Pusat Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Seremban ditutup enam bulan
SEREMBAN – Pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Labu, di sini, ditutup enam bulan berkuat kuasa semalam berikutan aduan terdapat perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan hukum syarak di pusat berkenaan.
Mufti Negeri Sembilan, Mohd Yusof Ahmad berkata, penutupan pusat itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan membatalkan pendaftaran terekat tersebut atau sebaliknya.
“Apa yang berlaku ini dilihat adalah kesalahan yang dilakukan oleh individu yang memimpin tarekat tersebut, sama ada pengamal atau amalannya mengikut hukum syarak dan disiplin ilmu tarekat serta tasawuf atau tidak.
“Sebagaimana yang diketahui, Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah merupakan satu daripada tarekat yang muktabar (terkenal) di dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penutupan itu juga merupakan tindakan proaktif Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan bagi menyekat kesalahan dalam tarekat dan pelanggaran apa-apa syarat yang ditetapkan.
Mohd Yusof berkata, dengan adanya Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005, tarekat yang beramal di Negeri Sembilan dapat dikawal dan dipantau selain tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya ada kesalahan dilakukan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan