Ahad, 8 Ogos 2021

TAHNIAH ANAK MUDA


TAHNIAH

ANAK MUDA

Azizulhasni menang perak di Olimpik Tokyo

                              


AZIZULHASNI Awang menang pingat perak dalam acara keirin lelaki di Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu di Shizuoka hari ini.

Beliau yang menang gangsa acara sama di Olimpik Rio 2016 adalah satu-satu pelumba Asia yang layak ke peringkat akhir acara pecut itu.

Pingat emas dimenangi penyandang juara Jason Kenny dari Britain sementara gangsa direbut pelumba Belanda Harrie Lavreysen.

Dalam persaingan di peringkat akhir hari ini, Kenny tidak menunggu lama untuk memecut sebaik saja permulaan tiga pusingan terakhir, meninggal lima pelumba lain agak jauh di belakang.

Beliau terus laju di depan mendahului dari awal sampai ke akhir.

Kenny menguasai acara keirin lelaki sejak Olimpik Beijing 2008. Kejayaan hari ini meletakkan dirinya jaguh Olimpik terulung Britain dengan keseluruhan tujuh pingat emas.

Azizulhasni mengekor pelumba Australia Matthew Glaetzer sebelum meluru untuk mendahului kelompok. Beliau melintas garis penamat di tempat kedua, dengan perbezaan masa lebih kurang 7 saat di belakang.

Pelumba Suriname Jair Tjon En Fa di tempat keempat diiikuti Glaetzer di tempat kelima dan Mazimiliam Levy dari Jerman di tempat keenam.

Azizulhasni, 33, adalah harapan Malaysia untuk meraih pingat emas di Olimpik Tokyo.

Beliau kini adalah atlet paling berjaya dalam sejarah sukan lumba basikal di Malaysia, menjadi satu-satunya atlet yang menang pingat acara keirin di peringkat Olimpik.

Pingat perak disumbangnya adalah pingat kedua Malaysia di Olimpik Tokyo selepas kejayaan beregu badminton Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang berjaya meraih pingat gangsa.

Seorang lagi atlet lumba basikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terlepas pusingan akhir selepas terkandas di suku akhir.

Shah Firdaus, 25, cedera ketika pusingan pertama kelayakan semalam dan dikejarkan ke Hospital Juntendo University Shizuoka untuk rawatan, beliau bagaimanapun stabil dan meneruskan pertandingan hari ini. – 8 Ogos, 2021.








Tiada ulasan: