MERANCANG
KE UNIVERSITI
Aku bukan pelajar yang cekap dalam ilmu kira-kira. Aku selalu merasa hairan jika Cik Gu Ilmu Hisab berkata ‘ let the number be X ‘. Aku pening kepala. Aku tak faham kenapa angka itu jadi X.
Setahu aku X ini adalah ganti nama untuk gadis yang terlibat dam kes rogol di mahkamah. Nama Miss X ini kerap aku baca dalam Utusan Melayu.
Gadis sunti ini diberi nama Miss X dan tidak diketahui Cina atau Melayu. Bab kes rogol ini aku faham. Miss X digunakan untuk melindungi nama gadis ini dari di ketahui umum.
Let’s the number be X dalam kelas Ilmu Hisab aku tidak faham.
Justeru sesudah lulus dari tingkatan tiga melalui peperiksaan L.C.E ( Lower Certificate of Education ) aku masuk ke tingkatan empat aliran Sastera.
Ketika menyambung dalam Tingkatan Enam di MCKK aku tetap dalam aliran Sastera. Aku cuba lari dari belajar ilmu kira-kira.
Tetapi bila aku mengambil mata pelajar Ekonomi aku terserempak lagi dengan kira-kira. Aku berjumpa dengan X sekali lagi. Hasilnya di MCKK aku masih bebal dalam mata pelajaran ekonomi.
MCKK ketika aku disana adalah wilayah creme de la creme untuk pelajar Melayu. Pelajar yang menjadi Budak Koleq dipilih dan terpilih.
Ketika itu ada Commonwealth Scholarship untuk menyambung belajar ke United Kingdom, Australia, New Zealand dan Canada. Menyambung pelajaran dalam. Semua ilmu – Sains , Sastera dan Undang-undang.
Mereka. yang mendapat Biasiswa Commonwealth ini adalah pelajar MCCK yang terbaik dan terpilih. Creme de la creme di atas cream de la creme produk MCKK.
Tahun 1970 aku dalam Tingkatan Enam Atas aku telah mula membaca Mahasiswa Negara. Ini akhbar dwi mingguan dari Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).
Mohd Arif dari kelas aku ada hubungan dengan Mahasiswa Negara. Maka dua minggu sekali beberapa naskah Mahasiswa Negara akan dijual oleh Mohd Arif.
Membaca Mahasiswa Negara menaikkan semangat untuk ke universiti.
Dari akhbar ini aku mula mengikuti perkembangan kampus UM. Aku tahu wujudnya Kelab Sosialis. Ada PBMUM – Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan PMIUM – Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.
Di MCKK aku juga akhbar dan majalah kami sendiri. Majalah MCKK – school magzine - diterbitkan setahun sekali. Majalah ini merakam apa yang berlaku pada tahun itu.
Kami ada akhbar Kris Kangsar – akhbar dalaman - yang keluar berkala.
Dari pelajar aliran sastera ada Majalah Semaian. Ini majalah sastera MCKK yang terbit setahun sekali. Ada cerpen, ada sajak, gurindam, pantun seloka dan ada tulisan berkenaan sastera yang bersangkutan dengan mata pelajaran Sastera.
Pada tahun 1970 aku telah diberi kepercayaan untuk menjadi Ketua Pengarang Majalah Semaian MCKK.
Antara sidang pengarang yang membantu aku ialah Rashid Harun, Kamat Norbit dan Kamaruddin Jaafar sebagai penasihat.
Aku ingat lagi usaha dijalankan untuk mencari dana. Kami menjual iklan dan meminta derma. Sebagai ketua pengarang aku beberapa kali ke Taiping untuk urusan pencetakan.
Semua beres. Sebelum akhir tahun – sebelum masuk pereka HSC Majalah Semaian terbit.
Aku merasa bangga. Aku merasa aku telah menjadi Budak Koleq. Aku teringat lagi bagaimana satu ketika dulu aku ingin meninggalkan MCKK dan berpindah ke KGV di Seremban. Kini semua tinggal ingatan.
Six Form Union MCKK juga amat aktif. Malah ada jaringan kesatuan Six Form Union untuk seluruh Perak. King Edward dari Taiping, Anderson, Anglo Chinese School, St. Micheal dan STAR dari Ipoh dan SDAR dari Tanjung Malim.
Tahun 1970 MCKK menjadi tuan rumah untuk pertemuan pelajar Six Form Union. Sebagai tuan rumah kami susun program. Di sebelah pagi perbincangan dan debat. Di sebelah petang ada acara sukan.
Para tamu datang dengan bas sekolah masing-masing.
Dewan Hargreaves di datangi oleh pelajar perempuan Melayu, Cina dan India dari Ipoh dan Taiping. Bayangkan ada pelajar perempuan di MCKK. Ini satu perkara yang ‘rare’ - perempuan di lihat dalam padang bola MCKK dan duduk dalam Dewan Hargreaves
Masuk penggal ke dua Six Form Union menjalankan program Union NIght. Kami mendapat tahu bahawa seorang pemimpin pelajar dari Universiti Malaya akan datang ke Dewan Hargreaves. Sosok ini bernama Anwar Ibrahim yang juga ‘old boy ‘ Budak Koleq.
Malam Khamis – malam union - itu aku ingat lagi Anwar Ibrahim pemimpin PBMUM – Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya telah naik pentas dan berucap. Aku ingat lagi ucapan pemimpin pelajar ini ialah tentang negara-negara Islam yang miskin yang wajib dibangunkan.
Sebenarnya aku telah ada membaca berita Anuar Ibrahim ini dari Utusan Melayu. Pada tahun 1969 sesudah Mei13 PBMUM dan PMIUM mengambil garis politik mendesak Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman letak jawatan – berundur.
Garis politik Anwar Ibrahim ini selari dengan garis politik Dr Mahathir yang juga menentang kepimpinan Tunku.
Beberapa bulan selepas tragedi Mei13 Tunku menulis buku berjudul Sebelum dan Sesudah Mei13. Dari apa yang aku baca buku ini telah di bakar di Sudut Pidato UM. Sosok yang memimpin pembakaran buku ini antaranya ialah Anwar Ibrahim.
Anwar dan kumpulannya telah menconteng cat pada semua papan tanda dalam Universiti Malaya. Ini kempen PBMUM yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.
Aktiviti pelajar Universiti Malaya telah aku ikuti sebelum aku sendiri masuk universiti.
Sebelum mengambil peperiksaan HSC lagi borang untuk melamar Biasiswa Commonwealth telah aku isi. Malah semua pelajar Tingkatan Enam Atas aliran Sastera dan Sains telah melamar.
Aku melamar untuk belajar Ilmu Undang-Undang di United Kingdom. Sebenarnya banyak ilmu ‘liberal arts ‘ yang lain tapi aku sendiri tidak tahu. Yang aku tahu hanya Law Degree.
Kami dipanggil ke Ipoh untuk ditemu bual oleh Jawatankuasa Biasiswa Commonwealth. Kami membawa surat ‘sulit’ laporan dari guru yang menyatakan sama ada kami ini berpotensi untuk lulus atau tidak.
Bulan November 1970 bulan puasa sampai. Dalam bulan November ini juga peperiksaan HSC yang di kendalikan dari United Kingdom berjalan.
Pelajar lain dari kelas bawah semua pulang bercuti panjang. Kami dalam Tingkatan Enam Atas berhadapan dengan HSC.
Guru Besar Tuan Syed Bakar Barakhbah telah memberi arahan jika sesiapa pelajar yang tidak mahu berpuasa kerana ada ujian HSC pada hari itu dibenarkan tidak berpuasa.
Aku telah dilantik untuk menguruskan roti dan sardin untuk mereka yang tidak berpuasa. Berbuka puasa dan makan malam kami masih diurus dalam Dewan Makan. Hanya pelajar sedikit.
Ketika peperiksaan belum bermula lagi aku telah mendengar ada beberapa pelajar telah mendapat Biasiswa Commonwealth. Semua ini berasakan ‘laporan sulit- forecast result ’ dari guru kami.
Nama aku tidak naik untuk mendapat Biasiswa Commonwealth. Dalam kelas aku hanya tiga pelajar mendapat biasiswa. Kamaruddin Jaafar, Ahmad Ibrahim ke United Kingdom dan Shamsudin Husin ke New Zealand. Bila keputusan resmi sampai mereka akan terbang ke luar negara.
Kami yang lain wajib menunggu keputusan untuk melamar universiti tempatan. Aku telah memasang niat untuk ke Universiti Malaya.
Tahun 1970 hanya ada tiga buah - Universiti Pulau Pinang, Universiti Kebangsaan dan Universiti Malaya. Paling berprestij ialah Universiti Malaya.
Selesai HSC – kami semua mengucap selamat tinggal pada MCKK. Aku merasa sedih. Tempat jatuh lagi di kenang inikan pula tempat kena rotan.
Malam akhir kami di Dorm Kapal Haji kami bergambar untuk kenangan dan berjanji lagi aku berjumpa kecuali yang akan pergi ke luar negara.
Malam akhir di MCKK - kami ambil kereta api malam ke Kuala Lumpur. Hatta, Ghani, Rashid. Baharuddin, Kamat pulang ke Johor. Jalil turun di Kuala Kubu Baru. Anuar a.k.a Wabbit pulang ke Kuantan. Brahim a.k.a Yok pulang ke Terengganu. Sulaiman a.k.a Uncle Porno berhenti di Kula Lumpur.
Pelajar dari Kelantan seperti Mahmud Awang Kecil dan Kamaruddin Jaafar lebih hebat mereka naik kereta api ke Utara melintas Padang Besar masuk ke Siam ambil kereta api Siam turun di Golok.
Pagi itu kereta api sampai di stesen Kuala Lumpur. Kami tidak merayau di Kuala Lumpur. Kami meneruskan perjalanan ke Selatan.
Aku ingat lagi – aku turun dan menangis di stesen kereta api Seremban. Aku sedih meninggalkan Hatta, Ghani, Rashid yang meneruskan perjalanan ke Johor.
Kamal Adham a.k.a Ogo datang memeluk bahu aku. Dia cuba meredakan tangisan aku.
‘Its okay Herman..... we will meet again...’ Ogo membantu aku mengangkat beg. Ogo dari aliran Sains berasal dari Kuala Pilah.
Kami menapak ke stesen bas seremban. Ogo mencari teksi ke Kuala Pilah. Aku mencari teksi pulang ke Jelebu.
Tempat jatuh lagi dikenang. Ini kan pula Kuala Kangsar tempat aku pertama kali bertemu laksa dan popia.
Perigi batu, lampu pelita dan Kampung Chenor menunggu aku. Hari Raya akan sampai seminggu kemudian pada 30 November 1970. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/11/05/merancang-ke-universiti
2 ulasan:
PM tepi pun MCKK tu ke sebab tuLis tuLisan ini.... nak penaiK PM Tepi...geng2 MCKK...kakakaH
Terbaik TT
Catat Ulasan