PRN Melaka: PH negeri masih terbuka terima pandangan pelbagai pihak
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Melaka masih terbuka menerima pandangan daripada mana-mana pihak untuk dibincang dan mencari solusi terbaik demi manfaat rakyat negeri itu.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, pihaknya juga akan membincangkan setiap pandangan termasuk isu menerima calon ‘katak’ politik yang dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini.
‘Katak’ politik itu merujuk empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan bebas.
“Memang PH terbuka untuk menerima banyak pandangan sama ada rakan dari pembangkang ataupun daripada mana-mana pihak. Itu adalah sikap kita yang sentiasa terbuka menerima pandangan.
“Setiap pandangan kita alu-alukan bagi memastikan PH dapat memacu kekuatan dan paling penting membina kestabilan dalam gabungan parti ini.
“Kita mahu model yang kita gunakan dalam tema besar PH ini dapat memberikan manfaat yang terbaik kepada rakyat Melaka dan juga Malaysia khasnya,” katanya dalam sidang media di Pejabat DAP Melaka.
Kata Adly, semua pandangan diambil kira dengan menggabungkan semua kemampuan PH dalam tiga parti utama iaitu DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR.
Mengenai calon, katanya, PH akan tengahkan yang terbaik untuk rakyat Melaka dan mereka adalah daripada keseluruhan gabungan parti dan individu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan