Yusoff Rawther menang saman fitnah setiausaha akhbar Anwar
MUHAMMAD Yusoff Rawther menang saman fitnah terhadap setiausaha akhbar Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berhubung satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jun 2019, kata peguamnya Tetuan Haniff Khatri.
Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Ishak Bakri dalam keputusannya hari ini memutuskan bekas pembantu penyelidik Anwar berjaya membuktikan kesnya terhadap defendan.
“Kesemua pembelaan yang dibangkitkan oleh defendan adalah gagal dan tidak diterima oleh mahkamah,” kata Tetuan Haniff Khatri dalam satu kenyataan.
Dalam keputusannya, mahkamah memerintahkan Tunku Nashrul membayar gantirugi am RM200,000.00 dengan faedah 5% setahun bermula tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.
Beliau juga diperintah membayar kos perbicaraan RM25,000 kepada Yusoff.
Mahkamah juga mengarahkan Tunku Nashrul menarik balik kenyataan medianya dan menerbitkan satu permohonan maaf dalam tempoh 45 hari dari hari ini.
Tunku Nashrul juga dilarang mengulangi tuduhannya terhadap Yusoff melalui satu perintah injunksi.
Saman Yusoff yang difail pada 12 September 2019 mempertikaikan kenyataan media Tunku Nashrul yang mendakwa antara lain kononnya beliau hanya penyelidik sukarela dan sudah dibuang kerana masalah disiplin dan dadah.
Kenyataan media itu juga menafikan dakwaan Yusoff bahawa beliau diserang secara seksual oleh Anwar sekitar Oktober 2018.
Pejabat Peguam Negara pada Januari 2020 memutuskan tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.
Yusoff kemudian memfailkan saman sivil terhadap Anwar sementara Anwar mengemukakan tuntutan balas terhadapnya. – 19 Oktober, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan