Pilihan raya tidak lama lagi, kata PM
PILIHAN raya umum (PRU) akan datang sudah semakin hampir, kata Ismail Sabri Yaakob hari ini.
“PRU dah dekat. Dah tak lama dah. Bermakna kita dah kena buat kerja seperti PRU berlaku esok,” kata perdana menteri kepada ahli Barisan Nasional (BN) semasa konvensyen BN Selangor di Shah Alam hari ini.
“Saya tidak boleh mendedahkan lebih banyak tetapi pilihan raya tidak terlalu jauh. Kami dah bersedia dan saya harap anda jadi lidah kerajaan sampaikan berita baik kepada rakyat,” kata naib presiden Umno itu.
Katanya, BN sudahpun kalah dalam tiga pilihan raya di Selangor pada 2008, 2013 dan 2018.
“Tetapi sekarang, orang kata mereka tidak lagi percaya kepada Pakatan Harapan. Oleh itu, inilah peluang kita,” kata ahli politik dari Pahang itu.
Secara kebetulan, janji Ismail Sabri kepada pembangkang untuk tidak membubarkan Parlimen berakhir hari ini.
Ismail Sabri berkata, penyokong BN bukan sahaja boleh menggunakan media sosial untuk membuat spekulasi mengenai isu dalaman tetapi menggunakannya untuk membantu merampas semula Selangor.
Terdahulu, beliau menjelaskan kepada perwakilan mengapa beliau perlu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan.
“Apabila saya menjadi PM, kita mempunyai dua isu utama untuk diselesaikan - pandemik Covid-19 dan ekonomi. Sementara kita melihat negara memasuki fasa endemik, kita perlu menstabilkan politik kita supaya pelabur datang semula.
“MoU itu diperlukan untuk menstabilkan politik,” kata Ismail Sabri.
Menerusi MoU itu, beliau menjelaskan kerajaan dapat meluluskan pindaan antilompat parti di Parlimen minggu lalu.
“Kini kami juga mahu menggubal akta pembiayaan politik supaya aktiviti pembiayaan politik tidak terjerumus ke dalam pengubahan wang haram (AMLA).”
Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut menjelaskan mengapa Umno memutuskan untuk bekerjasama dengan Bersatu bagi membentuk kerajaan.
Beliau berkata, ahli dan pemimpin BN menderita apabila mereka berada di luar kerajaan dan begitu juga rakyat Malaysia di bawah kerajaan Pakatan.
“Ramai yang kecewa apabila kami menyertai PN untuk membentuk kerajaan tetapi saya berada dalam 5 teratas (kepimpinan Umno) dan kami memutuskan untuk melakukannya kerana rakyat Malaysia menderita di bawah kerajaan Pakatan.
“DAP mendominasi Pakatan dan keputusan kami adalah untuk menumbangkan kerajaan DAP yang membebankan negara,” kata Ismail Sabri. – 31 Julai, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan