Jumaat, 31 Mac 2023

DARI BRICKFEILDS DISAMBUNG LAGI


DARI  BRICKFEILDS  DISAMBUNG LAGI


Kesah yang aku kesahkan ini tidak berhujung. Cerita aku ini  masih diteruskan. Kesah-kesah ini  disambung dan bersambung. 

Setiap cafe yang aku  pernah singgah, setiap cawan kopi yang pernah aku pegang  adalah penyambungan cerita. 

Ketika aku duduk sendirian dalam cafe aku akan  menoleh ke kiri ke belakang ke hadapan. Mata aku pasti ternampak ada   pelanggan yang tidak aku kenali  duduk dalam cafe yang sama.

Kadang kala aku khayalkan siapa  mereka. Rumah  dimana. Berkeluarga, bujang atau duda.  Atau sedang berkelana. Jika terlihat pasangan muda maka aku tahu mereka sedang bercinta. Atau apakah sedang merancang untuk berumah tangga.

Jika ternampak dua Mamat yang membawa fail aku akan tersenyum.  Dua Mamat membuka fail ini pasti sedang  berbincang hal perniagaan. Mungkin merancang untuk merasuah pegawai kerajaan agar projek di luluskan.

Setiap sosok yang bersantai di cafe pasti mereka ada cerita masing-masing. Sama seperti aku yang melayan secawan kopi sambil  ngelamun tentang  itu dan ini.

Pernah sekali di meja hadapan di  Old Town Cafe ketika aku sedang duduk dengan seorang  kawan tertiba melintas di hadapan aku seorang hamba Allah. Dia menoleh dan terus mengambil kerusi dari meja sebelah dan duduk di meja aku.

Aku cuba bersopan. Sebenarnya  aku tidak suka jika ada orang lain yang tidak dalam perancangan  datang duduk ke meja aku. Untuk aku ini mengganggu. 

 Aku sendiri  tidak pernah menarik kerusi datang ke meja   sebelah  walau pun di meja sebelah kenalan. Untuk aku ini  bukan dalam perancangan.

Kadang kala kita ke cafe untuk bersantai bersendirian. Jika aku tidak boleh bersendirian maka aku gagal mencari bahagia.

‘ Dari mana Bang.... ‘ Aku bersopan lagi. 

‘   Sedang pasang krane... nak buat bangunan ....’ Dengan bangga dia berkata.

Kemudian  hamba Allah ini bercerita bahawa dia bekerja memasang krane. Memasang krane di atas bangunan. Ketika ini KL Sentral sedang dibina. 

Aku pun hairan juga ada krane atas bangunan. Belum pernah aku lihat sebelum ini. Kerjanya pasti ulit.

Lalu dia bercerita  yang dia pernah bekerja  memasang krane di Dubai, Hong Kong dan di New York.   Aku hanya mendengar. Sosok ini berkisah dengan pengalaman hebat membina bangunan pencakar langit.

Kemudian dia bertanya ‘ kenal Shamsiah  Fakeh....’  Aku mengangguk kerana aku tahu siapa Shamsiah Fakeh ini.

Aku menunggu  apa sambungan  dari soalan yang dihamburkan.

‘ Saya ni .... anak Shamsiah .. anak yang  ditinggalkan.. bila Shamsiah lari masuk  utan....’  Mata aku terbuka. Bukan terperanjat kerana aku berhadapan dengan sejarah. Mata aku terbeliak kerana aku yakin Si Mamat ini kaki temberang.

Mamat ini tidak tahu bahawa aku kenal dengan Jamal anak lelaki Shamsiah. Ketika Shamsiah  wafat aku turut sama mengangkat keranda jenazah untuk di makamkan.

Malah kawan yang duduk sama di sebelah aku ketika Mamat ini buka temberang adalah kenalan baik Jamaliah cucu kepada Shamsiah.

Sampai sekarang aku tidak tahu apa untungnya Si Mamat ini buka cerita anak Shamsiah Fakeh kepada aku Hishamuddin Rais 

Ini satu  kesah yang aku pungut dari Old  Town Cafe. Kesah yang mustahil aku lupakan.

Aku ingat lagi malam  Ahad  bulan  Disember 2013 teater Bilik Sulit sedang dipentaskan  di Temerloh. Aku lupa tarikh pementasan itu. Tapi aku tidak lupa bila mana selesai berteater aku dapat panggilan talipon dari Saifuddin Nasution.

Setiausaha Agong PKR ini mahu berjumpa dengan aku esok hari Senin. Aku menolak kerana hari Senin rutin aku menulis untuk kolum Dari Brickfeilds.

‘ Ini perkara lebih penting dari kolum kau... esok wajib jumpa... ‘ Saifuddin mengasak.

Aku jadi hairan apa yang lebih penting dari aku menulis. Amat jarang aku gagal menghantar tulisan kerana ini media cetak. Ruang telah disediakan. Bukan portal Internet yang tidak memilik konsep ruang.

Senin jam 11.30 kami bertemu di Old Town. 

‘ Cik Gu Lee akan letak jawatan dan Anwar akan bertanding sebagai ganti...’ Berita meledak dari mulut Saifuddin. 

Aku tidak menjawab kerana aku bukan orang parti.  Aku hanya mendengar penerangan Saifuddin.

Dia melihat jam di tangan.

‘ Ketika kita bercakap ini Anwar di Kajang.. dia sedang  berurus untuk menukar alamat... tanding DUN wajib warga tempatan... kalau parlimen tak perlu...wajib ada alamat di Kajang... dia pakai alamat Pak Ibrahim di Country Heights ....’ Saifuddin menerangkan bahawa semuanya telah di rancang.

Aku menyokong Langkah Kajang ini. Pada hemat aku ketika itu Anwar yang gagal menjadi PM boleh menjadi MB Selangor.

Justeru UBU ( Universiti Bangsar  Utama) mengadakan forum pada Januari 2014. Klip forum ini muncul dalam YouTube pada 31 Januari 2014.

Aku ingat lagi bagaimana YB Rafizi Ramli membocorkan berita ladang lembu Shahrizat Jalil. Heboh berita lembu hingga Shahrizat Jalil , suami  dan  anak beranak  sesak nafas.

Rafizi menalipon untuk  berjumpa. Kami berjumpa  di Old Town.  Ketika ini kesah lembu Shahrizat dah mengendur.

‘ Aku  fikir cara nak teruskan kempen  lembu ni...aku rasa kena buat filem...’ Rafizi menerangkan tujuan bertemu.

Perkara filem lembu ini telah lebih awal aku baca di media sebelum kami bertemu di Old Town.

‘ Boleh... kena buat  skrip.... dan buat cerita...’ Jawapan aku pada malam itu. 

Cerita lembu Shahrizat ini aku panjangkan dengan Ah Chong pelajar ASWARA dan minta dia menulis skrip. Aku hantar skrip pada Rafizi. Tapi Shahrizat sudah tidak jadi menteri lagi.

Aku ingat lagi bulan Mac 2014  aku bertemu Louise Story. Wanita tiga puluhan ini   wartawan penyiasat dari akhbar The New York Times (NYT).

 Pertemuan kali ini tidak di Old Town tapi di sebuah restoran China di sebelah Stadium Negara. Lebih tersorok dari tempat biasa aku membuat temu janji.

Ketika aku dan Louise Story bertemu 1MDB masih dalam Tahun Sifar. Berita 1MDB belum meledak. 1MDB masih kesah terpendam.

 Louise sedang mengumpul data untuk satu artikel  tentang 1MDB dalam NYT.

Aku bertanya bila berita ini akan  keluar di akhbar NYT.

‘ Some time in Autumn  - October or November....’ Louise menjawab.

Aku terfikir kenapa begitu lambat  baru tulisan dan berita  1MDB ini meledak. Aku yang tidak terlatih dalam bidang kewartawanan tidak faham cara kerja wartawan penyiasat dari Barat.

Cara mencari fakta. Menemu bual Si Anu dan Si Anu.  Semua sumber  maklumat di periksa, dirujuk dan diperiksa berkali kali. Ini untuk memastikan berita ini tepat kukuh dan sahih. Tidak akan muncul dakwa dakwi satelah berita  diterbitkan.

Untuk  aku yang tidak faham dunia wartawan  yang penting ada laporan media Barat ini keluar. Laporan ini akan aku gunakan untuk membuat propaganda  menibai Najib.
 
Sebelum aku bertemu dengan wartawan NYT ini aku tidak  menahu siapa Jho Low. Malah nama 1MDB belum menjadi buah mulut.  Louise berkisah sedikit tentang Jho Low. Aku  pasang telinga.

Kali ke dua  kami bertemu lagi. Kali ini waktu malam di Old Town. Louise meminta apakah aku ada cara untuk dia menemu bual Azman Mokhtar.

Aku kenal Si Azman ini. Kami dari sekolah yang sama. Untuk Budak Koleq kami panggil dia Amok.

Azman Mokhtar sebelum kes 1MDB meledak ialah Pengarah Urusan Khazanah Negara. Sosok korporat  pemain ekonomi yang penting di Malaysia.

‘ A bit hard...might be impossible....’ Aku mengelak diri.
 
Louise Story bertandang  di Malaysia lebih sebulan.

Satu malam  sesudah   Louise Story pulang ke New York  aku bertemu dengan Sidikin Omar di Old Town Cafe. Anak muda  ini bekerja sebagai pemberita untuk Suara Keadilan.  Dia kenalan baik aku – aktivis dari UBU. Malah kadang kala dia menyunting  kolum  Dari Brickfeilds  aku.

‘ Mari sini aku nak bocorkan cerita pada kau ...’   Mukadimah drama 1MDB aku.

‘ Apa dia.... cerita apa?.... ‘ Dikin bertanya.

‘ Ini bigger than big....’  Inilah istilah yang aku gunakan bila aku menyebarkan propaganda 1MDB sebelum nama 1MB diketahui umum.

‘ Kau wajib kumpulkan segala maklumat tentang Najib.... something big is coming... bigger than big ...’ Lebih besar dari besar. Ini  cara aku menjual drama 1MDB kepada Dikin dan kepada sesiapa saja.

Lebih besar dari besar ini aku gunakan untuk menunjukkan betapa besarnya berita yang akan meledak dari siasatan Louise Story.

‘ Kau tunggu lah.... sebelum Krismas... bulan  sepuluh atau bulan sebelas akan ada berita dari media luar  negara tentang Malaysia...’  Aku tidak memberi maklumat penuh pada Dikin kerana aku sendiri tidak tahu apa yang akan muncul.

Sabtu malam ketika aku dan  Dikin di Old Town  Cafe – Jalan Thambypillay amat sibuk.

Aku ternampak anak muda Melayu mungkin dari kampus sekitar KL  yang ingin melihat tubuh  wanita terbaring di atas katil. Sekawan anak-anak muda  sedang  berjalan keluar  masuk dari satu pintu kedai ke satu pintu kedai.

Buruh asing – Mat  Myanmar, Mat Indon dan Mat Bangla sama sibuk. Mereka berkawan-kawan naik tangga  rumah merah untuk  mencari kasih sayang di Jalan Thambypillay.

Aku bersama Dikin menghidup teh yang sudah sejuk degan mata memandang malam dan hati menunggu ledakan berita dari New York. (TT)

TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/03/31/dari-brickfields-bahagian-3



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

gua ingat kisah teater bilik sulit, gua ingat kisah rafizi bocor sharizat lembu kondo sehinggakan di konsert bersih ada band muzik dari perak yg cipta dan nyayikan perihal lembu kondo.gua ingat langkah kajang ,gua ingat kisah wan azizah juga dinafikan jadi MB di selangor gara2 perempuan tidak boleh jadi ketua negeri kerana ada halangan darah haid. gua juga masih ingat ustaz azhar idrus mengatakan peranan wanita hanyalah utk menghantar jenazah suami ke kubur.ceramah di padang sultan sulaiman juga gua ingat nurul izzah ada bertanyakan soalan mengenai peranan wanita yg diucapkan ust azhar idrus itu menguris hati wan azizah, gua ingat uai juga memperlekehkan nik jidan yg bertanyakan soalan dan akhrnya tin2 milo diedarkan utk membayar pentas dan penceramah yakni uai.gua juga ingat kisah uai anti McDonald tapi kantoi menipu ketika dikesan makan di McD bersama isteri tercinta.gua ingat kpd anak2 OKU ronasina yg dinafikan hak.ketika calon PKR diputrajya yakni doktor aisyah ecah juga oku seperti arwah anak ronasina.konsert jalanan diserbu polis, bacaan puisi oleh bapak a.samad said tiada harga berbanding ceramah ust azhar idrus di selangor oleh khalid ibrahim.dan ketika langkah kajang itu gua masih ingat perihal jentik2 diselangor, kisah dr zuhdi dari PAS yg mahu menjentik DAP keluar dari united.dan akhirnya azmin ali jd MB.gua tak lupa bro walaupun ketika ni zaman tiktok..gua masih ingat kisah MAT ISA dari PAS perihal kerajaan perpaduan.gua masih ingat arwah nik aziz dibawah dari hospital oleh nik abduh dan haji hadi dan najib isteri rosmah..nik aziz kata ambo tokseh.