Warisan susun semula strategi hadapi PRU15, kata presiden parti
WARISAN akan menyusun semula strategi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15, menurut presidennya Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata meskipun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak seperti apa yang diharapkan parti itu, sekarang bukan masa untuk berputus asa.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan paling penting, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang berkempen tanpa mengenal penat lelah dan jemu untuk Parti Warisan.
“Dengan penuh keikhlasan, saya amat menghargai segala kerja keras dan usaha berterusan anda semua. Saya juga berterima kasih kepada rakyat Johor kerana sudi menerima kedatangan kami ke negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada PRN Johor, BN menang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan diikuti Pakatan Harapan (11), Perikatan Nasional (tiga) manakala Muda dan PKR masing-masing satu kerusi.
Warisan bertanding di kerusi DUN Mahkota, Bekok, Pekan Nanas, Permas, Johor Jaya dan Bukit Batu. – Bernama, 12 Mac, 2022.
1 ulasan:
Kalau nak satukan pembangkang ... jangan jemput Anwar ....
Catat Ulasan