Rabu, 21 September 2022

HIKMAH NAJIB KE PENJARA

 


HIKMAH NAJIB 

KE 

PENJARA


Pada Selasa 23 Ogos 2022 Najib Razak bekas Presiden Parti United Malays National Organisation merangkap bekas Perdana Menteri Malaysia  di masukkan ke dalam penjara Kajang.

Najib di penjara selama 12 tahun dan didenda 210 juta ringgit. Ini  satelah didakwa, di bicara dan di dapati bersalah. Najib di buktikan kesalahan mengubah wang haram. Atau lebih popular kes ini di kenali sebagai kes SRC Internasional.

Ketika tulisan ini di garap Najib telah melintas sebulan  menginap dalam penjara. Najib masih lagi menjadi tajuk berita dan kadang kala induk berita untuk media dalam dan luar negara.

Kes Najib juga memberi dan membuka mata warga Malaysia tentang pelbagai sudut perundangan yang biasanya tidak diambil peduli.  Pemahaman tentang kewujudan beberapa tahap mahkamah, tentang peranan pendakwa, cara hukuman di tulis dan cara peguam menjalankan tugas.

Secara positif Kes SRC Najib membawa pencerahan terhadap lembaga kehakiman.

Najib tokoh politik yang bukan kecik anak. Pernah menjadi Menteri  Besar Pahang, memimpin dan menjadi Ketua Pemuda dan kemudian menjawat Presiden parti  United Malays National Organistion. Menjadi Menteri Belia,  Menteri Pertahanan sebelum menjadi Perdana Menteri pada 3 Mei  2009 .

Pada Julai  2011 Najib juga pernah menjadi  tamu Ratu Elizabeth di Istana Buckingham London.  Baginda  Elizabeth sengaja memakai baju kuning untuk memberi ingatan kepada  Najib bahawa kuning ialah waran NGO Bersih.. opps... silap warna kuning ialah  warna diraja.

Najib juga ada darah kerbat DiRaja Pahang.

Ketika menjadi Perdana Menteri Najib adalah rakan golf Presiden Obama dari Amerika. Pada tahun 2015 Najib pernah dilihat bercanda-canda main golf di Hawaii dengan Obama.

Najib memang hebat. Malah ketika bertemu Presiden Trump  pada bulan September 2017 Najib telah berjanji kepada Presiden  Trump untuk menyelamatkan ekonomi Amerika.
Najib berkata kepada Trump yang dia akan mengarahkan Sistem Penerbangan Malaysia MAS untuk membeli kapal terbang Boeing buatan Amerika.

Malah jumlah duit  yang hilang  dalam  kes 1MDB – kes  yang sedang berjalan – adalah  satu rekod dalam dunia rompakan. Rekod dunia ini hingga ke hari ini masih  dipegang oleh Najib.

Sah lagi terbukti sosok yang  bernama Najib ini bukan sosok kecik anak. Amin

Kini Najib di beritakan sakit. Saya amat yakin sakit ini bukan teater. Sakit ini bukan sandiwara. Pandangan saya ini adalah dari pengalaman saya yang telah memasuki berbelas-belas  penjara dan lokap dalam dan luar negara.

Untuk yang belum pernah memasuki penjara  biar saya paparkan rutin penjara itu.  Ini pencerahan dari Hishamuddin Rais yang juga bekas banduan. Pencerahan ini  hasil pengalaman yang telah  saya lalui.

Pertama: Pada petang   Selasa   23 Ogos 2022 Najib di bawa dalam kereta polis – biasanya  dalam Paddy Wagon atau Black Maria. Najib agak spesial. Dia naik kereta  Polis dari mahkamah Putrajaya ke Penjara Kajang.

Untuk banduan yang baru masuk ke penjara   ini rutinnya : Sang Banduan akan di ambil gambar. Wajah muka depan, sebelah kiri dan kanan akan di rakam. Ketinggian dan berat badan dan umur, jantan atau betina akan di nota.

Sepuluh cap jari akan diambil.

Sang Banduan akan dibogelkan untuk dicari kesan parut luka atau ada tanda badan atau ada tatu. Semua ini di rekodkan.

Ketika bogel Sang Banduan juga diminta menonggeng dan lubang jubur diperiksa jika ada percubaan untuk menyeludup dadah atau apa saja.

Kemudian Sang Banduan akan mandi. Pakaian penjara akan diberi penjara mengikut status penjara. Sang Banduan akan di bawa ke dalam sel yang telah disediakan.

Banduan akan diberi nombor. Nombor saya di Kamunting ialah 2504. Nombor inilah yang menjadi  pengganti nama.

Esoknya Sang Banduan akan di bawa ke klinik penjara untuk di rakam butir kesihatan  dan apa apa keperluan perubatan. Apa penyakit yang dihadapi dan apa ubat yang perlukan semua akan diambil tahu oleh Tabib Penjara.

Ini rutin yang saya alami di Penjara Air Molek Johor Bahru, di Bilik Sulit Tahanan Rahsia ISA, di Kem Kamunting, di Penjara  Taiping.   Di  Melbourne Australia dan di Bombay India . Semua sama.

Semua negara  bekas tanah jajahan Almarhum Baginda Queen Elizabeth memakai sistem yang sama. Ini susun cara peraturan dalam penjara antarabangsa.

Saya tidak tahu apakah Najib dalam bilik persendirian atau berkongsi dengan banduan lain. Jika berkongsi  dalam bilik seluas dua bilik darjah pasti ada  tandas dan bilik mandi. Semua di kongsi.

Katil bertilam nipis. Kain selimut dan bantal disediakan. Lampu dalam bilik sel sentiasa cerah.

Kalau dalam  sel kecil untuk tiga orang  tidak ada tandas. Diberi calung – tin kosong – untuk kencing. Jika nak terberak - sakit perut tengah malam - maka wajib memanggil wadar. Jika tidak ada wadar maka terberak dalam calung.

Ketika saya menulis ini jika Najib telah bercampur gaul dengan banduan lain  pasti Najib telah tahu beberapa lingo slanga  penjara.

Dalam penjara wadar dipanggil Cik Gu. Payung ertinya ada yang membantu. Kalau di payungi Cik Gu ertinya ada wadar yang baik membantu. Submarine  ertinya menyeludup melalui lubang jubur.

Saya yakin Najib  tidak selesa tidur dalam penjara. Ini pengalaman pertama Najib masuk penjara maka Najib pasti gelabah.


Najib bekas anak Perdana Menteri. Hidup Najib dari kecil amat lumayan. Hidup yang semua disediakan. Najib di lahir dan di besar dalam alam mewah.

Najib dari kecil lagi di kelilingi oleh pembantu. Bila mencampuri politik Najib  menjadi pemimpin. Najib bukan pemasang poster, bukan pengatur kerusi, bukan memasang khemah atau memikul alat pembesar suara.

Najib sentiasa di dukung, di tatang  dan di  muliakan.

Najib tidak pernah  ke pasar, tidak pernah memanjat  kelapa, tidak pernah beratur di pasar raya dan tidak pernah berjumpa Mat Bangla tukang pam minyak di stesen Petronas.

Makanan Najib sentiasa terhidang.  Tepuk dada tanya selera. Babu dan Tukang Masak akan mengurus. Jika selera Peranchis  datang maka Chef  Peranchis  akan dilanggan.

Di meja makan  semua makanan terhidang dalam pinggan mangkuk tembikar buatan terbaik dari England. Sudu garpu dari perak.  Di Kajang makanan sampai dalam tray plastik dan makan dengan tangan.

Dalam sel di malam pertama ketika terlentang ke saorangan Najib akan ngelamun. Semua babak yang membawa dirinya ke Kajang akan melintas satu demi satu.

Wajah isteri pertama, wajah Rosmah wajah Altantuya, wajah Ziana Zain akan muncul. Najib akan terkenang pelukan isteri barunya.

Wajah Sirul dan Azilah juga akan muncul. Bila wajah Azilah muncul Najib akan membuka mata kerana Azilah juga sama berada dala. Penjara  Kanjang.

Secara jujur babak-babak  ini akan bermain dalam kepala Najib. Paling dramatik ialah babak Sumpah Laknat di Masjid Kampung Bharu. Macam  filem ianya akan berputar dalam ingatan.

Ini yang dialami oleh semua banduan dalam penjara.

Adalah menjadi  fakta – dari pengalaman - bahawa paling ramai orang tidak bersalah telah saya sendiri temui dalam penjara.  Najib juga yakin dia tidak bersalah.

Di sebalik Najib masuk penjara ada satu perkara yang wajib saya rakamkan.   Yang ingin saya rakamkan ini bukan kegembiraan atau tepuk tangan  kerana Najib masuk penjara. Bukan. Bukan. Bukan.

Ada satu perkara yang lebih penting yang wajib kita pelajari dari pemenjaraan Najib.

Perkara ini ialah hikmah  runtuhnya  22 bulan kerajaan Pakatan Harapan.

Awalnya saya merasa kecewa juga apabila kerajaan Pakatan runtuh. Tapi semenjak Najib masuk penjara pandangan saya berubah. Rupa-rupanya ada  hikmah di sebalik jatuhnya Mahathir. Ada hikmah apabila kerajaan Muhyidin menjadi kerajaan gagal. Ada hikmah apabila  Sabri menjadi Perdana Menteri.

Bayangkan jika Mahathir masih lagi Perdana Menteri pada  Selasa 23 Ogos 2022 yang lalu. Gambarkan Muhyidin sebagai Perdana Menteri pada hari Selasa itu.

Saya yakin jika Mahathir atau Muhyidin Perdana Menteri  ketika hakim memenjarakan Najib negara ini akan menjadi  kacau bilau.

Pada petang Selasa 23 Ogos 2022  Malaysia tenang dan teratur. Tidak ada huru hara walau pun yang masuk ke penjara bekas Perdana Menteri dan bekas  anak Perdana Menteri.

Kita wajib berterima kasih kepada Ismail Sabri. Tahniah Ismail Sabri. Tanpa Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri saya tidak yakin pemenjaraan Najib akan berjalan dengan tuntas. Salut kepada Ismail Sabri.

Najib Razak bekas Presiden United Malays National Organisation dimasukkan ke dalam Penjara Kajang oleh  Ismail Sabri Naib Presiden United Malays National Organisation.
 
Inilah dia hikmah. Perdana Menteri dari parti United Malays National Organisation memenjarakan  bekas Presiden partinya sendiri.

Jika Mahathir menghantar Najib ke penjara pasti  rakyat akan keluar berdemo sama seperti kes liwat Anwar Ibrahim. Mahathir akan sekali lagi menjadi Mahafiraun dan Mahazalim.

Mahathir akan di tuduh sekali lagi sebagai kepala konspirasi.

Malah hari ini sesudah Najib di penjara masih ada penyokong Najib yang percaya  lagi yakin bahawa semua ini adalah kerja Mahathir.

Masih ada yang percaya di belakang pemenjaraan Najib ini dikatakan kerja gelap Mahathir.

 Bayangkan jika Muhyidin menghantar Najib ke penjara  rakyat keluar berdemo dengan sekelip mata  kerajaan Muhyidin akan patah terbarai.

Jangan lupa kes Arwah Adib yang meninggal dunia  kerana kemalangan. Lihat bagaimana huru hara telah di olah untuk mengganggu gugat kerajaan Pakatan Harapan.

Jika Mahathir atau Muhyidin menghantar Najib ke Kajang  huru hara ini pasti beratus   kali berlipat ganda dari demo kematian Adib.

Tidak mustahil kacau bilau ini akan menjurus ke tahap tragedi 13 Mei. .

Justeru hikmahnya ialah  Ismail Sabri mengambil tanggung jawab sebagai Perdana Menteri  menghantar Najib Razak ke Penjara Kajang. Tahniah Ismail Sabri.

Tahniah juga wajib diberikan kepada Mahathir.  Sosok yang licik berpolitik ini memiliki pembacaan politik yang tepat. Mahathir juga bijak membaca watak. Mungkin tidak sebijak membaca sekilas ikan di air sudah kenal jantan betinanya.

Sebagai Perdana  Menteri Mahathir ditugaskan untuk memilih beberapa nama untuk menjadi Ketua Hakim Negara. Ini kebijaksanaan Mahathir -  dia telah  memilih Tengku Maimon. Sejarah membuktikan  ini satu pilihan yang tepat.

Tahniah juga kepada Muhyidin. Dia melantik Peguam Negara yang baru. Langkah Muhyidin yang tepat dan bijak ialah dia tidak menggantikan Pendakwa Raya dalam kes SRC Internasional  yang sedang berjalan.

Ketua Pendakwa  Sri Ram dilihat oleh Najib dan Rosmah sebagai pendakwa  yang tidak lut dengan tembakan peluru emas.  Sri Ram wajib di nyah.

Tetapi tugasan Sri Ram diteruskan oleh Muhyidin dan tidak  disingkir. Muhyidin meneruskan  semua pasukan  yang menjalankan pendakwaan terhadap Najib.

Kenyataan Muhyidin yang dia tidak mencampuri urusan kes Najib dan juga kes Zahid adalah benar belaka.

Muhyidin membocorkan bagaimana satu minggu sesudah menjadi Perdana Menteri  Zahid telah  datang berjumpa. Zahid dengan fail kes  di tangan telah meminta Muhyidin campur tangan.

Muhyidin tidak berganjak. Muhyidin mencadangkan kepada Zahid – jika tidak bersalah – maka pasti ini akan dibuktikan oleh mahkamah. Salut untuk Muhyidin.

Tahniah yang paling besar ialah  kepada semua pengundi yang telah mengundi Pakatan Harapan dalam PRU14.  

Tanpa undi  Mak Cik , Pak Cik,  Amat dan Dollah , Ah Soo ,  Ah Beng, Mutu dan Aci – Najib Razak masih lagi Perdana Menteri Malaysia. Pencuri masih berkuasa.

Sejarah akan merakamkan kejayaan agung terbesar Pakatan Harapan berkuasa selama 22 bulan ialah memasukkan Najib ke Penjara Kajang.

Kejayaan besar rakyat Malaysia ialah mengheret bengolan-bengolan kaki rasuah, kaki salah guna kuasa  dan pencuri harta rakyat ke mahkamah.

Di sebalik keruntuhan Pakatan Harapan ada hikmahnya.  Salut untuk Pakatan. Salut untuk rakyat yang mengundi Pakatan Harapan. Amin (TT)


TULISAN INI JUGA DISIARKAN
DALAM KOLUM PORTAL
MALAYSIAKINI.COM
ttps://www.malaysiakini.com/columns/636449

Tiada ulasan: