Terima kasih bagi duit raya, tapi kami nak naik gaji, kata penjawat awam
PENJAWAT awam melahirkan rasa syukur atas pemberian duit raya RM700 yang diumumkan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim semalam ketika mengumumkan Belanjawan 2023 namun kini mereka menuntut kenaikan gaji yang didakwa sudah lama tidak berubah.
Bercakap kepada The Malaysian Insight mereka akui puas hati dengan kesungguhan Anwar untuk menghapuskan rasuah serta menyediakan belanjawan yang seimbang.
Pandangan ini dibuat selepas kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) apabila Belanjawan 2023 itu tidak menyentuh isu peningkatan kos sara hidup yang terus membebankan penjawat awam.
Presidennya Adnan Mat juga menggambarkan belanjawan kali ini mengecewakan ekoran tiada komitmen daripada kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam selaras dengan peningkatan kos sara hidup.
Seorang penjawat awam dari Rawang, Selangor yang enggan dikenali bersetuju gaji mereka tidak berubah.
Katanya meskipun beliau memiliki Ijazah Sarjana namun tiada kenaikan pada gajinya.
“Saya masih bujang jadi saya masih boleh bertahan tapi macam mana mereka yang ada keluarga? Sudah tentu tidak cukup untuk mereka dalam keadaan ekonomi sekarang.
“Kerajaan wajar teliti untuk tingkatkan gaji apabila ekonomi sudah pulih,” katanya.
Tambahnya keutamaan perlu diberikan kepada polis, bomba dan tentera.
“Ini (kenaikan gaji) sudah tentu memberi manfaat kepada mereka memandangkan pendapatan mereka rendah,” katanya.
Seorang guru dari Kuala Lumpur yang turut enggan dikenali mengalu-alukan bantuan kerajaan untuk hari raya namun katanya lebih banyak perlu dilakukan kerajaan untuk guru yang berpendapatan rendah.
“Ia bagus bila semua orang akan dapat termasuk guru yang terpaksa bertahan dengan peningkatan kos hidup.
“Kami berharap akan ada peningkatan gaji guru. Kita memang dapat peningkatan tahunan tapi ia tidak cukup dalam tempoh yang mencabar ini.
“Barang dan perkhidmatan lebih mahal sekarang tapi gaji kita masih sama.
“Jika harga terus meningkat maka kita akan ada masalah untuk bertahan,” kata ibu kepada empat orang anak itu.
Guru itu berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk meningkatkan 5% hingga 10% gaji mereka.
“Kami tidak minta banyak cuma sedikit untuk kami tampung perbelanjaan pinjaman kereta, rumah dan sekolah anak,” katanya.
Adnan dalam satu kenyataan semalam berkata penjawat awam mengharapkan sistem gaji lebih baik yang tidak disemak sejak November 2022.
Katanya perumahan untuk penjawat awam juga tidak disentuh dalam Belanjawan 2023.
Konsep rumah mampu milik seperti Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang dikhususkan kepada anggota ATM perlu diperluaskan kepada semua penjawat awam.
“Mereka tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya tetapi harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam,” katanya.
Dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan semalam, Anwar mengumumkan pemberian bantuan khas RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk yang kontrak dan pencen.
Pulihkan ekonomi
Seorang jururawat berusia 45 tahun di sebuah hospital kerajaan di Klang menyifatkan belanjawan yang dibentangkan Anwar baik dan seimbang sambil menambah merasa lega apabila mengetahui pemimpin tertinggi kerajaan mengambil serius soal rasuah.
Katanya akan lebih baik jika kerajaan mengumumkan peningkatan gaji namun beliau memahami keadaan kewangan semasa negara.
“Bantuan RM700 itu pun berita gembira setidaknya untuk saya. Peningkatan itu sedap didengar tapi saya boleh faham senario sekarang dengan keadaan hutang negara dan sebagainya jadi saya tak boleh nak merungut banyak.
“Saya rasa kalau kita kurangkan rasuah tentu ekonomi akan jadi lebih baik. Kita boleh tarik lebih ramai pelabur dan buat duit. Jadi saya harap satu hari nanti keadaan akan jadi lebih baik dan kita dapat capainya (naik gaji),” kata ibu kepada dua anak itu.
Senada dengan jururawat tersebut seorang guru besar sekolah menengah di Puchong yang berusia 50 tahun berkata akan lebih baik ekonomi negara dapat dipulihkan dahulu.
“Sudah tentu saya gembira jika gaji penjawat awam naik terutama mereka yang gred rendah. Ia tentu membantu mereka dalam keadaan yang sukar ini.
“Tapi lihat kepada angka hutang kita ia juga menakutkan. Kita boleh elak jika wang disalurkan dengan cara yang betul dan jika tiada skandal berbilion dolar.
“Semua orang boleh terima manfaat jika pemimpin kita jujur dan telus. Jadi saya akan beri peluang kepada kerajaan untuk buktikan dulu. Apabila ekonomi semakin baik sudah tentu kita juga akan nikmatinya,” katanya. – Bernama, 26 Februari, 2023.
1 ulasan:
Satu negara yang paling ramai penjawat awam, satu negara yang paling banyak tanggung biawak hidup, kerja tak mahu tetapi maka semua kemudahan mahu kiri kanan, apa lah kah kah kah kalau guna sistem kapitalis sekejap semua akan lupus, sistem kerja mana lebih bagus? Pakai manusia atau robot atau mesin? Kah kah kah era teknologi lagi banyak mesin komputer diguna kena kurangkan manusia, tapi mana nak letak berapa ribu yang keluar cari kerja nanti? Tanah semakin sikit, bangunan semakin banyak, keperluan semakin mendesak apa nak jadi kah kah kah
Catat Ulasan