Fahmi berang selepas akhbar petik pakar ramal OPR naik
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dikritik pengguna media sosial selepas meluahkan kemarahan dengan sebuah laporan biasa oleh sebuah akhbar yang memetik penganalisis sebagai menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan naik dalam beberapa bulan ini.
Laporan Berita Harian itu antara lain melaporkan penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR sebanyak 25 mata peratusan seawal Julai ini.
Pandangan pakar itu berdasarkan unjuran perkembangan ekonomi yang dipacu permintaan domestik kukuh ekoran pemulihan pekerjaan dan paras pendapatan lebih baik.
Bagaimanapun, Fahmi yang sebelum ini dikritik di sebalik pendekatan beliau menguruskan kebebasan akhbar, menyifatkan laporan itu "fitnah".
"Ini Fitnah. Rencana dengan jelas kata ini pandangan penganalisis, bukan keputusan bank negara mahupun kerajaan," katanya dalam catatan di Facebook.
"Berita Harian Online wajib betulkan dan jelaskan.”
Ia kemudian diikuti dengan Fahmi mengumumkan akan berjumpa dengan pengurusan akhbar tersebut.
Komen Fahmi itu mengundang kritikan pengguna media sosial yang menasihatkan beliau supaya memahami laporan yang diterbitkan.
Ramai pengguna media sosial turut menekankan perkataan "dijangka" yang bermakna kenaikan OPR itu tidak semestinya akan berlaku.
"YB Fahmi Fadzil cuba faham sikit. Dia cakap dijangka bukannya dia cakap sah akan naik. Cari kamus dewan bahasalah YB cari apa maksud dijangka," tulis pengguna Facebook Faizal Ariffin.
"Dijangka. Maknanya diambil dari sumber-sumber yang buat kajian.
“Benda mudah pun gelabah," tulis seorang lagi pengguna Facebook Firdaus Saleh.
"Ini jangkaan dari analisis. Celah mana fitnahnya.
“Benda ini dikira fitnah, serius lah YB.. Bukan PH wira kebebasan bersuara ke?" kata pengguna Facebook Khairil Anwar.
Sementara itu, pengguna media sosial yang dilihat bersetuju dengan pandangan Fahmi menggesa supaya syarikat akhbar itu dikenakan tindakan tegas.
"Panggil editor kanan bagi surat tunjuk sebab, suruh dia sediakan jawapan dalam masa 48jam/2hari.
“Kena tegas tanpa beri muka kepada pihak yang terbabit!" tulis salah seorang pengguna Facebook Shidi Shidiamin di ruangan komen itu.
Ini bukan kali pertama Fahmi menerima kritikan ramai sejak menyandang portfolio itu, yang sebahagian besarnya dilihat sebagai bertanggungjawab ke atas organisasi media di negara ini.
Awal bulan ini, beliau mempersoalkan hasil tinjauan yang dijalankan oleh beberapa agensi media pada 100 hari pertama kerajaan, berkata penemuan itu tidak boleh dipercayai dan tidak benar-benar mencerminkan pandangan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan