'KakiRepair' baiki alat elektrik mangsa banjir secara percuma
BARANGAN elektrik bernilai ratusan ribu ringgit yang rosak akibat banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam baru-baru ini berjaya diselamatkan oleh sekumpulan sukarelawan yang membaiki barangan itu secara percuma.
Menggelar diri mereka sebagai “KakiRepair”, kumpulan tersebut dianggotai sukarelawan dari Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan Eco Free Market untuk membaiki lebih 200 peralatan dapur termasuk set televisyen plasma dan komputer riba.
Pengasas KakiRepair Johnson Lam memberitahu The Malaysian Insight beliau menganggarkan lebih RM200,000 barangan telah diperbaiki oleh lebih 50 sukarelawan dalam misi empat hari mereka di Taman Sri Muda.
“KakiRepair ini sudah wujud sejak lima tahun. Kami suka baiki peranti elektrik dan pada masa sama kami ajar orang baiki peralatan elektrik mereka sendiri,” kata Lam kepada The Malaysian Insight.
“Kami pergi ke seluruh Malaysia untuk ajar orang cara membaiki barangan mereka. Kaedah kami: anda bawa barang anda dan kami akan ajar anda cara membaikinya dan pada masa sama anda akan belajar beberapa kemahiran baharu.
“Namun, disebabkan banjir, kami putuskan untuk tolong mangsa sebab tidak praktikal kalau kami ajar mereka sedangkan mereka sudah hilang hampir segala-galanya.”
Lam menyifatkan misi pembaikan selama empat hari itu berjaya kerana hampir semua barangan yang dibawa kepada kumpulan itu telah diperbaiki dengan kos yang sangat minimum.
Beliau berkata dalam beberapa kes di mana barang itu tidak dapat dibaiki, pemilik diperkenalkan kepada pembekal yang menjual alat ganti atau barang ganti pada harga murah.
“Sesetengah barangan, seperti kipas, periuk nasi, ketuhar atau ketuhar gelombang mikro mudah dibaiki. Anda cuma perlu gantikan fius dan 90 peratus daripadanya boleh digunakan.”
“Bagi barangan yang rosak sedikit, kami tukar bahagian dengan bahagian dari barangan orang lain.
“Sebagai contoh, kipas berdiri yang kapasitornya rosak, kami ambil kapasitor daripada kipas yang rosak teruk. Sudah tentu kami meminta kebenaran pemiliknya terlebih dahulu.
“Sesetengah barangan, seperti ketuhar dengan mentol lampu rosak atau komputer riba dengan adaptor yang rosak, kami akan tulis nota untuk beritahu pemiliknya yang mereka cuma perlu ganti barangan tersebut yang mudah didapati.
“Semua pembersihan, pembaikan, pemeriksaan dan pemasangan semuanya percuma,” tambah Lam.
Sukarelawan dari semua latar belakang
Lam berkata tidak semua sukarelawan itu pakar dalam membaiki peralatan elektrik.
Katanya, ada juga suri rumah yang datang membantu membersihkan alat berkenaan sebelum dihantar untuk pemeriksaan.
“Sebenarnya merekalah yang tolong percepatkan proses. Mereka bersihkan lumpur dan kotoran yang memudahkan kami untuk periksa barang.
“Anda tidak perlu tahu tentang pembaikan, cuma berani dan bersedia untuk cuba. Kami ada pelajar dari STDC dengan pengetahuan terhad tetapi kami bimbing mereka dan mereka buat dengan sangat baik,” kata Lam.
Beliau melahirkan rasa terima kasih kepada sukarelawan yang datang dengan perbelanjaan sendiri untuk membantu mangsa.
“Kami tidak beri apa-apa. Mereka datang tolong dan tawarkab apa yang mereka mampu kepada mangsa.
“Saya bersyukur sebab kami semua menyumbang. Wanita terutamanya yang datang membantu membersihkan peranti, ia mungkin kelihatan mudah tetapi ia menjimatkan banyak masa,” katanya.
Ke Hulu Langat hujung minggu ini
KakiRepair akan ke Hulu Langat minggu ini bagi membantu mangsa banjir di sana.
Lam juga berkata mereka merancang untuk ke Pahang dan Johor nanti.
“Kami harap untuk ada sekurang-kurangnya dua hari di Hulu Langat.”
“Perjalanan ke Pahang dan Johor tidak lama lagi kerana di sana masih hujan lebat.
Lam berkata mereka yang berminat atau berpengetahuan dalam membaiki barangan elektrik dialu-alukan untuk menyertai misi itu.
“Mereka boleh menyemak halaman kumpulan Facebook kami KakiRepair oleh KakiDIY.”
Hujan lebat dua minggu lalu menyebabkan banjir meluas di seluruh semenanjung, menyebabkan berpuluh-puluh ribu orang kehilangan tempat tinggal dengan sekurang-kurangnya 50 maut. Dua orang masih hilang.
Selangor antara negeri yang sebelum ini dilanda menyebabkan ribuan orang terpaksa dipindahkan. Banjir berleluasa turut dilaporkan berlaku di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. – 4 Januari, 2022.
1 ulasan:
kesiyan abang bangLa eLektroniK isLamiyah
Catat Ulasan