Rabu, 5 Oktober 2022

PIDATO DAN BUNG KARNO


 PIDATO 

DAN

 BUNG KARNO


Bulan Mei 1970  YMCA – Young Men’s Christian Association  Perak  mengadakan pertandingan pidato untuk pelajar sekolah-sekolah menengah dari seluruh Perak. YMCA ini beribu pejabat di Ipoh.

Aku terbaca maklumat ini di Papan Maklumat sekolah. Aku pernah memenangi John Syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan  Negeri Sembilan tahun 1963. Lalu aku melamar.

Aku rasa ini peluang terbaik untuk pergi ke Ipoh. Aku mengisi borang penyertaan di pejabat sekolah.  Tajuk pidato aku :  Malaysiaku.   Tajuk ini bukan aku yang mencipta. Ini tajuk yang  ditetapkan oleh YMCA. 

Satelah mengisi borang  aku mengetuk pintu pejabat Guru Besar Tuan Syed Bakar Barakbah. Ini Guru Besar MCKK Melayu yang kedua. Sebelumnya semau Guru Besar MCKK adalah Mat Salleh. Guru Besar MCKK Melayu pertama bernama Aziz Ismail yang kini diambil oleh Kementerian Pelajaran.

‘  Sir, I would like to have your permission to go to Ipoh....to participate.... elocution contest....organised by YMCA.... ‘ Aku menghulurkan borang.

‘ Are you a good speaker ... pidato ...like Sukarno or like  Hashim Gera....’  Guru Besar membaca borang kemudian memandang aku.

Aku tidak menjawab. 

Aku tidak pernah mendengar  Sukarno berpidato. Tapi semua orang Melayu – Emak dan Abah aku tahu bahawa Sukarno ini amat bijak berpidato.

Aku pernah mendengar bagaimana  sepupu  aku -  Cik Gu Kadir Kassim di pagi Hari Raya akan cuba mencari  stesen Radio Republik Indonesia untuk mendengar pidato ucapan Hari Raya Sukarno.

Tahun 1963 – di zaman Konfrontasi ketika kempen  Ganyang Malaysia juga aku difahamkan Sukarno berapi api pidatonya memperlekehkan Tunku yang di cap sebagai  boneka Inggeris. Malaysia pula dianggap projek neo-koloni Inggeris

Manakala Hashim Gera seorang wakil rakyat  ahli Parlimen. Aku  mendengar namanya kerana anaknya Salehuddin Hashim satu darjah dengan aku.

YB Hashim Gera ini  YB  Parti Islam dari Parit Perak.  YB  ini terkenal kerana dia berucap , berpantun dan berseloka dalam lorat Perak yang pekat dalam Parlimen.
 
Ada satu pantun dari YB ini yang sering aku dengar. Ini pantun dalam Parlimen ketika YB  Hashim Gera  memperli Tunku:  
One two three
Satu dua tige
Orang Putih udah  lari
Negara bagi tige

‘ All the best..... deliver your speech well... in Englsih or Malay ...’  Syed Bakar bertanya.

‘ In Malay... ‘ aku menjawab pendek.

‘ Do well...’  Tuan Syed Bakar berkata.

Aku telah mendapat kebenaran dari  Guru Besar.
 
Program ini diadakan  pada hari Sabtu pagi. Ertinya aku tidak perlu berdiri di tepi katil untuk  Inspection - pemeriksaan hari Sabtu. Awal pagi   aku akan memakai seluar panjang hitam dan baju putih untuk ke Ipoh.

Seluar hitam ini hanya dibenarkan untuk digunakan jika di luar kawasan asrama. Untuk Budak Koleq kalau berpeluang dapat memakai seluar hitam ini dianggap istimewa.

Pakaian warna warni di MCKK hanya boleh dipakai ketika sampai ke asrama pulang dari bercuti atau hendak ke stesen kereta api untuk  pulang bercuti. Hari hari lain  kami memakai pakaian seragam sekolah atau berseluar  baju Melayu.

Bersukan kami wajib memakai seluar pendek hitam dan baju t putih. Tentang pakaian ini peraturan amat ketat di MCKK. Prefect sentiasa memerhati.

 Pagi Sabtu satelah minum pagi  aku menapak ke stesen bas  terletak dalam pekan Kuala Kangsar.  Aku mengambil  bas Reliance berwarna hijau. Tambang 1.25 Rm dari Kuala ke Ipoh. Perjalanan satu jam lebih.

Agak susah juga aku mencari bangunan YMCA. Dua kali aku bertanya akhir aku sampai. 

Dewan  hampir penuh. Dewan  memuat 100 orang -  tidak sebesar Dewan Hargreaves yang semuanya Melayu. Hari itu dalam  Dewan YMCA – ada India, China dan Melayu. Majoriti  murid sekolah.

Ada murid dari Anderson School,  dari STAR – Sekolah Tunku Abdul Rahman,  dari ACS - Anglo- Chinese School – ini sekolah yang ada Tingkatan Enam.

Pidato ini ada bahagian Dewasa lelaki dan perempuan.  Bahagian sekolah rendah dan sekolah menengah.   Aku rasa  program ini di buat untuk menjalin kembali hubungan kaum yang telah rosak akibat   13 Mei – setahun yang lalu.  Kerana itu tajuk pidato kami ialah: Malaysiaku.

Aku merasa aku  kembali bersyarah di SMUJ – Sekolah Menengah Undang Jelebu – kerana yang hadir bukan semuanya  Melayu. Hadirin majmuk.

Giliran aku sampai. Pemidato  di beri tujuh minit untuk berucap. Minit ke lima ada loceng berbunyi. Ada dua minit sebelum loceng akhir dibunyikan.

Aku tidak ada masalah dalam berpidato. Ini bukan kali  pertama aku  bertanding.  Gentar ada gemuruh pun ada kerana aku datang seorang  diri tanpa  kawan datang sebagai penyokong  seperti pemidato dari STAR atau dari Anderson.

Petang itu di umumakn aku menjadi Johan Pemidato  Perak 1970 . Aku tersenyum puas. Pulang modal  dua hari aku menghafal ucapan. Berbaloi aku datang ke Ipoh.

Aku menerima hadiah dalam bentuk voucher bernilai 12 ringgit untuk membeli buku di kedai buku di Ipoh.

Dari YMCA aku menapak ke pekan Ipoh. Aku ingin merayau dalam pekan Ipoh. Ingin meneroka dan mencuci mata. Tapi aku sendirian. Lalu aku ke stesen bas dan pulang ke Kuala Kangsar.

Balik ke asrama  aku beri tahu berita gembira ini kepada  Ghani dan Jalil. Mereka tahu  aku ke Ipoh  untuk berpidato.

Satu minggu kemudian di Perhimpunan Hari Senin – seperti biasa Guru Besar telah memberi nasihat, memberi tahu apa yang sedang di rancang dan apa yang telah berlaku. 

Tertiba nama aku disebut sebagai Pemenang Pemidato Perak Terbuka 1970. Aku  merasa bangga. Aku kini sudah menjadi Budak Koleq. Telah menaikkan nama MCKK. 

Aku tidak tahu bagaimana Tuan Syed Bakar  – Guru Besar – tahu keputusan pidato. Aku rasa pihak YMCA pasti telah berhubung dengan pejabat MCKK.

Hari berjalan minggu berganti. Pagi Senin 22  Jun 1970 selesai Perhimpunan Mingguan di Dewan Hargreaves , ketika aku hendak menapak masuk ke  dalam kelas tertiba berita  sampai.

‘ Herman... Sukarno mati....’ Ghani memberi tahu. Dari mana punca berita aku tidak  tahu.

Lalu aku teringat akan Bung Karno nasionalis Indonesia. Lalu aku teringat akan gagasan Melayu Raya. Gagasan Maphilindo – Malaya , Philipina dan Indonesia. 


Aku pelajar sejarah maka aku tahu akan perjuangan Bung Karno menuntut merdeka dari Belanda.  Cik Gu Zaleha Sidek pernah bersurah  tentang  perjuangan bambu runcing – senjata para nasionalis Indonesia melawan Belanda.

Aku juga pernah terbaca tentang bagaimana Bung Karno berjanji dengan Ishak Haji Muhamad, dengan Ahmad Boestamam, dengan Dr Burhanuddin Hilmi – mereka seia sekata – bersetia kawan - akan mengumumkan kemerdekaan  bersama Indonesia dan Tanah Melayu.

Aku sebagai pelajar sejarah secara jujur menganggap Bung Karno sosok agung pejuang nasionalis anti penjajah yang pernah di penjara oleh Belanda.

Aku juga pernah difahamkan  Bung Karno adalah pemidato yang hebat. Aku tidak pernah mendengar pidatonya tapi aku rasa bangga jika aku berupaya berpidato seperti Bung Karno.

Justeru sebagai penghormatan aku ingin berkabung. Aku merancang akan berkabung selama tiga  hari –  Selasa, Rabu  dan tamat Khamis 25 Jun.

Pagi Selasa aku mengikat reben  hitam di lengan baju putih. Hari itu hanya aku seorang yang berkabung.

Esoknya hari Rabu aku ternampak Tawail  Mat Som dari Tingkatan Lima ikut sama berkabung. Ertinya dua Budak Koleq telah berkabung mengingati kematian Sukarno.

Kelas  berjalan seperti biasa. Kawan-kawan sedarjah melihat aku berkabung. Mereka tidak memberi apa apa komen. Malah satelah setahun menjadi Budak Koleq mereka telah memahami  akan perangi aku
 
Guru Sastera, guru Sejarah,  Guru Ekonomi  nampak reben hitam aku.  Mereka tidak memberi apa apa komen.

Khamis 25 Jun 1970  sesudah rehat  aku ada  kelas Ilmu Alam.  Kami beralih  ke bilik khas untuk kuliah Ilmu Alam.  Kelas ini terletak di tingkat satu  di blok  berhadapan  hadapan Pejabat  Guru Besar. Hendak ke bilik Ilmu Alam ini wajib melintas di hadapan  Dewan Hargreaves.

Guru Ilmu Alam ialah Rozali Nordin. Murid tua MCKK.  Satelah lulus dari Universiti Malaya kembali ke MCKK untuk menjadi guru. Dia berkahwin dengan  Robeahtun Ahmad juga lulusan Universiti Malaya.

Untuk Budak Koleq Rozali ini  dipanggil Mat Chen. Kerana masa sekolah dulu hidungnya berhingus. Chen itu cendol tanda  hingus hidung. 

Mak Chen ini pemain ragbi yang baik. Robeahtun – Isterinya juga mengajar di MCKK -  guru sastera aku.

Kami menapak hendak masuk ke kuliah Ilmu Alam. Mat Chen memerhatikan kami melintas Dewan Hargreaves  dari balkoni.

Di pintu kelas Mat Chen menahan aku. Aku tidak dibenarkan masuk ke bilik darjah.

‘ What is this...’ Dia memegang reben hitam aku.

‘  For Sukarno...’ Aku menjawab.

‘ He ia a communist.... take it off...’ Mat Chen memberi arahan.

Aku dengan hati yang marah aku  membuka reben hitam.

‘ Now you go to Head Master  and report to him what I did .. go now...’ Mat Chen memberi arahan agar aku membuat laporan diri kepada Tuan Syed Bakar.

Aku turun tangga. Mat Chen memerhatikan aku dari balkoni menuju ke bilik Guru Besar. Kuliah Ilmu Alam terganggu sebentar.

Aku menapak turun. Dengan pantas aku berfikir  : aku akan mainkan si Mat Chen ini.  Dia ingat dia bijak  melarang aku berkabung. Mat Chen ini belum kenal Hishamuddin Rais.

Di hadapan pintu Guru Besar aku menoleh ke balkoni. Mat Chen sedang memerhatikan aku masuk ke bilik Guru Besar.

Aku mengetuk pintu bilik  Guru Besar dan masuk.

‘ Good afternoon Sir... may I have your permission to go to Ipoh... I need to exchange  my voucher with a book I won during the elocution contest...’

‘ Good... When...’ Guru Besar bertanya.

‘ This Saturday Sir...’ Aku menjawab ringkas.

Bila aku keluar dari bilik Guru Besar Mat Chen  tidak ada di balkoni. Kuliah Ilmu Alam telah bermula.

Aku masuk ke dalam kelas. Semua  senyap dan mata menjeling  memandang aku mencari tempat duduk.. Kawan sedarjah  melihat dan sedar  apa yang  telah terjadi antara aku dengan Rozali Nordin a.k.a Mat Chen.

Mat Chen yang anti Sukarno kerana dianggap komunis. Aku  pula  berkabung atas  kemangkatan Sukarno. Suasana kelas Ilmu Alam  hari itu agak tegang.

Ketika aku  di hantar ke bilik  Guru Besar semua  kawan sedarjah tergamam. Mungkin kawan-kawan menjangka  aku kena rotan. Atau aku dikenakan Detention Class. 

Bila kuliah Ilmu Alam Selesai dan  Rozali Nordin telah beredar aku ketawa terbahak-bahak. 

‘  Me... me going to Ipoh...’

‘ Apa jadi dengan HM .... ‘ Ghani bertanya.

‘  Aku bukan bodoh nak ikut cakap Mat Chen..... aku minta kebenaran  gi Ipoh... Mat Chen  ingat aku bodoh.. dia silap besar... patutnya dia beri nota pad HM...’

‘ Herman... kau ni gila laaaaa ... berani kau...’ Ayat Ghani kepada aku.

‘  Semua ini untuk Bung Karno...’ Aku menjawab dalam ketawa.

Hari Sabtu aku berseluar hitam berkemeja putih bergaya  ke Ipoh sekali lagi. Terima kasih Mat Chen. Terima kasih Bung Karno. (TT)



TULISAN INI DITERBITKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/10/05/pidato-dan-bung-karno



 

Tiada ulasan: