HADI DAN TRUMP
Donald Trump menjadi Presiden Amerika yang ke 45 pada 20 Januari 2017. Hadi Awang pernah menjadi Menteri Besar Terengganu. Hadi angkat sumpah pada 2 Disember 1999 untuk menerima jawatan Menteri Besar Terengganu ke 11.
Dua sosok ini bukan kecik anak. Donald Trump dan Hadi Awang memiliki pengaruh. Satu di Amerika dan satu di Malaysia.
Dua sosok ini adalah contoh pemimpin negara yang memakai sistem elektoral politik dalam budaya liberal demokrasi hari ini.
Trump dan Hadi mewakili garis politik kanan. Ketika tulisan ini digarap garis politik kanan sedang mengampuh. Satelah tamatnya Perang Dingin jelas kelihatan garis kanan makin menyerlah.
Ombak kanan ini bukan sahaja di Kedah, Perlis, Kelantan atau Terengganu atau di Malaysia malah garis ini sedang merebak ke seluruh dunia.
Di Perancis ada parti Nasional Front. Di German ada parti AFD – Alternative For German. Di United Kingdom parti kanan Konservatif kini berkuasa. Garis kanan parti ini menjayakan Brexit : di mana UK keluar dari Kesatuan Eropah.
Satu contoh terbaik kejayaan garis kanan ini ialah kemenangan Brothers of Italy yang melantik Georgia Meloni wanita pertama pada Oktober 2022 sebagai Perdana Menteri Itali.
Dalam kerajaan campuran Meloni ada parti berfahaman lebih kanan – saki baki dari Parti Fasis Mussolini
Fasisma adalah fahaman kanan yang ekstrem. Fasis bermakna hanya satu parti yang memandu daulah. Negara fasis menolak konsep kepelbagaian dan menafikan wujudiah masyarakat majmuk.
Hampir kesemua parti garis kanan ini memiliki dasar-dasar yang sama atau hampir-hampir sama.
Ciri utama garis kanan dan ideologi induk kaum kanan ialah anti Sosialis dan anti Komunis Ini tanda awal untuk mengenal parti atau individu itu anti-kaum tertindas , pro kaum kapitalis dan menyokong kaum pemodal.
Hadi di Malaysia melalui Parti Islam membawa garis kanan yang amat menonjol. Sebagai parti yang berasaskan agama ianya menolak fikiran pendapat dan ilmu kajian dari manusia.
Justeru Parti Islam PAS menolak sekular. Anti-sekular menjadi rukun perjuangan. Melawan sekular menjadi garis perjuangan parti.
Sekular adalah pandangan dan pendapat yang lahir dari fikrah manusia bukan dari langit , dari wahyu atau dari mimpi.
Sekular ini menjadi musuh pertama Hadi. Kempen anti sekular ini di bawa ke hulu ke hilir oleh Hadi dan PAS.
Parti politik, NGO atau individu yang sekular ini digambarkan sebagai menolak agama. Menolak agama kalau di Malaysia ini khususnya untuk orang Melayu memberi makna menolak Islam. Menolak Islam memberi makna murtad.
Darah Si Murtad dan ajaran Islam yang dianuti oleh PAS dan Hadi adalah halal.
Sebenarnya pemahaman orang ramai terhadap sekular juga tidak padu dan tuntas. Di Malaysia sekular di hebohkan dan di propagandakan sebagai anti agama justeru anti Islam.
Walhal dalam pentadbiran negara-negara di dunia hari ini sekular hanya satu-satu garis pentadbiran yang teratur dan meyakinkan. Sekularisma sentiasa wujud bersama masyarakat plural atau pluralisma.
Justeru plural menjadi musuh ke dua yang di tentang oleh Hadi dan Parti Islam Pas.
Plural membawa erti lebih dari satu. Masyarakat plural ialah masyarakat yang pelbagai bangsa dan suku kaum yang hidup berdampingan tetapi berlainan dalam satu entiti politik.
Malaysia adalah contoh terbaik negara plural dengan masyarakat majmuk. Mustahil Hadi Awang tidak mengenal Guan Eng sebagai China dan Ramasamy sebagai India. Manakala Temenggung Jugah Anak Bariang adalah Dayak. Dan Batin Lintang adalah Sakai.
Nama-nama ini adalah dari nasion yang berlainan – suku kaum yang berbeza-beza tapi semuanya warga Malaysia.
Perkara ketiga yang dijadikan musuh oleh Parti Islam PAS ialah liberalisma. Faham liberal ini menjadi musuh ketat Hadi kerana liberal ini wujud secara tersendiri. Liberalisma wujud secara organik dalam masyarakat yang sekular dan majmuk.
Liberal adalah fahaman – cara berfikir. Cara memiliki pandangan dunia. Liberal ialah kesediaan menerima dan menghormati pandangan, budaya, tingkah laku dan pandangan orang lain walau pun pandangan itu berbeza dari pandangan yang kita anuti.
Fahaman liberal terbuka dan bersedia menerima pandangan dan pendapat baru.
Dalam politik kaum liberal memiliki falsafah yang memperkasa hak asasi kebebasan individu, memperkasa demokrasi dan menyokong perniagaan bebas.
Hadi dan Parti Islam PAS menentang liberal. Ini kerana fahaman liberal memiliki pandangan terbuka. Pandangan dunia kuam liberal melihat dunia kita ini pelbagai rencah dan rencam.
Dunia yang wujud hari ini ada pelbagai gaya hidup. Ada pelbagai pandangan dunia. Justeru ada pelbagai pandangan agama.
Semua agama adalah sama. Semua agama mendidik penganut untuk membuat kebaikan dan kebajikan di atas muka bumi ini.
Kaum liberal mempercayai semua agama. Kaum liberal menghormati semua agama. Kaum liberal menghormati individu yang beragama dan juga yang tidak percaya kepada ajaran apa-apa agama.
Malah Sang Liberal itu sendiri mungkin beragama dan mungkin tidak beragama.
Perkara ke empat yang menjadi musuh hadi ialah orientasi seksual. Atau dengan apa yang di kenali sebagai LGBT – Lesbian, Gay, Bisexul dan Transgender.
Orientasi seksual dan gaya hidup ini menjadi musuh ketat Hadi dan Parti Islam PAS.
Homoseksual ialah keberahian lelaki dengan lelaki. Lesbian ialah keberahian perempuan dengan perempuan. Biseksual ialah keberahian terhadap lelaki dan perempuan.
Manakala Transgender merujuk individu yang mungkin bertindak, berfikir, mempunyai perasaan atau keterampilan yang berbeza daripada jantina lahir atau biologi mereka.
Justeru kita membaca dan melihat bagaimana Sajat seorang Mak Nyah di bantai, diserang , ditangkap hingga Si Sajat ini melarikan diri ke Australia.
Ada satu lagi ciri parti politik kanan yang amat jelas. Pandangan ini di miliki oleh semua parti politik kanan dan penganut ideologi kanan.
Ideologi kanan menolak pluralisma justeru menolak Yang Lain atau The Other. Yang lain dari diri mereka dianggap musuh dan wajib dilawan.
Yang lain ini bukan orang kita. Yang lain bukan suku sakat kita. Yang lain tidak sama dengan kita. Kita dengan yang lain tidak mungkin dapat persamaan.
Dalam konteks Malaysia yang lain ini adalah China dan India. Dalam politik Malaysia yang lain yang dijadikan musuh ialah Parti DAP dan MCA dan MIC.
Dari persejarahan kumpulan atau parti-parti politik ini ditubuhkan oleh orang China dan India.
Dalam mengolah persetujuan untuk mendapat undi dan sokongan parti politik memerlukan musuh.
Laungan dan slogan dan gedang perang wajib ditujukan kepada musuh yang telah di kenali. Mengenal musuh dan kemudian menjadikan musuh itu sasaran politik adalah taktik perang untuk semua parti politik.
Kita lihat bagaimana Trump berjaya membawa konsep MAGA – Make America Great Again. Slogan dan laungan dari Trump ini menusuk kalbu warga Amerika.
Setiap kali di akhir ucapan Trump akan keluar ayat : God bless Amerika – Tuhan merahmati Amerika.
Ini akan disambut dengan laungan USA... USA.. USA...’ Ini slogan untuk memberi ingatan bahawa satu ketika dulu United States of America adalah negara terunggul dalam dunia.
Manakala setiap kali Hadi mengakhiri ucapan atau ada kata-kata Hadi yang dipersetujui dan sedap didengar ianya akan disambut dengan laungan takbir.
Kita membaca dan melihat bagaimana Trump mahu mendirikan pagar dan tembok batu untuk menghalang kemasukan pendatang haram ke Amerika.
Kita juga membaca dan melihat baru-baru ini seorang Pak Cik Melayu memuat turun klip dalam media sosial bagaimana dia melihat Yang Lain sedang mengambil alih Pasar Borong Selayang.
Kes warga Rohingya menakluk Pasar Borong Selayang ini telah menjadi contoh terbaik untuk melawan Yang Lain.
Dari media sosial ini kita dipaparkan kemarahan Pak Cik yang jelas dilihat Melayu Islamnya. Pak Cik dari berkempen anti- pendatang di Selayang kini beralih pula ke Kepala Batas.
Pak Cik ini memilih Rohingya. Ini kumpulan Yang Lain yang paling lemah untuk ditibai. Apakah Pak Cik ini satu masa nanti akan membuat klip yang sama di Bukit Bintang dimana semua kedai, gedung membeli belah adalah milik China.
Apa yang tersirat dan tersurat dalam klip media sosial Pak Cik Melayu Islam itu ialah kebencian terhadap pendatang asing.
Maju mara garis politik kanan ini adalah manifestasi kegagalan elektoral politik dalam budaya liberal demokrasi.
Sekular, liberal, plural dan LGBT akan terus menjadi agenda politik parti Islam PAS. Serangan PAS terhadap PKR dan Pakatan Harapan berasakan empat perkara ini sedang mengampuh.
Laungan God bless Amerika dan Takbir di Malaysia berpunca dari budaya yang sama.
Sekular, liberal, plural dan LGBT adalah empat peluru berpandu menjadikan Pakatan Harapan dalam keadaan terdesak. Malah Pakatan dilihat gelabah tak tentu hala bila berhadapan dengan empat peluru berpandu dari Hadi ini.
Apa jawapan Anwar Ibrahim terhadap serangan Hadi Awang?
Anwar dan Hadi dari satu kabilah. Anwar dari ABIM Pusat manakala Hadi dari ABIM Terengganu. Dua sosok ini amat kenal mengenal.
Donald Trump yakin dia akan menang dalam pemilihan 2024. Hadi Awang juga yakin dia akan menang dalam PRN yang akan sampai tidak lama lagi.
Takbir dan God Bless America sedang mengampuh.
Apakah garis kanan ini akan menetaskan kerajaan fasis seperti kerajaan Hitler di German atau kerajaan Mussolini di Itali atau kerajaan Tojo di Jepun.
Apakah garis Islam kanan yang dibawa oleh Hadi ini akan menuju ke kerajaan Taliban seperti di Afghanistan. Tunggu minggu hadapan dan lihat apa terjadi. Amin (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIAN INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/435271
Tiada ulasan:
Catat Ulasan