Mesyuarat UMNO Lahad Datu dicemari insiden pergaduhan
KUALA LUMPUR – Mesyuarat UMNO Bahagian Lahad Datu di Sabah hari ini dicemari dengan insiden pergaduhan yang melibatkan beberapa individu dipercayai penyokong calon-calon yang bertanding dalam pemilihan.
Kekecohan yang berlaku akibat insiden tersebut dapat disaksikan melalui rakaman video yang tular dalam media sosial.
Dalam rakaman tersebut, beberapa individu dilihat menaiki pentas di hadapan dewan ketika Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Khalid Harun sedang berucap.
Tidak berapa lama kemudian sekumpulan individu menaiki pentas dan seterusnya mencetuskan pergaduhan dan beberapa orang lelaki dilihat bertumbuk.
Punca pergaduhan tidak diketahui namun dipercayai berlaku provokasi melibatkan penyokong calon-calon yang bertanding hari ini.
Sementara itu, media melaporkan, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan