Saarani hadir ke majlis wakil rakyat DAP bukti kematangan politik, kata Aziz Bari
TIMBALAN Pengerusi DAP Perak Dr Aziz Bari menyifatkan kehadiran Menteri Besar Perak Saarani Mohamad merasmikan majlis Arena Sukan Aulong anjuran wakil rakyat daripada DAP semalam sebagai pendekatan dan amalan politik baharu di negeri itu.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu berkata kesediaan dan pendekatan diamalkan Saarani harus dipuji kerana ia menunjukkan amalan baharu bukan sahaja di negeri ini malah di seluruh negara.
“Saya mengucapkan tahniah atas ketegasan Menteri Besar Perak kerana mengambil pendekatan politik matang, khususnya kesediaan beliau menghadiri program anjuran pihak pembangkang di Perak.
“Politik baharu dan politik matang amat perlu bagi mengurangkan pergeseran dan perselisihan yang tidak perlu dan melampau. Kebajikan rakyat harus diberikan keutamaan.
“Kita akur bahawa pendekatan yang dipelopori menteri besar itu tidak bertentangan dengan kedudukan dan peranan kerajaan dan pembangkang, khususnya dalam konteks demokrasi Westminster,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam dilapor, Saarani berkata beliau hadir merasmikan Arena Sukan Aulong di Taiping itu atas jemputan Adun Aulong yang juga Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan bukannya atas jemputan parti berkenaan. – Bernama, 24 Januari, 2022.
1 ulasan:
TT, lu jangan angan-angan macam Anwar. Satu majlis saja tak akan ubah apa-apa. UMNO tetap anti-DAP. DAP tetap anggap Anwar penyelamat Malaysia dan dunia. Rakyat tetap susah kerana politikus sibuk politik, buat kacau, tak hirau rakyat.
Catat Ulasan