Tsunami hijau’ membesar setiap kali Rafizi buka mulut – MB Kedah
ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menempelak kenyataan Rafizi Ramli yang mendakwa pengundi tidak bijak memilih sehingga memberi kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Muhammad Sanusi berkata, kenyataan Timbalan Presiden PKR itu bukan sahaja menuduh pengundi PN terlalu naif malah secara secara terang menghina pengundi dengan sentimen perkauman dan wang rasuah pilihan raya.
“Tidak ada sesiapa pun yang menolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 kerana disogok wang dan diberi jamuan mewah percuma.
“Pas memang ‘parti tin Milo’, bukan seperti mereka yang ditaja oleh tauke-tauke besar, hingga ke sana sini berkempen mampu naik helikopter, calon Presiden Amerika Syarikat adalah contoh manusia atas planet ini yang ada kemampuan seperti itu,” kata pemimpin Pas itu dalam kenyataan di Facebook malam tadi.
Menurut Muhammad Sanusi, raja politik wang yang mana Rafizi sendiri sering ulang sebut dalam ceramahnya sebelum ini, kini sedang ‘bersekedudukan’ dengan mereka.
“Bagi Rafizi, dia dan PH tidak pernah salah, sempurna dan sentiasa benar dalam semua hal.
“Ironinya, kebencian pengundi kepada formula sampah yang tidak pernah berjaya, ucapan bernada bongkak, memandang rendah orang lain, perasan bijak, membina persepsi dengan menipu, menghina dan mencela dalam bahasa baku telah mendorong pengundi memberikan mereka pengajaran pada PRU15,” kata beliau.
Tambah Muhammad Sanusi, ‘tsunami hijau’ masyarakat Melayu pada PRU15 akan terus membesar sehari demi sehari setiap kali Rafizi membuka mulut.
Tsunami hijau bagi menggambarkan sokongan rakyat kepada Pas.
“Orang ramai sudah tahu prestasi sebenar beliau di sebalik ucapan kempen PRU15 yang kini memakan diri sendiri. Saya sebetulnya sangat berharap dia terus bercakap seperti itu.
“Kalau dia rasa sangat bijak, dia juga perlu sedar orang lain juga tidak bodoh. Sekarang ini 2023, pengundi tidak lagi bergantung kepada ‘cakap kosong berstatistik’ dan retorik,” katanya.
Selain itu, Muhammad Sanusi turut menyifatkan Rafizi akan menjadi punca PH dan BN dihukum pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, Rafizi mendakwa lonjakan sokongan kepada PN semasa PRU15 adalah disebabkan retorik perkauman dan politik wang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan