Data tanah rizab Melayu perlu dikemaskini elak susut di luar pengetahuan
KUALA LUMPUR – Data Tanah Rizab Melayu (TRM) perlu dikemaskini bagi memastikan gejala penyusutan mengenainya tidak berlaku diluar pengetahuan pihak berkuasa.
Malah, menteri-menteri besar di setiap negeri yang mana TRM menyusut perlu mengambil tanggungjawab supaya gejala salahguna mengenainya tidak berlaku, kata Pengerusi Majlis Tindakan Tanah Melayu, Mohd. Azmi Abdul Hamid.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius pendedahan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini mengenai pengurangan TRM yang berlaku di beberapa negeri.
“Mengikut statistik yang didedahkan, Kedah, Perak dan Kuala Lumpur merupakan tiga negeri yang menyaksikan penyusutan TRM sepanjang 2021 hingga 2022. Kedah sendiri berkurangan lebih 5,000 hektar.
“TRM adalah dilindungi di bawah Perkara 82 Perlembagaan Persekutuan. Bukan sahaja ia tidak boleh bertukar tangan kepada bukan Melayu, malah sebarang pengambilan perlu diganti dengan saiz dan sifat yang sama,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Mohd Azmi, pihaknya percaya pembangunan TRM terbantut akibat pemilik tanah tidak mampu membangunkannya, namun, pihak kerajaan negeri perlu mencari jalan keluar agar ia menjadi aset yang produktif.
Ujarnya, pada era masa kini yang memungkinkan pelbagai kaedah diguna untuk membangun aset tanah boleh dilakukan, kerajaan negeri tidak harus membiarkan TRM itu sebagai aset tidak produktif.
“Kerajaan negeri yang berkenaan perlu segera menyemak kedudukan TRM yang sedia ada dan memastikan proses penggantian dilakukan jika ia telah dinyah-wartakan dalam rekod.
“Semakan perlu dilakukan dengan memastikan antara apa yang ada dalam rekod Pejabat Tanah sama dengan apa yang ada dilapangan,” tambahnya.
Dalam pada itu Mohd Azmi yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berkata, terdapat kes TRM tergadai akibat pemilik terlibat dengan hutang daripada institusi kewangan.
Katanya, ada juga Kes status TRM di lapangan sudah bertukar tangan padahal dalam rekod masih tercatat ia masih wujud dan perlu disemak dengan teliti. –
2 ulasan:
Sapa jual tanah? Yahudi atau DAP? Kah kah bagi tahu orang sendiri jangan rasuah jangan ramai sudah woit
Dap harus dipersalahkan ..... pemimpin melayu semua suci dlm debu .... kah...kah...kah
Catat Ulasan