Jumaat, 3 Mac 2023

MELAYU TAK SOKONG KERAJAAN JATUH



Sokongan Melayu cabaran utama kerajaan 100 hari pertama, kata penganalisis


PERSEPSI pengundi Melayu yang majoritinya bersama pembangkang adalah antara cabaran utama 100 hari pertama pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata penganalisis politik.

Pentadbiran yang dibentuk dengan kerjasama gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) serta parti-parti di Sabah dan Sarawak perlu bijaksana menguruskan sensitiviti pengundi Melayu, kata mereka.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata majoriti rakyat yang tidak menyokong pembangkang Perikatan Nasional (PN) sekarang berada di kawasan jajaran Melayu, sementara yang menyokongnya pula kebanyakannya bukan Melayu dan berada kawasan bandar dan separa bandar.

“Isu yang diangkat pembangkang lebih suara orang Melayu, bagaimana kerajaan tangani agenda yang begitu sensitif.


“Kalau dilihat ucapan dibahaskan ahli Parlimen PN di Parlimen mereka jelas dengan naratif yang mereka bawa, mereka mewakili dan mengangkat tema Melayu yang kononnya diabaikan kerajaan hari ini, itu segmen yang perlu diberi perhatian oleh Anwar,” kata Hisomuddin.

Awal Februari lepas, Anwar berkata analisis PH mendapati kira-kira 31% daripada 5.8 juta undi yang diterima gabungan itu pada pilihan raya umum yang lalu adalah daripada pengundi Melayu.

Analisis sama juga mendapati keseluruhan undi semua parti yang membentuk kerajaan di Putrajaya menyamai dua pertiga daripada lebih 15 juta undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar membuat kenyataan itu untuk menafikan dakwaan penganalisis bahawa pengundi Melayu menolak gabungan kerajaan perpaduan dan PH pula hanya mendapat 19 peratus undi Melayu.

Merdeka Centre dalam kaji selidik yang dijalankan dua bulan selepas PRU15 mendapati 68% daripada respondennya berpuas hati dengan Anwar sebagai perdana menteri.

Harapan

Sementara itu, pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali melihat rakyat pelbagai kaum meletakkan harapan tinggi kepada Anwar untuk membawa perubahan, seperti yang dijanjikan sejak gerakan Reformasi bermula lebih dua dekad lalu.

“Rakyat pelbagai kaum termasuk di Sabah dan Sarawak sokong Anwar, yakin Anwar akan bawa negara ke satu pentadbiran yang lebih telus yang menjaga semua kaum.

“Namun mungkin ada sedikit skeptikal khususnya dari kalangan orang Melayu kerana ramai daripada mereka yang sokong PAS dan Bersatu,” katanya.

Mazlan juga melihat biarpun Anwar fokus dan bekerja keras untuk membetulkan keadaan termasuk meningkatkan hubungan dengan negara jiran, kekangan utamanya adalah ekonomi dan kewangan negara yang suram.

“Anwar mewarisi pentadbiran negara dengan hutang yang besar dan ekonomi buruk, yang sekarang berhadapan pula dengan masalah harga barang. Kerajaan sebelum ini pun masalahnya sama… bukan masalah sekarang tetapi sudah lama.

“Itu kekangan Anwar sekarang. Dalam 100 hari pentadbirannya ini, nampak kesungguhan beliau untuk bantu rakyat dan pulihkan negara,” katanya.

Naratif

Dalam pada itu, Hisomuddin berpendapat pentadbiran Anwar mesti memastikan penerangan dasar kerajaan sampai kepada rakyat terutama ketika pembangkang menguasai media sosial, seperti yang ternampak semasa PRU15.

“Biasanya mesej atau naratif kerajaan tak sampai kepada rakyat dengan baik.

“Penerangan kerajaan bergantung pada media arus perdana dan mereka pula berlawan dengan tekanan daripada media sosial.

“Akan berlaku persaingan antara sumber maklumat yang rakyat dapat dari media sosial dan media kerajaan, mana yang lebih dominan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-kom) Mohammad Agus Yusoff berkata usaha kerajaan tidak harus dilihat dari aspek kaum semata-mata kerana setiap sesuatu itu dilakukan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Saya tidak setuju sekiranya penerimaan (rakyat kepada usaha kerajaan) kita kira berdasarkan kaum.

“Kita hendak bawa naratif Malaysia. Kita hendak membentuk Malaysia maju dan makmur.

“Saya tidak selesa dengan (isu) kaum (dimainkan) berterusan,” katanya. – 2 Mac, 2023.


 GABUANGAN

KERAJAAN

JIKA TAKDA

SOKONG MELAYU

PASTI AKAN

RUNTUH

AMIN

INI KERANA

MAJORITI

WARGA ADALAH

MELAYU

AMIN

INI NAMANYA

TANAH MELAYU

KHALAS

Tiada ulasan: