Rabu, 25 Ogos 2021

TIGA KALI RAKAM - CERITA DARI SANA



TIGA KALI RAKAM 


Akhirnya    berita baik  yang aku akan berlakon dengan  David Jason a.k. a.  Del Boy  menjadi fakta.  Maria gadis dari Finland  kini bersetuju untuk menjahitkan aku sehelai baju kemeja untuk aku pakai ketika berlakon.


Pagi Sabtu aku dan Maria mengambil kereta api bawah tanah  untuk ke Dalston Market di Hackney.  Aku tidak tahu sangat pasar ini.  Maria memperkenalkan aku dengan pasar ini.   Minah  ini  arif dengan pasar ini kerana dia sering membeli kain dan fabrik.

‘ Hei Maria how are you... long time no see.. ‘  Lelaki  muda penjual kain menyambut Maria ketika  kami di hadapan gerai. 

‘ Hameed..... Isham...from Malaysia... Hameed where are you from ?  Mari memperkenalkan aku dengan Hameed.

‘ You forget ...how come... me from Afghanistan...me  Kabul Boy...’ Hameed memberi penjelasan.

Aku mula membelek-belek kain untuk  sehelai baju.  Aku cari yang berbunga-bunga.  Berlakon sebagai wartawan tidak ada uniform  resmi. Aku mahu dilihat seperti aku di Kuala Lumpur – bumi tropika.

‘ My price is cheap.... yes.. that one is good.. yes that is good too.. yes yes  .. that one very good...my shop all good... all cheap...’ Hameed membawa budaya bazar  Kabul.

‘ You will looks sugar .. sweet darling...  on that shirt...’  Kata penutup dari Hameed satelah aku memilih kain yang akan di potong sebagai baju.

Kembali dari Dalston Market  Maria mengukur badan aku. Sehelai  baju  berbunga cerah bermotifkan bumi tropika. Aku tidak risau dengan baju kain kapas potongan Hawaii di pakai dalam musim sejuk. Ini kerana semua  penggambaran  akan dijalankan dalam studio BBC Television Center White City. 

Dua  hari  kemudian  aku menerima surat mengatakan bahawa tarikh penggambaran telah di tunda. Ada ‘talent’  kena serang flu. Tidak  dinyatakan siapa.

Satu minggu kemudian satu lagi surat sampai. Kali ini tarikh baru  bersama cek bayaran. Aku merasa pelik. Aku belum membuat apa apa lagi. Tapi telah dibayar.

‘ Tony.. why they paid me.. before the shoot...’  Aku bertanya kepada Tony yang mungkin dapat memberi pencerahan.

‘ That’s  the power of Equity... the union...’ Jawapan  Tony.

Lalu Tony menerangkan  kepada aku  tentang  kesatuan pekerja filem dan tv  di United Kingdom.   Semua  sosok yang dilamar dan diambil berlakon  di tv atau untuk filem wajib menjadi  ahli   The Actors’ Equity Association (AEA) . Nama popularnya Equity.

Tanpa menjadi ahli Equity tidak ada sesiapa boleh mendapat kerja. Menjadi ahli kesatuan dahulu baru  boleh melamar kerja.

Untuk mendapat dan menjadi ahli Equity wajib  telah berlakon di pentas untuk sekian-sekian jam dan membawa watak ini dan itu. Atau ada pengalaman  berlakon di kelab atau pentas drama di kampung dan pekan kecil.

Pengalaman berlakon  di luar kota atau di pinggir  kota  London ini wajib.  Pengalaman ini penting sebelum diterima untuk menjadi ahli Equity  untuk berlakon di panggung  arus perdana di West End London.

Sistem Equity kesatuan pelakon United Kingdom ini  sama seperti sistem  mendapat lesen memandu pesawat Boeing 747.  Pilot wajib telah memandu berapa ratus jam kapal terbang berkipas  sebelum beralih ke kapal terbang jet.

‘ But Tony.. I’ve no Equity...not a member’ Aku menerangkan aku bukan ahli kesatuan  pelakon.

‘ BBC needs you...there’s no Malaysian actor in London..’ Mengikut Tony aku dapat berlakon dalam produksi BBC kerana tak ada pelakon Malaysia di London. 

‘They paid you because they’ve booked  you on   that date...’ Tony menambah.
Baru aku faham kenapa belum bekerja  lagi aku telah dibayar. Ini perjanjian dengan Equity. Kalau telah ada tarikh dan pengembaraan batal  pihak produksi wajib membayar pelakon. 

‘ Equity for actors and talents ..  ACTT for workers  behind the scene...like us when we graduated from  PCL....’ Tony memberi penjelasan tentang ACTT- (Association for Cinematograph and Theatre Union).

Tentang ACTT ini aku telah lama tahu. Di United Kingdom   - sekolah filem aku adalah diantara  tiga sekolah  filem yang mendapat pengiktirafan dari ACTT.

Kini  aku  semakin sedar tentang  peranan hebat  kesatuan sekerja. Dan bagaimana aku yang bukan ahli pun mendapat bayaran dua kali untuk satu lakonan.

Skrip dan jadual sampai. Aku tak banyak bercakap tapi wajib berada dalam banyak babak. Aku diperlukan menjadi Pak Sibuk sebagai wartawan tempatan yang cuba menemui bual Emak dan Ayah dua anak muda Inggeris yang akan  digantung  mati kerana kes dadah.

Nama pengarah, penerbit dan pelakon ada sama. Aku tak kenal mereka ini. Yang aku kenal hanya Del Boy a.k.a David  Jason. Sosok ini adalah pelakon komidi yang paling ‘ hot’ ketika ini. 

Di dalam pub sebut sahaja nama Del Boy  atau  mengajuk cara Del Boy bercakap akan menjadi bahan ketawa. 

Siri komidi Only Fools and Horses  lakonan  utama Del Boy sudah masuk tahun ke lapan. Masih mendapat sambutan jutaan penonton.  Terus menaiki tangga  carta teratas jumlah penonton

Berlakon ? Bukan satu yang baru untuk aku. Ketika di PCL aku selalu berlakon. Bila kami buat latihan filem aku ada berlakon watak ini dan watak itu untuk membantu produksi kawan-kawan. Kami tolong menolong.  Penggambaran di PCL  memakai filem 16mm dan video.

Tapi dengan pelakon ternama seperti David Jason? Belum pernah. 

‘ Have a great laugh Isham... when you see Del Boy... sent my regards...’ Kata -kata  semangat dari Tony.

Hujung minggu sebelum hari penggambaran  salju turun.  Untuk aku  ini cuaca malang. Aku tidak suka pada musim sejuk.  Wajib pakai seluar dalam. Wajib ada jaket tebal. Wajib ada stoking. Untuk aku semua ini leceh lagi remeh. 

Setiap kali musim sejuk sampai aku teringat akan Jelebu yang sentiasa panas.

Pagi itu aku bangun jam lima.  Jam 7 pagi mengikut jadual aku wajib ke bilik solekan.  Aku membawa baju Hawaii aku dalam beg plastik. Menuju ke stesen kereta api.

Lalu aku berfikir : jam 7 pagi wajib masuk bilik solekan. Mustahil. Bergerak jam 6 dalam cuaca  buruk musim sejuk. Salju  sedang cair dan jalan lecah lagi sejuk. 

Terlintas dalam kepala aku : apakah David Jason mendapat  jadual ‘shoot’ yang sama. Apakah David Jason akan sampai ke bilik solekan pada jam 7 pagi.

Dalam  kesejukan menapak ke stesen kereta  api  sikap Melayu aku meresap kembali . Disiplin  tentang masa aku  yang diajar oleh Cik Gu Mat Salleh  di PCL  meresap hilang. Sikap Melayu aku berkata bahawa mustahil   pelakon besar seperti David Jason akan  sampai ke bilik solekan jam   6.30 pagi yang basah lagi sejuk.

Melintas jam 7 aku telah sampai studio BBC. Aku menapak dan masuk ke studio.

Wow! Aku terperanjat besar bila melintas di hadapan  bilik  solekan yang berdinding kaca.  Di tengah bilik ada  seperti kerusi kedai gunting. Nah ! Tersandar di atas kerusi  ialah Del Boy.  Ertinya Del Boy sampai pada waktu yang ditetapkan. Hanya aku budak kampung yang bukan bintang besar datang agak lewat.

Ini pengajaran untuk aku.  Dari sini aku mendapat ilmu disiplin masa. Kamu tuan ke, kamu Datu ke   atau kamu Baginda Queen ke   masa tetap masa yang wajib dipatuhi. 

Kini budaya masa aku bukan lagi budaya masa Melayu. Setiap kali aku ada temu janji aku akan teringat akan babak pagi  yang amat  sejuk ketika aku menapak ke   White City  studio BBC. Apa yang David Jason ajar pada aku tidak akan aku lupakan.

Aku masuk ke studio utama. Ada dua bahagian. Satu rupa bentuk  ruang tamu sebuah  hotel 4 bintang. Satu lagi kafe di sebelah  ruang tamu. Di satu kawasan ada rupa bentuk bilik hotel. Di satu kawasan lagi bilik penjara. Semuanya telah di reka untuk tujuan penggambaran. Termasuk lift untuk tetamu hotel keluar masuk.

Aku tergamam. Sebagai  pelajar filem ada ilmu yang aku  dapati. Aku lihat ruang tamu ini telah di reka seperti ruang tamu hotel di Kuala Lumpur. Dengan bunga keladi,  dedaun hijau dan  pokok pisang. Di mana  semua ini didapati aku tidak tahu. 

Set  reka bentuk Amongst the Barbarians ini meyakin aku. Aku terasa diri aku sedang berada di Pulau Pinang. Drama  yang sedang difilemkan  berlaku di hotel dan penjara di Pulau Pinang.
 
Penjara! Ha  ha cukup meyakinkan aku. Ini  sebelum aku meninggalkan  Malaysia aku sendiri pernah masuk k lokap dan masuk penjara  Air Molek di Johor Bahru.  Paling mengejutkan aku ialah  Cik Gu Pak Gard – seorang Benggali berjanggut  berserban dengan pakaian seragam penjara Malaysia. Mengingatkan aku kepada penjara Air Molek.

Kerja seni Mat Salleh ini cukup teliti.

Pengarah filem ini seorang wanita bernama  Jane Howell. Skrip  teater asal ditulis oleh  Micheal Wall. Dan Penerbit ialah Richard Langridge..

Tim produksi ini duduk sekumpulan. Kami pelakon duduk di satu kumpulan. Teh, kopi dan makanan disediakan. Selain wartawan tempatan ada juga wartawan Inggeris. Juga seorang anak muda China yang berlakon sebagai bell boy.

Hari pertama  kami hanya diperlukan sebagai watak latar – Pak Sibuk dalam kafe. 

Tertiba juru kamera agak kelam kabut dengan tali wire yang simpang siur. Filem ini menggunakan  teknik video.

‘ Darling... we are not going to stay here..all  day long..’ Suara Pengarah yang aku dengar. Bunyinya agak marah dan memperli juru kamera. Ini sekali sahaja aku dengar    suara  yang agak meninggi.

Hari ke dua penggambaran dalam penjara.  Kami hanya di tepi set. Aku  membuka mata untuk melihat dan mempelajari cara dan teknik penggambaran.

Aku perhatikan semua pelakon telah hafal skrip mereka.  Tim pengarah duduk di belakang bilik set memerhatikan tim teknikal menjalankan tugas.  Semua berjalan rapai dan tuntas.

Aku pelajar filem memerhatikan cara Mat Salleh atau cara BBC membuat kerja. Budaya  filem dan video datang  dari  mereka justeru teknik yang afdal juga  di kumpul dan dibukukan hasil pengalaman mereka.

Hari  ketiga – hari ini aku  wajib bersuara untuk difilemkan.

Sebelum babak aku dirakam ada babak atas katil. Antara si Ibu yang anak akan mati  digantung sedang bercengkerama di atas katil dengan  Budak Bar.  Watak Budak Bar  ini dimainkan oleh pelakon  keturunan Indonesia dari Amsterdam.

Sebelum babak aku dirakam aku teringat ketika di Universiti Malaya aku  telah mendengar kesah klasik penggambaran filem : Si Mamat ini telah menghafal skripnya. Watak Mamat ini  menyambut tamu dan bersalaman sambil berkata : Apa khabar Cik Bakar ? Ketika penggambaran filem dijalankan kerana gopoh dan darah gemuruh  yang keluar dari mulutnya : Apa Bakar Cik Khabar. Kah kah kah.

Babak lakon aku berjalan  dalam  ruang tamu hotel –  David Jason yang menjadi Ayah  keluar dari lift. Aku sebagai  wartawan tempatan akan bertanya : Any news from the lawyer...’

Sebelum babak ini di rakam aku dengan Budak China Bell Boy telah bersembang tentang David Jason. Budak China ini juga  peminat Del Boy.
Babak  aku ini bermula dengan George  Si Ayah yang dimainkan oleh David Jason keluar dari lift  dengan Bell Boy berdiri di pintu lift. Aku dari hadapan datang ke arah Si Ayah. Ketika aku memandang kepada  George  si Bell Boy telah menjelirkan lidahnya  ke arah aku.  Bell Boy  membuat perangai ini kerana dia  di luar sasaran kamera. Aku  ketawa. Rakaman gagal.

Rakaman kali kedua  juga gagal. Ini kerana dalam kepala aku  yang aku pandang bukan George tapi Del Boy dan Rodney adiknya. Only Fools and Horses berlegar dalam kepala aku.

Kali ketiga rakaman berjalan. Kali ini aku  menghayati David Jason sebagai George  si Ayah yang anaknya akan di gantung mati.   Del Boy tidak wujud lagi. Aku menjadi wartawan yang ingin tahu apa yang berlaku.  Rakaman  kali ketiga berjaya. 

Aku menarik nafas panjang dan terus berjalan ke arah Bell Boy yang kini menunjukkan  ibu jarinya  kerana aku telah berjaya.

‘ Del Boy is now George... don’t  fuck around....  Kami sesama ketawa.

EPILOK 1
David Jason lahir tahun 1940.  Pada tahun 2006  dia  di nobat  sebagai salah seorang dari 50 bintang tv  yang tersohor di United Kingdom.  Watak  Derek  Del Boy Trotter menjadi sejarah komidi.

Pada tahun 2005 David Jason di anugerah derajah  kebesaran Sir oleh Baginda Queen Elizebeth kerana khidmat dalam dunia seni pentas tv dan filem.

George dalam Amongst the Barbarians adalah watak pertama yang bukan komidi dilakonkan oleh Sir David Jason.

EPILOK 2
Pada  14 April 1993 – Arwah Salleh  Ben Joned menulis tentang Amongst the Barbarians. Untuk aku ini adalah tulisan yang paling tepat tentang teater garapan Micheal Wall. 

Salleh faham akan makna dan tanda dalam teater ini. Salleh tahu bahawa yang dimaksudkan sebagai ‘ barbarians – orang liar tanpa tamadun ‘  bukan anak bumi Tanah Melayu.

Barbarian yang dimaksudkan ialah satu keluarga  Mat Salleh yang datang ke Pulau Pinang  ketika menghadapi  hari-hari akhir -  menziarahi anak mereka yang akan digantung mati  kerana kes dadah.

Amongst the Barbarians juga adalah rakaman budaya di zaman  Perdana Menteri Magaret Thatcher.  Dua anak muda  yang digantung mati adalah manifestasi dari dasar ‘ cepat kaya – loads of money ‘ dan budaya Yuppies ketika itu.

Drama  ini adalah rakaman  sejarah budaya zaman Thatcher yang aku sendiri sama bergelumang didalamnya di London.

EPILOK  3 
Pada tahun 2008 aku di pelawa oleh stesen tv Astro untuk terlibat dalam  skrip realiti tv siri  Anak Wayang. Tugas aku ialah menterjemah dan membudaya Melayukan skrip opera sabun dari Mexico.

Drama sambung bersambung ini dipanggil Kecuali Cinta Mu.

Kali pertama tim skrip bertemu aku telah mendengar taklimat dari seorang lelaki Inggeris yang pernah bekerja dalam bidang tv di United Kingdom.

‘ My introduction to Malaysia was thro a film called Amongst the Barbarians  in 1990...’

Sosok Inggeris yang kini bekerja dengan Astro ialah Richard Langbridge penerbit filem yang aku berlakon di BBC London.

Kali ini kami bertemu betul-betul di bumi tropika Equine Park Seri Kembangan di ibu pejabat bahagian kreatif Astro. Pokok keladi dan pisang bukan prop tapi tanaman asal Tanah Melayu.

‘ What a small  world...’ Bila aku kenalkan diri aku  kepada Richard.

EPILOK 4
Dua kali aku dibayar kerana terlibat dalam kes dadah. Kali pertama aku menjadi penterjemah untuk Salim dan Bo Ah Ha yang  ditangkap di lapangan terbang Heathrow kerana cuba menyeludup. Dadah.

Kali kedua aku dibayar dua kali kerana berlakon menjadi wartawan Malaysia  dalam  kes  dua anak muda  yang digantung mati di Malaysia.

EPILOK 5
Amongst the Barbarians ditayangkan oleh BBC2 pada jam 9 malam Rabu 11 Julai 1990. Aku tidak menuntun filem ini kerana  malam Rabu aku bekerja di Garuda Restoran.

Amongst the Barbarians masih boleh dilihat di YouTube. Tapi aku tak menonton filem ini. Aku tak sanggup melihat baju jahitan Maria  yang kini hanya menjadi kenangan.(TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAHYSIA NOW. COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/08/25/tiga-kali-rakam/


1 ulasan:

Quantum Metal Consultant berkata...

Apa Bakar Cik Khabar. Kah kah kah.