PAS tetap anggap Umno sebagai rakan ta'awun, kata Takiyuddin
PAS tetap menganggap Umno dan semua pihak yang bernaung di bawah gagasan Penyatuan Ummah sebagai rakan ta’awun (rakan kerjasama) terutama dalam membina negara yang baik dan diredai Tuhan.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan terus bersikap terbuka serta sedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan rundingan bersama semua rakan ta’awun dengan memfokus kepada titik persamaan selain merapatkan jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat.
Takiyuddin berkata, perkara itu antara yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hari ini.
Beliau berkata, parti itu akan terus konsisten dan komited dengan agenda Penyatuan Ummah sebagai paksi utama perpaduan nasional antara orang Melayu-Islam, bumiputera dan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Keadaan ini sekali gus akan menjadi formula utama ke arah kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat. Ini juga selaras dengan usul yang dibawa Dewan Ulamak PAS Pusat dan disokong sebulat suara dalam Muktamar PAS Ke-68 di Alor Setar baru-baru ini.
“PAS juga tetap dengan penegasan tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan tidak menerima konsep khemah besar tajaan mana-mana pihak sekalipun dalam menghadapi PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15),” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin juga berkata, PAS amat yakin perpaduan antara parti Melayu-Islam dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan adil dan saksama untuk semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa serta budaya seterusnya akan diterima baik oleh majoriti rakyat yang tidak mahu sejarah hitam lampau berulang. – Bernama, 11 September, 2022.
1 ulasan:
parti Lebai macam pelacur cari pelangan buy 2 free 1 .... jangan dok harap sangat Pas ni tak boleh pakai biar dia tanding dgn kekuatan sendiri ...kah..kah...kah
Catat Ulasan