Dakwaan 3 remaja di Perak, Sabah meninggal akibat vaksin Covid-19 tidak benar
DAKWAAN dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di Ipoh meninggal dunia akibat vaksin Covid-19 menerusi rakaman video yang tular adalah tidak benar.
Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata semakan mendapati dua pelajar sekolah berkenaan dilaporkan meninggal dunia sebelum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula pada 20 Sept lepas di negeri ini.
“Seorang pelajar perempuan meninggal dunia disebabkan positif Covid-19 pada 18 Julai manakala seorang lagi pelajar lelaki meninggal dunia akibat sakit jantung pada 17 Sept lepas.
“Pelajar perempuan itu mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi yang kronik dan kritikal selama dua bulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.
Susulan itu, Mior Faridalathrash berkata pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung video yang tular itu.
Rakaman video menunjukkan seorang wanita mendakwa empat pelajar termasuk dua pelajar SMK Tasek Damai meninggal dunia selepas divaksinasi tular menerusi media sosial sejak semalam.
Sementara itu, di Kota Kinabalu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan dalam sebuah video tular yang menyatakan kematian seorang remaja di Lahad Datu adalah disebabkan oleh suntikan vaksin Covid-19.
Pengarah JKNS Dr Rose Nani Mudin berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan telah membuat laporan polis terhadap dakwaan itu.
“Perbuatan individu ini boleh menimbulkan perasaan panik dan kebimbangan orang ramai terutamanya ibu bapa dan remaja yang bakal menerima suntikan vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rose Nani mengingatkan kepada mana-mana individu atau pihak yang musykil dan masih tidak faham tentang vaksin boleh menghubungi JKNS melalui talian PICK 019-6051196 atau e-mel ke picksabahmyvas@gmail.com.
Beliau turut menyeru ibu bapa atau penjaga agar mendaftarkan remaja di bawah jagaan masing-masing menerusi aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin sebagai perlindungan diri dan keluarga.
“Daripada pemantauan JKNS, 80 hingga 90% pesakit di Unit Rawatan Rapi adalah individu yang belum divaksin,” katanya. – Bernama, 29 September, 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan