak dari Melaka bernama Ghaffar Baba.

Pada tahun 1959  Aminuddin Manaf  bertanding sebagai calon bebas  memakai lambang Meja untuk kawanan Pertang. Aminuddin Manaf menjadi  ADUN dan juga Exco Perikatan dan Barisan Nasional hingga  bersara tahun  1978.

EPILOK DUA
Legenda dan cerita-cerita rakyat tentang Haji 65 Sen ini tersebar luas di Tanah Melayu sekitar tahun enam puluhan.

Sila tanyakan  ‘otai-otai ‘ generasi lama sama ada mereka pernah mendengar  legenda ini.

Aku sendiri pada tahun 1966 – ketika dalam  tingkatan tiga pernah ternampak Haji 65 Sen. Aku ternampak dia meminta sedekah di kawasan perhentian Bas Foh Hup  di Jalan Pudu. 

Aku mengenali sosok ini sebagai  Haji 65 Sen kerana Mak Cik depan tempat duduk aku dalam bas yang menerangkan siapa sosok ini. Ini ketika sosok ini datang meminta sedekah.

EPILOK  TIGA
Keluarga Pak Long Sani terus menjadi warga negara Singapura apabila Singapura  berpisah dari Malaysia. Keluarga sebelah Emak aku masih  berada di Singapura.

Sepulang aku dari berkelana - pernah sepupu aku menawarkan aku menyemenda  untuk merapatkan hubungan keluarga.  Aku buat tak dengar dengan cadangan ini.

Kali akhir aku ke Singapura pada tahun 1974. Ketika itu aku selalu melawat Nona Singapura.

Apabila aku pulang dari berkelana aku telah ditahan  di bawah akta ISA.  Ketika dalam tahanan aku di nasihatkan oleh Special Branch Malaysia agar jangan ke Singapura.  Mereka tidak boleh menjamin keselamatan aku.

Sekarang aku dilarang  masuk ke Singapura. 

Empat tahun dahulu Persatuan Melayu  Tempinis  mahu menjemput aku datang berucap tentang  seni budaya di Tempinis. 

Program  ini dibatalkan apabila Pengarah Program dipanggil oleh ISD ( Internal Security Departemnt) bertanya apa  tujuan menjemput aku.

EPILOK EMPAT
Untuk mengenang  Singapura aku  selalu melayan lagu Nona Singapura oleh R. Azmi. (TT)

TULISAN INI 
DISIARKAN JUGA
DI LAAMN WEB 
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/08/04/selamat-pulang/



1 ulasan:

Unknown berkata...

Minggu lepas Tt de sebut pasal satu orang nama Amjal.. teringat gwa Amjal Kamal dalam buku bercakap dengan jin tulisan tamar jalis. Orang yang sama ke ni? Masa sekolah rendah dulu tak penah miss baca siri bercakap dengan jin dalam variasari.. penulis pun dh arwah sekarang ni. Kalau Tt sesat aritu terus duk mekah tak balik balik berkelana kat sane.. lepas masuk al qaeda arini mungkin jadi penulis blog untuk dorang