TOKONG ULAR
DAN
BUKIT BENDERA
Pagi itu aku bangun tidur di gereja di Pulau Pinang. Lepas mandi aku keluar dari bilik stor – bilik tumpangan kami. Di luar aku lihat kosong. Bukan hari Ahad. Lee Keong dan aku merancang hendak melawat Tokong Ular.
Ini rancangan awal kami. Dari kampung lagi kami telah memasang niat untuk melawat Tokong Ular dan Kereta Api Bukit. Dua perkara ini telah amat lama aku dengar. Sebelum aku masuk sekolah lagi aku sudah mendengar cerita Tokong Ular dan Kereta Api Bukit Bendera.
Tokong Ular ini lebih mistik dan menakjubkan. Kereta Api ini menarik tapi tidak menjadi satu tarikan yang misteri.
Kami budak-budak kampung yang dikelilingi oleh budaya mitos dan ilmu kebatinan Melayu akan membuka mata bila ada sesiapa saja yang bercerita tentang Tokong Ular di Pulau Pinang.
Malah apa pun kesah yang bersangkutan dengan ular pasti menarik. Cerita seperti perempuan bersalin melahirkan ular. Tok Bomoh pelihara ular. Atau kesah Empangan Batu di Amar Penghulu yang mengalirkan air ke sawah dikatakan ada. Ular besar sebagai penjaga empangan. Sesekali ular ini memerlukan kambing sebagai habuan.
Tahun 1968 bukan ramai orang dari Jelebu yang pernah sampai ke Pulau Pinang. Kesah Tokong Ular ini hanya datang dari mulut ke mulut. Bayangkan hendak ke Seremban pun agak jarang. Jika ada budak kampung yang sudah sampai ke Kuala Lumpur budak ini dianggap amat hebat.
Aku sendiri pada 4 Februari 1965 telah sampai ke Seremban menuntun filem Sitora Harimau Jadian (1964) arahan P.Ramlee. Aku ingat hari Khamis ini kerana ianya Hari Raya ke dua. Aku berdiri naik bas Lim yang penuh sesak ke Seremban. Aku menengok filem P. Ramlee ini di panggung Rex Seremban. Hebat.
Bila aku dalam Darjah Empat dalam buku Canai Bacaan aku temui karangan tentang Pulau Pinang. Ada disebut Bukit Bendera dan Tokong Ular.
‘ Kita kena naik bas ...’ Lee Keong mengingatkan aku. Maklumat hendak ke Tokong telah kami ketahui. James pembantu Paderi telah memberitahu kami.
‘ Ya.. bas kuning ke Air Itam...’ Aku menjawab.
Kami menapak hingga sampai ke perhentian bas. Untuk aku menunggu bas di perhentian bas ini satu budaya baru. Di Jelebu tidak ada perhentian bas. Di mana-mana di tepi jalan bas Lim boleh ditahan. Nampak bas angkat tangan - bas akan berhenti. Nak turun tekan loceng. Biasanya bas berhenti ambil atau menurunkan penumpang di depan kedai - tempat orang ramai.
Dalam bas aku minta bantuan kelindan bas untuk memberhentikan kami dekat Tokong Ular.
‘ Jangan takut....hang sampai kita kasi turun ... tiket dua kupang lima duit ..satu orang...’ Aku kurang pasti kelindan ini Abang India atau Abang Melayu berkulit hitam. Abang Itam ini menghulurkan tiket pada kami.
Awal dulu susah juga nak faham dua kupang lima duit. Satelah melintasi Ipoh dan Taiping kupang dan duit ini bukan satu yang asing.
‘ Tokong.... dah sampai... hang kena jalan sikit...jaga-jaga jangan ulak paatok hang...’ Kelindan ini menggunakan ‘hang’ dan lorat bahasa yang lain dari yang biasa aku dengar. Ini pastilah lorat bahasa orang Utara yang mula aku kenali.
Kami turun dan terus menapak. Tokong ini dibina dalam reka bentuk yang belum pernah aku lihat. Atapnya ada naga. Di Kuala Klawang ada Tokong tapi tidak sehebat ini. Untuk aku Tokong ini amat menarik. Ditambah pula dengan warna merah disana sini – menjadikan Tokong. Ini penuh mistik.
Sebelum naik tangga aku telah tercium bau asap colok. Bila aku hampiri aku lihat banyak colok sedang berasap. Colok berasap dalam tempayan besi yang dililit oleh naga. Ada juga tempayan tembikar kecil. Hakikatnya colok berasap disana sini.
Ketika kami sampai tidak ada pelawat. Jadi amat senang kami nak menengok ular yang sedang bersalai di atas ranting-ranting kayu. Aku lihat empat lima ekor. Semuanya bersalai tidur. Aku perhatikan semua ular dari jenis yang sama.
Apa yang pasti ini bukan ular lidi. Aku kenal ular lidi, malah aku pernah membunuh ular lidi yang sedang menggonggong katak.
Ular di Tokong ini besar sedikit dari ular lidi. Warna hitam putih. Tapi tidak sepanjang ular lidi, Aku nampak juga kelonsong kering ular ini tersangkut diranting.
Ketika aku memerhati ular mata aku tertarik dengan tiga keping gambar besar hitam putih. Gambar dalam bingkai kaca ini tergantung di dinding Tokong.
Aku kenal wajah dalam gambar ini. Aku telah membaca berita sosok ini dari akhbar. Ini gambar Shah Iran dan Permaisuri Farah Diba. Pada awal tahun 1968 Shah Iran ini telah melakukan lawatan resmi ke Malaysia. Berita lawatan mereka mendapat banyak laporan dalam akhbar Utusan.
Aku tak sangka Shah Iran dan Farah Diba (1938-1980) juga telah datang melawat Tokong Ular ketika mereka singgah di Pulau Pinang. Dari apa yang aku baca Shah Iran juga telah singgah di Kuala Kangsar untuk menjadi tamu Sultan Idris (1924-1984).
Aku merasa bangga dapat melawat tempat yang baru sahaja dilawati oleh Raja Dari Segala Raja-Raja – ini gelaran Ahmad Reza Pahlavi ( 1925-1981).
Menapak turun dari tangga keluar dari Tokong aku merasa telah berjaya melihat ular dan Tokong yang selama ini aku dengar dengan penuh misteri.
Kemudian kami mengambil bas sekali lagi. Kali ini kami ingin ke Bukit Bendera. Ini bukit yang wajib kami naiki.
Stesen kereta api di bawah bukit. Tambang naik 40 sen. Aku rasa agak mahal juga tapi untuk mengalami naik kereta api bukit 40 sen sanggup dibayar.
Kereta api ini hanya ada dua gerabak. Satu gerabak naik dan satu turun. Kereta api ini ditarik dengan kabel besi -yang turun menarik yang naik. Tapi ianya juga dibantu oleh injin.
Di stesen ada papan tanda merakamkan sejarah kereta api ini. Dirasmikan perjalanan pada tahun 1923. Sama seperti ‘cable-car ‘ yang ditemui di Switzerland.
Sama seperti Tokong Ular – kereta api Bukit Bendera ini juga tidak ramai orang, Hanya ada tiga penumpang - lima penumpang termasuk kami.
Apa yang menarik ditengah perjalanan – betul-betul ditengah tengah bukit - kereta api ini berselisih. Ada dua landasan yang dibuat khas untuk perselisihan ini.
Tak sampai 30 minit kami telah sampai ke puncak.
Di puncak ada bangku simen untuk duduk berehat. Boleh melihat panorama Pulau Pinang dari atas Bukit Bendera. Aku nampak juga bahagian bukit yang menjadi kebun sayur. Aku juga ternampak rumah-rumah banglo tersorok dalam bukit-bukit berhutan tebal.
Dalam kepala aku bagaimana susahnya penghuni ini jika pelita padam dan mancis api tak ada. Rumah bersendirian di atas bukit. Jika ini berlaku di rumah aku dengan cepat akan ke rumah Mak Long di baruh untuk meminjam mancis api.
Ha! Aku terlupa - rumah orang kaya atas bukit tidak menggunakan pelita minyak. Mereka ada generator sendiri untuk memasang leterik.
Satelah menikmati suasana puncak Bukit Bendera kami mahu turun pulang. Nak pulang wajib keluar 40 sen sekali lagi. Aku ternampak lorong dalam belukar tidak jauh dari stesen.
‘ Mari kita turun ikut jalan bukit...’ Aku memberi cadangan kepada Lee.
‘ Boleh ke ni....’ Lee merasa waswas.
‘ Kalau sesat kita balik ke sini...’
Kami mengikut lorong dan denai hutan. Aku menjadi selesa kerana ada papan tanda arah jalan. Ertinya ini memang jalan resmi untuk mereka yang berminat mendaki Bukit Bendera. Atau untuk budak kampung macam aku yang nak selamatkan 40 sen.
Aku tak merasa takut dalam hutan ini. Untuk aku ini perkara biasa. Cuaca baik dan jalan menurun bukit tidak lecah. Hampir satu jam kemudian kami tertiba sampai ke kawasan padang tanah lapang. Denai telah berakhir. Di atas padang aku nampak banyak monyet , kera dan cikah. Juga aku ternampak beberapa pelancong lelaki Mat Salleh sedang mengambil gambar cikah dan kera.
Kami keluar dari kawasan lapang ini. Menapak dan mengambil bas untuk pulang ke Gereja
Selesai mandi kami bertukar pakaian. Niat ingin melaram. Kami menapak hingga sampai ke jalan Panggung Odeon. Lalu kami singgah makan nasi campur di kedai India. Kali ini aku telah bersedia dengan harga yang akan melintasi satu ringgit.
Di depan kedai makan ini aku nampak sepasang anak muda Mat Salleh. Yang betina memakai selipar Jepun. Yang jantan berkaki ayam. Mereka sedang menunggu seorang Jantan India yang sedang membancuh secawan teh. Teh ini dituang dari gelas ke gelas untuk disejukkan. Bila masuk ke dalam gelas aku nampak teh ini berbuih-buih..
Anak muda tak berkasut tadi pastilah Hippie. Tahun 1968 di Pulau Pinang kali pertama aku melihat Hippie. Pada pemahaman aku Hippie adalah anak muda Mat Salleh yang merayau ke seluruh dunia berjalan dari negara ke negara.
Pulau Pinang menjadi tempat persinggahan Hippie yang sampai dari Madras India. Merka datang dengan kapal laut. Pulau Pinang menjadi pelabuhan awal sebelum mereka bergerak ke Utara ke Siam atau Selatan ke Singapura.
Aku pernah terbaca tentang Hippie dan gaya hidup mereka. Dari apa yang aku baca mereka berambut panjang sebagai tanda mereka tidak sama dengan orang tua mereka.
Di Amerika Hippie adalah anak muda memilih menjadi Hippie untuk melarikan diri dari dipaksa menjadi soldadu. Di Amerika anak muda lelaki – lapan belas tahun ke atas - wajib menjadi tentera selama dua tahun. Ini khidmat negara.
Apa yang aku baca anak-anak muda Amerika memberontak tidak mahu jadi soldadu untuk berperang di Vietnam. Menjadi Hippie berambut panjang berkaki ayam adalah manifestasi dari pemberontakan ini.
Lee Keong dan aku terus berjalan melintas Panggung Odeon. Kali ini kami sampai ke kawasan beca. Banyak beca membawa perempuan. Juga ramai yang lalu lalang di jalan ini lelaki Mat Salleh dan juga lelaki Negro.
Inilah kali pertama aku melihat lelaki Negro dari dekat. Biasanya aku hanya melihat dalam filem seperti Sidney Poitier (1927-2022) dalam To Sir With Love ( 1967 ) yang aku tuntun di Panggung Cathay di Seremban pada tahun 1967.
Aku mula sedar bahawa jantan-jantan ini adalah GI atau soldadu Amerika yang datang bercuti ke Pulau Pinang.
Aku ada terbaca bahawa Pulau Pinang telah menjadi tempat R&R untuk soldadu Amerika berehat satelah berkhidmat di Vietnam. R&R ialah rest and recreation – rehat dan santai satelah bertugas di medan perang.
Bangkok, Penang, Tokyo, Hong Kong dan Manila adalah tempat R&R soldadu Amerika pada tahun 1968 di zaman Perang Vietnam.
Di jalan yang sama aku ternampak banyak Amoi naik beca entah hendak ke mana. Perniagaan beca di jalan ini amat rancak.
Tertiba aku ternampak Jantan Mat Salleh mengepit dua Amoi. Seperti karan otak aku menangkap bahawa jalan yang aku lalui ini adalah jalan perniagaan ‘ lendir dan daging segar ‘.
Aku membuka mata memerhati dan merakam dalam ingatan.
‘ So this is Penang...’ Aku bersuara kepada Lee Keong.
Kami dua anak muda dari kampung terbuka mata melihat kali pertama perniagaan daging segar secara terbuka di tepi jalan.
Aku kini melihat dunia yang lebih luas. Dunia yang telah melintasi Bukit Tangga.
‘ Mari kita pulang... esok nak bangun pagi....kita nak ke Kangar...’ Aku mengajak Lee pulang untuk mengakhiri malam.
Kami menapak pulang ke Gereja.
Dalam gelap kepala aku di atas bantal aku mengulang ingat apa yang berlaku hari ini. Ular, monyet , Shah Iran semuanya tergambar kembali.
Ada pelbagai bentuk – pelbagai macam – hal yang aku lihat untuk kali pertama. Yang paling tidak dapat aku lupakan ialah Mat Salleh mengepit dua Amoi dalam beca.
Aku melayan mata untuk lelap. Esok kami akan ke Kangar Perlis. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/05/25/tokong-ular-dan-bukit-bendera/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan