Selasa, 13 September 2022

APA SULTAN SELANGOR KATA



Kenyataan media Sultan Selangor mengenai badan kehakiman

BETA mengikuti dengan rapat dan mengambil perhatian terhadap perkembangan isu-isu yang berkaitan dengan sistem pentadbiran keadilan negara sejak kebelakangan ini. Beta menyeru rakyat agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan Badan Kehakiman (Judiciary) yang merupakan teras dan paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan di Negara ini.

Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan martabat Institusi Kehakiman di satu tahap yang tinggi sebagai sebuah badan kehakiman yang bebas dan berwibawa. Badan kehakiman merupakan benteng terakhir yang perlu dipertahankan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Rakyat perlu mengambil maklum bahawa Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja sebagaimana peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan. 

Malah perdana menteri sebelum memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan lantikan seseorang Hakim hendaklah terlebih dahulu berunding dengan ketua hakim negara dan perlu mendapat pengesyoran dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Proses lantikan seseorang hakim yang perlu melalui proses yang teliti ini menunjukkan badan kehakiman berbeza dengan institusi-institusi kerajaan yang lain dan menggambarkan betapa pentingnya peranan badan kehakiman di dalam sistem pemerintahan negara.

Kebebasan kehakiman membawa pengertian bahawa para hakim yang mengadili sesuatu kes dapat mentafsirkan undang-undang  bersandarkan semata-mata kepada fakta dan keterangan tanpa rasa takut, pilih kasih dan bebas dari sebarang pengaruh yang tidak diingini.

Seorang Hakim telah mengangkat sumpah untuk mengamalkan kesamarataan, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan serta bebas dari segala bentuk tekanan dalaman dan luaran.

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahwa semua rakyat  adalah sama rata di sisi undang-undang. Ini bermakna bahawa rakyat, tidak mengira status, jawatan, bangsa dan keturunan adalah tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang-undang yang sama.

Pepatah ada menyatakan bahawa apabila seseorang hakim membuat sesuatu keputusan ianya hendaklah diputuskan atas dasar “without fear or favour”.

Penghakiman yang dibuat tanpa sebarang bentuk desakan atau pengaruh menggambarkan satu bentuk sistem pentadbiran keadilan yang adil dan saksama. Setiap rakyat di Negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada badan kehakiman atas sesuatu kes yang diadili.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik badan kehakiman agar ianya tidak tercemar dari sebarang bentuk pengaruh dan tekanan.

Beta mengambil kesempatan di sini juga untuk mengingatkan pihak Eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak dari sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan Badan Kehakiman.

Kebebasan Badan Kehakiman memerlukan sokongan, dokongan, kefahaman dan iltizam dari semua pihak terutama dari pihak Eksekutif. Sehubungan dengan itu, Beta menyeru semua pihak berganding bahu dengan mengambil langkah-langkah ke arah mempertahankan dan menjamin kebebasan Badan Kehakiman demi kesejahteraan dan kemakmuran Negara.

Rakyat perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan yang tidak berasas tanpa mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.

Sebarang tohmahan yang tidak berasas ini akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman dan pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara. Keadaan ini juga akan secara tidak langsung menjejaskan nama baik Negara di peringkat antarabangsa.

Sukacita juga Beta menzahirkan sokongan padu Beta terhadap Titah Ucapan D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 5 September 2022 berkaitan dengan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

Rakyat perlu memahami bahawa proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang telah diperuntukan di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengannya. – 12 September, 2022.

* D.Y.M.M. Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, 
Sultan Selangor.




Tiada ulasan: