Rabu, 1 September 2021

IKLAN DAN HASUT



IKLAN DAN HASUT


Pada tahun 1959 aku dalam darjah tiga. Ketika itu keluarga  kami duduk di Ulu Klawang. Kami tinggal  di rumah guru Sekolah Umum Batu Serambai. 

Pada awal tahun  Cik Gu Zaleha Sidek telah menerima sebuah buku diari  bergambar. Buku diari ini adalah hadiah dari USIS – United States Information Service. Ini pastilah sebahagian dari tugas kedutaan Amerika di Kuala Lumpur untuk memberi maklumat tentang negara besar yang bernama  Amerika Syarikat.

Dalam buku ini banyak gambar-gambar yang amat menarik lagi cantik. Gambar kampung di Amerika. Gambar ladang buah limau di Carlifornia. Gambar koboi naik kuda di ladang.  Gambar kota New York. Gambar Ibu kota Amerika Washington DC. 

Memang cantik dan menarik. 

Ada satu gambar dari buku diari ini yang  terlekat dalam hati aku.  Ini gambar sabun Lux.  Gambar ini menjadi ingatan kerana  aku tidak sangka bahawa di Amerika juga ada orang Amerika menggunakan  sabun mandi  Lux. 

Pada hemat aku ketika itu  sabun mandi Lux ialah sabun mandi Tanah Melayu. Ini kerana  sabun mandi Lux  menjadi sabun mandi kami sekeluarga. Malah dalam kedai  Mak Cik Jarah  yang terletak di depan sekolah  Batu Serambai ada   sabun mandi Lux dijual  25 sen untuk sebuku.

Aku merasa bangga melihat orang Amerika pakai sabun Lux macam aku di Ulu Klawang.

Pada sabun Lux  yang keluarga aku pakai   ada gambar  Minah Mat Salleh yang cun  terpapar pada kertas pembalut. Aku tidak tahu siapa Minah Salleh ini. Apa yang aku faham  Minah Salleh ini juga menggunakan  sabun Lux. 

 Minah Salleh pakai sabun Lux  dia  jadi cantik. Aku pun faham , kita  yang berkulit sawo matang  jika  pakai sabun yang sama pasti juga akan jadi cantik.

Beberapa tahun kemudian wajah Minah Salleh di pembungkus sabun Lux bertukar. Kali ini wajah Latifah Omar. 

Aduh ! Latifah Omar ini memang aku minati. Latifah dengan tahi lalat di dagu adalah mimpi  khayal aku. Latifah cun dan bergetah. 

Aku yang dibesarkan oleh filem Melayu Cathay Keris . Justeru aku amat mengenali  Latifah Omar. Latifah selalu  berlakon menjadi  kekasih  Nordin Ahmad. Latifah selalu  memiliki kawan bernama Rose Yatimah. Rose Yatimah pula akan menjadi kekasih Mustapha Maarof.

Aku tak sangka Latifah Omar akan menggantikan muka Minah Salleh dikertas pembalut sabun Lux.  Aku  juga bertambah bangga kerana  Latifah Omar yang cun bergetah juga memakai  sabun Lux seperti kami sekeluarga di Ulu Klawang.

Ketika aku menuntun filem Melayu di Ruby Theatre Kuala Klawang  ada juga ditunjukan  filem pendek. Seorang   Minah  Salleh yang berkemban nak masuk ke dalam tab mandi. Dia ada  membawa  sabun  Lux. Kemudian Minah Salleh dalam tab mandi. Kemudian  dengan badan berbuih-buih  Minah Salleh ini akan menyapu badan dengan sabun Lux.

 Kemudian aku terbaca   satu temu bual  Latifah Omar. Mengikut Latifah Omar kerana wajahnya digunakan oleh sabun Lux maka saban bulan syarikat sabun ini akan menghantar sabun  Lux ke rumah Latifah. Apabila sesiapa datang ke rumah Latifah maka sahih terbukti bahawa Latifah  sah menggunakan sabun mandi Lux.

Aku berfikir  juga kenapa aku tidak ditemu bual. Aku akan buktikan  bahawa  keluarga Cik Gu Zaleha anak beranak juga  menggunakan sabun mandi Lux sama seperti Latifah Omar.

Bila aku sudah lama ke sekolah  maka aku  mula faham tentang gambar  Minah Salleh dan  Latifah Omar dikertas pembalut sabun Lux. Ini namanya iklan.  Muka mereka  digunakan  untuk mengiklankan sabun Lux.

Iklan ini menayangkan muka yang cun lagi bergetah. Bakal pembeli sabun Lux ini jika mandi menggunakan Lux  maka  kulit mereka pasti  akan  jadi licin, cun dan bergetah seperti kulit muka Latifah Omar.

Aku semakin  sedar bahawa   Latifah Omar yang aku minati itu adalah umpan untuk menarik hati bakal pembeli. Para pembeli diumpan oleh kecantikan Latifah Omar. 

Ketika itu aku terfikir kalau hanya kerana cantik  kenapa syarikat Lux tidak menggunakan muka  Tengku Alawiyah   kawan sedarjah aku. Anak Tok Penghulu Ulu Klawang ini   juga aku takrif  sebagai cun dan bergetah. Pasti ada sebab yang lain

Pemahaman aku tentang  wanita dijadikan umpan ini datang lambat.   Ada perkara-perkara lain yang datang bersama umpan yang bernama Latifah Omar.

Kesah Latifah Omar dengan sabun Lux ini aku bawa  berkelana hingga ke London.

Tertiba  telefon aku berdering lagi

‘ Hello  Rais.... there is a job...’ Dia hujung talian suara  Jimmy dari Oriental Casting.

‘ Rais is my father.. he is in Malaysia ... call me Isham...’  Sekali lagi yang aku betulkan nama panggilan untuk diri aku.

Rais ini nama ayah aku. Ini  cara budaya panggilan nama untuk orang Eropah.  Mereka memanggil kita mengikut nama  ayah kita.

‘ Sorry Isham...  ‘ Jimmy minta maaf.

‘ No worries mate....’ Ini ucapan gaya Australia aku yang aku belajar   di Melbourne ketika aku berkelana di Australia.

‘ Amex  advert ..  need a guy – Asian bloke... are you keen...’ satu lagi kerja filem dalam otak aku.

‘ What is  Amex...’ Aku budak  kampung duduk di London bertanya .

‘ Amex.. the  credit card.. American Express Credit Cards .. they are doing  commercial... with  a Bali Hotel..’   Jimmy memberi pencerahan.

‘ Ooo ..cool count me in...’  Dalam kepala apakah aku ada peluang  meninggalkan kota  London  yang sejuk. Mungkin penggambaran akan dilakukan di Bali  atau Jamaica.

‘ I think the shoot  in London at   Hilton Park Lane... I will mail you the  details..’   Jimmy menerangkan  di mana penggambaran akan berjalan.

Ciss. Aku kecewa. Bukan ke Bali atau ke Jamaica – masih di London.

Aku tahu hotel ini. Aku selalu ternampak ketika aku naik bas. Park Lane ini  kawasan mewah. Bukan  seperti wilayah East End atau Brixton. 
Park Lane wilayah West London tempat kediaman  orang kaya-kaya. Tempat bercanda-canda  Tok Arab ,  Orang Minyak, Orang kaya Baru dan Orang Kaya Lama.

Kalau kita main Monopoly kita tahu nilai mahal Park Lane.

Aku pernah sekali masuk  dalam  Hilton Park Lane ini.

 Ceritanya begini : Aku dapat panggil telefon dari adik Kamarazaman Yaacob – yang kawan-kawan panggil dia  Zaman. Si Zaman ini kawan lama  aku dari zaman Universiti Malaya.

Adik Kamarazaman bernama Sabri.  Ketika  Sabri menelefon aku dia menginap di Hotel Hilton Park Lane.   Aku tak pernah kenal sosok bernama Sabri  ini.  Rupa muka pun tak pernah aku lihat.

Kawan aku Zaman pernah bercerita  pada aku bahawa adiknya  bernama Sabri  pelajar ilmu undang-undang di Universiti Malaya. Si Sabri ini juga  pernah menjadi Presiden PMUM.  

Nampaknya dari sejarah - Abang adik  pernah memimpin PMUM ( Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya).

Ketika Sabri  menelefon aku dia dalam lawatan  ke London bersama Menteri Pelancongan  Sabaruddin Chik.     Aku difahamkan  si Sabri ini  bertugas sebagai Setiausaha kepada Pak Menteri ini.  Setiausaha jenis apa aku tidak tahu dan aku tidak ambil pot. Ketika ini aku sudah jadi Londoner. Tak ikut sangat hal politik  Malaysia.

Aku mencadangkan  bertemu di  Delhi Brasserie di daerah Soho London. Aku tahu restoran ini. Tapi tak pernah masuk.  Kali ini kerana ada  Sabri nak belanja maka aku memilih restoran ini.

Sesudah  menjamu selera masakan India   Sabri  mempelawa aku minum kopi ke Hilton. Ah! Aku tidak  menolak.  Dari Soho kami ambil teksi menuju ke Park Lane.

Inilah kali pertama dalam hidup aku masuk ke Hotel Hilton.  Aku tidak tahu pun berapa harga  secawan kopi. Pasti melintasi  lima paun sterling.  Si Sabri yang membayar dengan tanda tangan biliknya.

Tertiba aku terlibat sekali lagi dengan Hotel  Hilton. Kali ini aku perlu berlakon di Hilton Park Lane.

‘ Isham.... if they ask you special hair cut or shave  your beard  or special drees... you tell me.... will bill     them extra ..’ Jimmy agen aku memberi penjelasan. 

Wow! Kuat betul kuasa  Equity – Persatuan pelakon di Kota London menjaga kebajikan pelakon.

Ketika ini Maria  gadis  dari Finland telah menjahitkan aku satu jaket dari kain Tweed. Jadi tak perlu aku membuat jaket baru. Aku diminta memakai  seluar hitam , berjaket  dan berbaju  lengan panjang.  Wajib dilihat kacak dan bergaya sebagai pelanggan  yang selalu ke   Hilton.
Di London kasut aku sentiasa Doc Marten.

Semua pakaian yang diperlukan   tidak menjadi  masalah kerana aku yang bekerja sebagai pelayan restoran  memiliki pakaian  jenis ini.

Sabtu petang  - hari yang ditetapkan - aku sampai ke hadapan Hilton. Aku nampak  tenaga kerja  telah bersedia. Lampu penggambaran  telah terpasang. Aku pergi mendaftar diri.

Pengarah – Mat Salleh berumur dalam  empat puluhan. Aku lihat  pakaian dia  macam fesyen punk tak jadi. Aku hanya tersenyum. Apa pun fesyen salah yang dipakai  dia pengarah filem iklan ini. Aku hanya pelakon dan wajib ikut arahan. 

Babak aku : Aku dengan  dua Mat Salleh wajib berjalan menuju ke pintu Hotel Hilton. Berjalan dengan bergaya  santai datang bercuti ke Hilton. Filem iklan ini  tidak ada kata bual. Yang perlu rupa bentuk dan gaya aku berjalan dan menuju ke pintu  Hilton.

Aku pelajar filem merasa amat bangga kerana kini aku dapat berpeluang melihat  bagaimana  iklan di buat dengan menggunakan  kamera 35mm. Aku belum pernah melihat kamera jenis ini.

Dari pintu hotel masuk ke dalam hotel. Kamera mengikuti kami.

Aduh ! Bila aku masuk  ke dalam  coffee house  Hilton aku terperanjat. Semuanya telah diubah suai. Tempat   aku dan Sabri minum dahulu kini menjadi ruang tamu  Hilton di Bali.

Di atas meja  kelihatan  buah-buahan tropika – nanas, kelapa muda,   pisang yang diselang seli dengan bunga orkid. 

Pisang dan nanas  dua buah yang agak mahal harganya di London. Buah kelapa muda memang mustahil hendak dijumpai. Entah dari mana ianya telah  diterbangkan untuk menjadi prop iklan ini.

Babak kami  berjalan menuju ke meja  kafe.

Ini sahaja lakonan aku -  berjalan macam orang kaya yang ingin bercanda-canda di Hilton. Lakonan aku berjalan ini pun diambil tiga kali. Memang susah orang tak berduit nak berlakon macam orang kaya. Jalan pun tidak betul.

Dalam bahasa orang filem ‘ three takes.’ Tiga kali ambil  rakaman.

Di satu babak lain  seorang Mat Salleh kacak dan bergaya sedang duduk semeja dengan seorang Minah yang cun dan bergetah. Mereka sedang berlabun mesra dalam kafe yang dihiasi oleh  bunga yang menggambarkan ambiance tropika.  

Mat Salleh inilah bintang utama iklan ini. Aku jangkakan satelah selesai minum kopi Mat Salleh ini akan memanggil pelayan meminta bil. Apabila bil sampai maka  dia akan meletakkan kad AMEC ke dalam dulang bayaran.

Lima jam kemudian semua  beres. 

Iklan ini tidak akan melebihi 1 minit apabila disiapkan. Dalam dunia iklan tidak ada iklan  panjang sampai 3 atau 5 minit.

EPILOK 1
Selesai penggambaran aku menapak ke Soho. Lalu aku teringat akan Latifah Omar dengan iklan sabun mandi Lux.  Latifah Omar terus diberi  sabun Lux untuk membuktikan bahawa  dia menggunakan sabun ini.

Aku terfikir alangkah bahagianya aku jika  aku diberi kad AMEX  untuk membuktikan bahawa aku adalah pengguna kad kredit ini.

Tapai hakikatnya  dari dahulu hingga ke hari ini aku tidak memiliki apa-apa bentuk  kad kredit.  Jauh sekali memiliki AMEX.

Tapi aku   telah dijadikan umpan  - berlagak sebagai orang kaya –  memasuki Hotel Hilton untuk memancing  penonton  agar memiliki AMEX.

EPILOK 2
Aku belum pernah melihat jauh sekali  bermalam di bilik Hotel Hilton.  Hotel Hilton KL Sentral  aku  nampak setiap pagi dari Jirat Hokkien  ketika aku membawa anjing aku -  Tak  Tak dan  Ezi berjalan setiap pagi  dan petang.

Aku hanya nampak tapi belum pernah masuk Hilton KL  Sentral..

EPILOK 3
Pada 8 Januari 2015 – aku didapati bersalah. Aku dituduh menghasut  orang ramai untuk keluar berdemonstrasi melawan kerajaan. Aku dituduh  di bawah Akta Hasutan  1948.  

Mahkamah Sesyen  mendapati aku bersalah. Aku didenda 5,000 ringgit.  Pendakwa merayu ke Mahkamah Tinggi. Pendakwa  tak puas hati aku hanya kena denda.

Pada 15 Januari 2016 Mahkamah Tinggi menjatuhkan aku hukuman penjara   9 bulan penjara.

Aku membuat rayuan.

Pada 16 Mei 2016 – Tiga Hakim di Mahkamah Rayuan telah. Menolak hukuman  Mahkamah Tinggi  dan mengekalkan hukum denda 5000 ringgit  keputusan  Mahkamah Sesyen.

EPILOK 4
 Sebulan kemudian aku sempat melihat iklan AMEX ini di saluran ITV London. Aku melihatnya iklan 30 saat ini hanya sekali.

Aku tidak tahu di stesen TV negara  mana lagi iklan ini dijual. Desas desus yang aku dengar pengarah dibayar belan ribu paun. Mungkin bajet filem ini mencecah 100 ribu +++ paun.

EPILOK 5
Bagaimana  peranan iklan ?

Apakah iklan tidak menghasut?

Latifah Omar diberi sabun Lux untuk menghasut orang kampung agar membeli sabun mandi ini.  

Malah kita tidak tahu apakah betul-betul Latifah Omar  yang cun bergetah mandi menggunakan sabun Lux.

Apa yang  terbukti sahih menghasut ialah Hishamuddin Rais. Dia menghasut penonton untuk  menggunakan kad kredit AMEX. 

Walhal Hishamuddin Rais seumur hidup tidak pernah memiliki  kad AMEX..

Hishamuddin Rais  berlagak sebagai  orang kaya   bercanda-canda di Hilton untuk menghasut penonton agar datang ke Hilton dan  memiliki kad AMEX.

Malah Hishamuddin Rais menipu penonton kerana dia sendiri  tidak memiliki kad  AMEX.

Hakikatnya kalau Sabri adik Kamarazaman  Yaacob tidak mempelawa Hishamuddin Rais ke Hilton Park Lane  London sampai kiamat pun Hishamuddin tiada akan berupaya untuk bercanda-canda di Hilton Park Lane. Ini kerana dia tidak memiliki modal.

Iklan juga ialah penghasut dan menghasut. Malah lebih buruk lagi kerana iklan menghasut dengan menipu. 

Ketika aku mengajak dan menghasut  orang ramai keluar berdemo ianya bukan penipuan. Ianya lahir dari niat hati yang jujur. Amin  (TT)

TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/09/01/iklan-dan-hasut/



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Penerokaan sabun adalah langkah pertama seorang dewasa.